Skip to main content

LELAKI PALING BAHAYA [PART 8]

Ayuni mengeluh panjang. Sampai sekarang dia masih lagi tak faham kenapa semua ini berlaku padanya. Sebelum ini hidupnya sungguh normal. Tak banyak perkara yang mengganggu emosinya berlaku setakat ini. Paling kurang pun hanya putus tunang. Itu pun dia tak rasa menyesal. Itu saja. Belum pernah lagi perkara pelik dan amat memalukan berlaku kepadanya.

Sehinggalah dia meminati Irfan dari jauh. Macam-macam perkara berlaku. Yang peliknya, kehadiran Irfan bukan setakat dalam angan-angan tapi makin lama makin dekat dengannya.

Siapa sangka, Irfan akan jadi jirannya. Siapa sangka, dia mampu demam hanya kerana senyuman Irfan. Siapa sangka, Irfan sudi menghantarnya ke hospital. Siapa sangka lagi, Irfan membayar bil perubatannya.


Lagi tak sangka, dia yang kononnya hendak hadiahkan buah epal kepada Irfan, terus bertukar menjadi sesuatu yang paling memalukan dalam sejarah hidupnya! Sampai hari ini dia fobia dengan epal hijau.

Tapi yang peliknya, bila dia fobia dengan epal hijau, banyak pula epal hijau muncul di matanya. Bagaikan epal hijau sudah jadi watak utama. Bukan saja setiap hari dia nampak tapi setiap minit! Contohnya macam sekarang, dia nampak Junaidah sedang makan epal hijau.

"Dah! Dah! Jangan makan lagi!" Ayuni segera merampas bekal buah-buahan Junaidah. Di simpannya di dalam laci dan dikuncinya.

"Hah? Kenapa?" Junaidah hairan.

"Tak habis-habis makan je kau ni. Nanti gemuk!"

"Wei, aku makan buah je la. Bukan makan burger. Makan buah pun boleh gemuk ke?"

"Kau tak tahu ke, kalau makan buah epal hijau berat badan kau akan bertambah 10 kali ganda daripada kau makan burger tau."

"Hah? Kajian planet mana yang kau guna ni?"

"Planet meow!"

"Sah!" Hayati yang duduk di hadapannya tiba-tiba mencelah.

"Apa yang sah?"

"Helo yang di luar sana. Tolong senyap sikit ya. Sekarang waktu bekerja. Jadi, sila buat kerja masing-masing!" Suara Dayana terpekik dari luar memarahi mereka.

"Betullah. Boleh diam sikit tak? Memekak je," Azura, orang kuat Dayana pula bersuara.

"Oppsss... Anak Dara Langsuir dah menyalak!" Kata Junaidah dalam berbisik.

"Langsuir? Menyalak?" Ayuni cuba tahan-tahan gelak. Nampaknya ada gelaran baru buat Dayana.

"Ini Langsuir versi moden. Dah kena upgrade!"

Ayuni tersengih. Macam-macam!

"Wei, bak sini balik bekal aku. Aku lapar ni."

Ayuni segera buka lacinya dan mengeluarkan sebungkus roti coklat. Lalu diberikan kepada Junaidah.

"Nah, makan ni. Kau makan ni 10 bungkus pun kau takkan gemuk," kata Ayuni.

Dan masing-masing memandang Ayuni dengan penuh tanda tanya. Sah! Ada yang tak kena!

*****

Rehat. Ayuni sengaja tak mahu turun makan bersama-sama kawan-kawannya. Dia mengambil masa yang ada itu untuk mencari hadiah yang sesuai untuk balas budi Irfan. Walau macam mana pun dia tetap mahu menghadiahkan Irfan sesuatu. Kali ini dia akan pastikan dia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama lagi!

Tapi macam biasa. Dia buntu idea. Dia terfikir mahu hadiahkan buah sekali lagi tapi tengok buah pun dia dah fobia sekarang. Lebih-lebih lagi buah epal hijau. Itu sudah jadi antara pengalaman paling ngeri dan paling memalukan dalam hidupnya.

Semua salah Irfan! Siapa suruh Irfan muncul di depannya tiba-tiba. Sudah tentulah dia menggelabah tak tentu hala. Kan dah bertambah satu hutang!

"Hadiah apa lagi yang sesuai ni?" Ayuni mengeluh panjang sambil merenung komputernya.

"Kau buat apa?" Tanya satu suara tiba-tiba menyapa.

Sedar-sedar tiga orang kawannya sedang berdiri memerhatikannya di sebelah. Terperanjat Ayuni dibuatnya.

"Bila korang datang?" Ayuni terkejut.

"Itu tak penting. Yang penting sekarang, kami dah beritahu yang kami sentiasa berdiri di sebelah kau!" Kata Hayati.

"Mmm... Tak payah beritahu. Aku nampak korang berdiri di sebelah aku."

"Bukan tulah..."

"Apa?"

"Kau tak payah nak berselindung lagi. Kami dah tahu."

"Korang tahu?" Ayuni terkejut. Mereka tahu tentang pengalaman yang paling memalukan itu?

"Ya. Kami tahu," kata Suzana.

"Macam mana korang tahu?" Ayuni hairan. Setahunya hanya Nora dan Munirah saja yang tahu. Itu pun Nora yang beritahu Munirah. Selain itu tak ada sesiapa yang tahu lagi. Lagipun kawan-kawannya itu mana kenal Nora mahupun Munirah.

"Apa yang nak dihairankan? Hotel ni banyak mulut."

"Lagipun Anak Dara Langsuir tu memang kuat berlagak. Dah tentulah dia sengaja hebohkan."

"Err... Anak Dara Langsuir?" Ayuni hairan. Apa kena mengena Anak Dara Langsuir dengan hal yang memalukannya itu?

"Dah. Tak payah nak buat muka blur. Aku faham kau mesti rasa tak adilkan."

Ayuni terdiam lagi. Apa yang tak adilnya? Dia rasa malu ada la... Jangan-jangan mereka bercakap hal yang berbeza.

"Err... Aku rasakan..."

"Sebab tulah kau nampak lain je kebelakangan ni. Asyik murah je. Tak sangka betul. Kalau aku jadi kau, aku pun rasa tercabar. Ada ke patut hantaran untuk Dayana tu enam kali ganda daripada jumlah hantaran kau!"

"Enam kali ganda?" Ayuni terperanjat. Dia sempat lagi berkira-kira. "RM18 ribu?"

"Bukan kau dah tahu ke?" Hayati hairan. Ayuni pula terkejut.

"Aku baru tahu. Tapi... Bila masa diorang bertunang?"

Ketiga-tiga mereka menepuk dahi.

"Kau tak tahu?" Suzana terperanjat.

Ayuni geleng. Memang dia tak tahu langsung. Ini bukan cubaan... Ini betul-betul!

"Habis, kenapa kau nampak lain macam je selama ni?"

"Lain macam macam mana?"

"Kau selalu termenung dan merepek yang bukan-bukan."

"Apalah yang korang merepek ni? Mana ada aku termenung dan merepek yang bukan-bukan."

"Habis, mana kau dapat kajian makan buah epal hijau boleh gemuk?"

Oppssss...

"Lagi satu, ahli astronomi mana yang pernah jumpa Planet Meow?"

Double oppssss ...

"Err..." Ayuni tersengih. Ini semua salah Irfan. Sebab Irfan dia jadi tak waras dah sekarang!

"Oh ya, korang tahu kat mana nak beli apron?" tanya Hayati tiba-tiba tukar topik.

"Kau nak buat apa apron tu? Kau bukan reti memasak pun," balas Junaidah.

Apron? Bulat mata Ayuni mendengar perkataan itu.

"Kau ingat kegunaan apron hanya untuk memasak je ke? Walaupun aku tak reti memasak tapi aku yang tolong cuci pinggan di rumah," jawab Hayati.

Apron! Cantik! Idea yang bernas!

"Hayati, terima kasih banyak-banyak!" Ayuni terus memeluk Hayati. Terpinga-pinga kawannya itu. "Jom, nanti aku temankan kau beli apron ya!"

*****

"Ini hadiah yang saya buat untuk awak tanda terima kasih saya sebab bawakan saya ke klinik, bayar bil perubatan saya dan bayarkan buah yang saya bagi kat awak," ujar Ayuni sambil menghulurkan sebuah beg kertas kepada Irfan.

Tanpa berkata apa-apa, Irfan menerima pemberian itu. Lalu, dia mengeluarkan hadiah di dalamnya. Sehelai apron warna biru.

"Satu je?" tanya Irfan seperti tidak puas hati.

"Eh?" Ayuni terkejut dengan reaksi Irfan. Ini bukan yang reaksi yang dia inginkan!

"Saya hantarkan awak ke klinik, saya bayar bil perubatan awak dan saya terpaksa bayar buah yang awak nak hadiahkan pada saya tapi awak hanya hadiahkan saya sehelai apron untuk balas budi saya..." ujar Irfan dengan suara tidak puas hati.

"Tapi saya jahit sendiri apron tu." Ayuni menggelabah. Memang pada awalnya dia mahu membeli tapi bila tengok kebanyak apron warna pink... dia pun batalkan niat. Lebih baik jahit sendiri. Apa guna masuk kelas menjahit dulu kalau tak pratikkan.

"Tapi saya tetap rasa apron ni belum cukup lagi untuk awak balas budi saya," jawabnya penuh angkuh.

Ayuni terkesima. Dalam hati dia sudah menyumpah-yumpah lelaki itu.

Amboi! Tak sangka dia angkuh macam ni. Harap muka saja handsome tapi perangai tak handsome sungguh! Huh, kenapalah aku boleh minat dengan lelaki macam ni? Siap jadi fangirl dia lagi! Menyesal sungguh!

"Emm... awak nak saya buat apa untuk balas budi awak?" tanya dengan senyuman yang dipaksa-paksa.

"Jadi isteri saya."

"Ehh?" Ayuni terkejut. Apa ni? Dia dilamar?

"Encik Irfan, awak demam ke?" Ayuni memberanikan diri bertanya. Mana tahu Irfan berjangkit dengan demamnya tempoh hari.

"Apa yang awak nak saya buat untuk saya jadi suami awak?" tanya Irfan. Serius!

Pertanyaan itu buat Ayuni dua kali ganda terkejut. Ini tak pernah lagi berlaku dalam hidupnya. Belum apa-apa dah nak jadi suaminya? Huh, Rasydan pun tak pernah begini. Ini mimpi? Tak. Dia yakin ini bukan mimpi. Malah Irfan masih memandangnya barangkali menunggu jawapannya.

Ayuni tidak tahu hendak jawab apa. Kalau ini lamaran... sudah tentulah dia terima. Irfan bukan saja handsome tapi tukang masak yang mampu puaskan perutnya. Kalau dia terima Irfan jadi suami, selesai masalah macam mana nak puaskan perutnya!

Tapi dia kalau dia terus terima, nampak sangat tergesa-gesa. Jual mahallah dulu...

"Err... jumpa abang saya dulu," jawab Ayuni yang teringat pesan abangnya.

Irfan mengangguk dan kemudian tersenyum.

"Ok. Jumpa lagi."

"Hah?" Ayuni terpinga-pinga apabila Irfan berlalu pergi. "Apa dah berlaku? Jangan-jangan dia ingat aku dah reject dia..."

Habis! 

Comments

  1. salam penulis...novel ni dah ada di pasaran atau belum?

    ReplyDelete
  2. Semenjak baca Suamiku Workaholic, sy terus minat karya Cik Sakura. Bila nampak Plot Cinta Untuk Big Boss di pasaran, sy terus beli. Mmg minat sungguh dengan penulisan Cik Sakura. Harap² Lelaki Paling Bahaya akan ada di pasaran tahun ini.

    ReplyDelete
  3. Ayuni mengeluh panjang. Sampai sekarang dia masih lagi tak faham kenapa semua ini berlaku padanya. Sebelum ini hidupnya sungguh normal Cream SAKURA

    ReplyDelete
  4. Dah lama tak stalk blog ni. Cerita best tak sabar nak tahu kesudahan Ayuni dan Irfan. Nak tahu jugak apa jadi dekat 2 orang yang 'AntiAyuni' ni... Tak sabar nak baca novel ni lagi.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 1]

Ibu kata, Syazwan paling tak suka dengan orang yang lambat datang janji temu. Jadi, awal-awal lagi aku sudah datang ke tempat janji temu. Masa tu, cafe yang menjadi tempat pertemuan kami itu baru sahaja buka. Lama juga aku duduk menunggu maklumlah aku datang setengah jam lebih awal. Tepat pukul 10.00 pagi, Syazwan datang tepat pada masanya. Padanlah dia sudah jadi seorang yang berjaya dan bekerjaya. Dia datang dengan baju kot (ah, cair!). Nampak segak dan bergaya. Serius aku sudah jatuh hati. Datang-datang saja, dia terus renung aku dari atas hingga bawah. Berdetak juga jantung aku tiap kali matanya scan setiap inci tubuh aku. Macam mata Superman yang boleh tengok dalaman tubuh orang pula. Setelah dia berpuas hati, barulah dia duduk dan membuat pesanan kepada pelayan cafe itu. Kemudian, dia keluarkan tab miliknya dan senyap.