Skip to main content

Suamiku Workaholic [Bab 8]

Bermula dari hari ini, dengan rasminya, aku, Nur Hidayah akan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa kepada Muhd Syazwan a.k.a Mr. Workaholic! Ah, begitu cepat masa berlalu. Rasanya seperti baru saja aku tamat SPM. Tidakku sangka akan menjalani kehidupan seorang isteri. Lagilah aku tak sangka akan berkahwin dengan orang yang aku rasa amat menyeramkan suatu ketika dahulu.
“Dayah pergi dulu ya mama,” kataku sambil bersalaman dengan mama.
Mama terus memelukku. Lama. Kemudian aku dengar tangisan mama. Ala, ini yang aku lemah ni. Kalau mama dah buat drama air mata, dah tentu-tentulah aku pun ikut sama. Aku sensitif sikit kalau tengok orang menangis. Baca novel pun aku boleh menangis sampai tersedu-sedu, inikan pula kalau berlaku di depan aku.

Bila sudah dua-dua menangis, Syazwanlah yang terpaksa memujuk. Tapi pujukannya brutal sikit. Aku yang dengar pun sakit hati.
“Ala mama, bukannya jauh sangat. Sungai Buluh dengan KL dekat saja. Pejam mata boleh sampai. Kalau mama rindu dengan menantu mama, bila-bila masa saja mama boleh datang rumah,” kata Syazwan.
“Kamu apa tahu,” balas mama masih lagi tersedu-sedu menangis. “Dayah, kalau Wan buat apa-apa yang tak baik dekat Dayah, beritahu mama tau. Dia tu bukan boleh percaya sangat. Entah-entah dia lupa yang dia ada isteri sebab asyik kerja saja.”
Aku hanya mengangguk tapi tak boleh janji. Ibu pernah kata, hal rumah tangga jangan sesekali diceritakan pada orang lain walaupun dengan ahli keluarga terdekat. Nanti lain pula jadinya.
“Betul tu Kak Dayah. Apa pun Kak Dayah perlu bertegas sikit dengan abang ni,” sokong Wani. Kemudian, dia datang menghampiri aku dan berbisik sesuatu, “Dan kalau boleh goda abang habis-habisan supaya dia tahu balik rumah selepas waktu kerja.”
Terus meremang bulu roma aku. Goda dia? Macam mana? Aku mana pernah masuk kelas goda menggoda ni. Kelas memasak pernahlah masuk tapi itupun setakat dua tiga kelas lepas tu aku malas nak pergi. Aku layankan saja nasihat Wani tadi. Agaknya, nasihat orang yang baru kahwin ni memang brutal sikit kot.
Tidak lama kemudian, kami memulakan perjalanan. Bergetar-getar juga jantungku. Mana taknya, mulai hari ini kami akan hidup bersama di bawah satu bumbung. Entah bagaimanalah nasib aku nanti. Bolehkah aku duduk serumah dengan dia? Bila duduk rumah dengan dia, aku nak buat apa? Aku nak berbual apa dengannya?
Ah, Dayah, jangan fikir lagi. Bertenang. Kau boleh lakukannya! Jom berjuang untuk kebahagiaan masa depan kau! Aku menggenggam kedua-dua tangan tanpa sedar.
“Kau ni kenapa? Meneran ke?” tanya Syazwan yang sedang memandu itu.
Alamak! Dia nampak! Ada ke dia sebut pasal meneran. Mujur tak ada orang di sini. Kalau tidak lagi satu hal aku nak letak muka. Dayah, please stop! Stop buat benda yang bukan-bukan depan dia.
“Ehem...” aku berdehem kecil cuba menyembunyikan perasaan malu tadi. “Awak, malam ni awak nak makan apa?” Aku cuba ubah topik perbualan.
“Aku nak makan kau,” jawabnya selamba.
Aku terkejut. Terus aku menjarakkan diri daripada dia. Gila apa. Nak makan aku? Kanibal ke suami aku ini? Oh ya, aku tak pernah tahu apa kerja dia. Agak-agak dia kerja jual daging manusia tak? Atau dia vampire? Makan darah manusia... Eh, kalau vampire, aku boleh terima. Oh Edward Cullen...
“Jadi, awak yang mana satu? Kanibal atau vampire?” tanyaku dengan penuh teruja. Janganlah kanibal.
“Hah? Apa kanibal? Apa vampire?” dia soal aku pula.
“La... awak kata awak nak makan saya. Atau, awak werewolf?”
“Hah?” dia memandang aku dengan terkejut. Kemudian, aku dengar dia mengeluh dan bergumam sesuatu. Macam sedang mengutuk aku.
Kenapa? Aku ada buat salah ke? Atau aku tanya sesuatu yang salah? Dia kata nak makan aku. Makan tu maksudnya... Oh tidak! Aku terus menundukkan kepala sehingga menyentuh dashboard apabila memahami maksudnya.
Oh Dayah, apa hal kau lembap sangat ni? Boleh pulak kau tanya soalan yang tak masuk akal? Aduhai, aku buat lagi! Dia pun satu. Aku tanya dia elok-elok, boleh pula dia jawab yang bukan-bukan. Tahulah kita dah berkahwin.
Nanti! Betul ke dia serius? Aku pandang dia. Dia masih buat muka selamba dan teruskan pemanduan. Macam mana kalau dia serius? Tapi... aku tak sedia lagi. Semua ni terlampau cepat. Macam mana ni? Apa yang aku harus buat? Perlu ke berterus-terang dengan dia?
“Ehem...” aku berdehem lagi dan cuba memberanikan diri berhadapan dengan dia. “Malangnya, hari ni saya bendara putih,” jawabku terpaksa berbohong.
“Ada aku peduli?” balasnya selamba.
Aku rasa macam nak menangis saja. Dia ni ada perasaan atau tak? Mama, ibu, tolong Dayah! Abang Wan buli Dayah!
“Aku akan kerjakan kau malam ni sampai letih,” tambahnya lagi.
Aku rasa macam ada satu batu besar hempap kepala aku. Terus buat nafas aku terhenti seketika. Aku pandang dia. Dia masih serius. Gila. Ini gila. Jadi, beginilah rupa sebenar suami aku. Sebelum apa-apa terjadi pada aku, baik aku selamatkan diri. Macam mana? Patut ke aku terjun dari kereta sekarang?
Sedang aku berkira-kira sama ada hendak terjun atau tidak, tiba-tiba kereta yang kunaiki berhenti. Aku memandang sekeliling. Terkejut apabila melihat pintu rumah di hadapan. Aku dah sampai! Habislah!
Cepat larikan diri! Aku cepat-cepat buka pintu kereta. Tatkala kaki menjejak ke luar, aku lihat pintu pagar sudah tertutup rapat. Alamak, aku dah terlambat. Habis, macam mana sekarang? Takkan nak panjat pintu pagar yang tinggi itu.
“Laju nampak. Macam tak sabar je,” tegurnya sudah tersengih-sengih.
Tak sabar apanya! Aku nak larilah. Ah, sudahlah. Aku isteri dia. Dia ada hak untuk buat begitu pada aku. Kalau aku ingkar, itu menderhaka pada suami namanya. Hukumnya berdosa. Besar lagi. Reda sajalah. Letih pun letihlah.
“Ini kuncinya. Pergi buka pintu. Aku nak ambil barang dalam kereta,” katanya sambil menghulurkan kunci rumah kepadaku.
Dengan tangan tergetar-getar aku pun membuka kunci pintu grill dan segala pintu yang ada. Buka sahaja pintu, aku menjenguk ke dalam. Ibu kata, kalau nak masuk rumah kena langkah dengan kaki kanan, barulah berkat. Sambil mengucapkan bismillah, aku mengatur langkah masuk ke dalam.
Ya Allah. Aku memegang kepala. Spontan mulutku ternganga seketika. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang aku lihat sekarang. Ini... ini rumah atau sarang tikus ni? Adui, aku tak tahu. Apa yang bertimbun tu? Baju? Kenapa aku tengok baju tu macam dah bertahun tak bercuci? Kotak pizza tu dah berapa tahun di situ sampai hitam berkulat?
Oh tidak! Aku tak sanggup pandang lagi. Aku rasa ini bukan rumah tapi pusat pembiakan tikus dah. Begitu teruk. Dari ruang tamu sampai ke dapur. Baunya pula kalah bau di pembentungan!
“So macam mana?” tanyanya yang sudahpun berdiri di sebelahku. Aku pandang dia. Dia seperti tersenyum bangga dengan keadaan rumahnya begini.
“Jadi... maksud awak kerjakan saya sampai letih malam ni...”
“Yup. Tolong aku kemas rumah ni,” jawabnya selamba. “Kenapa? Kau fikir aku nak buat apa?”
“Habis tu, kenapa awak kata awak nak makan saya?” tanyaku lagi. Tak puas hati punya pasal.
“Sebab kerja ni makan banyak tenaga,” jawabnya selamba juga.
Serta-merta muka aku merah padam. Aku rasa macam nak menjerit saja. Kenapa? Kenapa aku boleh berfikir jauh begitu? Adui, kuning betul otak aku.
“Dayah...” panggilnya. Aku tak berani mengangkat muka. “Apa yang kau fikir sebenarnya?” soalnya. Bila aku angkat muka, dia pandang aku dengan tajam.
“Tak... tak ada apa-apa,” jawabku tergagap. Takkanlah aku nak beritahu dia apa yang aku fikir. Lagilah jatuh maruah aku.
“Okey, kalau macam tu... babai!”
“Hah? Awak nak pergi mana?”
“Biasa. Kerja!”
“Hah? Jadi, saya kena buat semua ni seorang diri?”
“Bukan ke itu tugas isteri?”
“Tapi...” belum sempat aku habiskan kata-kata dia sudah pun berlalu dari situ. Beberapa saat kemudian, aku dengar bunyi enjin keretanya. Dalam sekelip mata sahaja aku ditinggalkan sendirian.
Aku menggaru kepala. Memanglah mengemas itu tugas isteri sepenuh masa seperti aku ini tapi ini dah membuli namanya. Aku kena bersihkan semua ini? Gila apa? Mana cukup kaki tangan. Sekarang, apa yang aku harus buat? Adui, aku tak tahu nak bermula dari mana!!!


Suamiku oh suamiku. Bukan sahaja workaholic tapi penyepah tegar juga. Sekarang, baru aku faham kenapa dia nak sangat-sangat aku jadi suri rumah tangga sepenuh masa. Memang mama pernah beritahu pasal perangai buruknya ini, tetapi aku tak sangka pula dia punya tahap penyepah begitu kronik sekali.
Tapi aku pelik. Macam mana dia boleh hidup dengan dalam keadaan bersepah begini? Kalau aku dah sesak nafas dah. Ini bukan macam seminggu dua punya sepah tapi macam berbulan-bulan. Hai, terlampau sibuk sangatkah sampai dia tak ada masa nak kemas rumah? Nasib baiklah dia berkahwin dengan aku yang suka mengemas. Kalau tidak, bergandalah lagi sampah dalam rumah ini.
Kerja-kerja aku bermula dari ruang tamu dahulu. Baju-baju kotor dia di ruang tamu boleh capai enam buah bakul besar. Aku syak dia ni lepas guna satu baju, terus beli baju lain. Sebelum membasuh baju, aku terpaksa rendam dulu dengan air sabun. Kemudian, basuh sekali lagi dalam mesin basuh. Tapi aku bernasib baik sebab tak payah sidai. Ada mesin pengering baju di situ. Senang sikit kerja aku.
Sampah sarap yang aku dapat kumpul pula, sebanyak 10 beg plastik hitam yang besar. Tak percaya? Aku sendiri yang mengemas pun tak percaya. Macam-macam aku jumpa tapi Alhamdulillah aku tak jumpa lagi bangkai tikus.
Selepas mengemas di hadapan, aku pergi ke bilik tidur pula. Aik? Bilik tidur utama sempurna. Tersusun dan bersih. Pelik betul. Aku tinggalkan bilik utama dan pergi ke bilik lain. Aku hanya menjenguk dari luar. Ini macam bilik kerja dia. Agak berselerak tapi memandangkan ini bilik kerja dia, aku tak berani kacau. Aku pun pergi ke bilik seterusnya. Bilik tetamu. Bersih juga.
Tak faham betul aku dengan dia ni. Dia hanya sepahkan ruang depan dan dapur tapi bilik tersusun rapi. Kalau kena kemas pun hanya sikit saja disentuh dan bila disapu pula tak banyak sampah yang dapat. Mungkin rumah ini tak ubah macam hotel kot. Maklumlah, dia selalu outstation.
Aku berlalu ke dapur untuk memulakan kerja pembersihan. Betullah apa yang dia beritahu sebelum ini. Dia tak banyak pinggan. Paling menyedihkan dia ada satu pinggan. Satu cawan. Satu sudu biasa dan satu garfu. Satu kuali. Satu periuk. Yang buat dapur itu bersepah adalah sampah, sampah dan sampah.
“Ah, penatnya!” Aku terduduk kepenatan setelah menghabiskan kerja-kerja pembersihan. Tak pernah aku mengemas banyak begini. Memang buat aku letih tak terhingga. Rasa macam nak tercabut sendi-sendi ini.
Tidak lama kemudian, handset aku berbunyi. Mesej daripada dia. Tanpa tunggu lama, aku segera baca.
Aku balik pukul 8.00 malam nanti.
Hah? Itu saja? Dia mesej itu saja? Baik tak payah beritahu. Aku tengok jam. Ada dalam sejam lagi sebelum pukul 8.00 malam. Betul ke dia akan balik pukul 8.00 malam? Atau lambat? Dia ni kalau dah kerja mesti dah tak ingat nak balik rumah.


Selesai bersolat, aku duduk di ruang tamu sambil menonton berita. Badan aku yang letih lesu tadi, kurang sikit selepas mandi. Tapi mata tetap pedih-pedih mahu tidur. Namun, aku cuba gagahkan diri berjaga. Aku lihat jam. Memang betul sangkaanku. Dia pasti lambat. Sekarang, sudah pukul 8.30 malam dan batang hidungnya belum nampak-nampak lagi.
Aku mengeluh. Perut sudah pun lapar. Mana tidaknya, aku tak makan langsung sejak tengah hari tadi. Sudahlah gunakan banyak tenaga buat kerja. Kalau aku mengadu dengan mama ni, mesti kecoh jadinya. Ada ke patut tinggalkan isteri di rumah yang penuh dengan sampah sarap dan tiada makanan langsung?
Aku menguap besar. Ah, aku dah tak boleh tahan. Lalu aku ambil bantal kecil dan berbaring di sofa panjang. Empuk juga sofa ini. Dalam beberapa minit, aku dah tak sedarkan diri.


“Dayah,” aku terdengar ada orang memanggil namaku. Lembut saja cara dia memanggilku. Buat aku terbuai lagi. “Dayah,” suara itu memanggil lagi. Kali ini aku rasa pipi aku diusup lembut. “Dayah, bangun...”
Untuk kali ketiga, aku menggagahkan diri buka mata. Wajah suamiku kelihatan samar-samar. Dengan kudrat yang ada, aku memaksa diri untuk bangun. Sungguhpun aku masih mamai tapi aku masih ingat apa yang dah berlaku sebelum ini. Oleh kerana dia lambat balik, jadi aku tertidur di ruang tamu selepas selesai mengemas.
Aku pun tengok jam di dinding. Hampir pukul 10.00 malam. Patutlah aku rasa macam dah lama tertidur.
“Awak dah balik? Awak kata awak balik pukul 8.00 malam. Sekarang dah pukul 10.00,” kataku separuh mamai sambil menggosok mata.
“I'm sorry. Tiba-tiba ada hal tadi,” jelasnya.
Aku dah tak boleh proses apa yang dia kata. Nak buka mata pun payah. Menguap pun sudah banyak kali. Badan aku betul-betul tak ada tenaga hendak bangun.
“Jom makan,” ajaknya.
Aku mengeleng. Memang aku lapar tapi aku tak ada tenaga hendak makan sekarang. Aku cuma nak tidur saja.
“Dayah, jomlah makan. Nanti perut tu masuk angin,” ajaknya lagi. Sekali lagi aku menggeleng dan ingin kembali meletakkan kepala di bantal tetapi dia menghalangnya. “Jomlah, aku ada beli Sushi King tu.”
Sushi King? SUSHI. KING. Macam pernah dengar nama makanan itu. Otak aku cuba memproses maklumat. Bukan ke itu makanan Jepun yang sedap dan agak mahal untuk dimakan. Sushi King! Aku membuka mata besar-besar. Terus segar dibuatnya.
“Sushi King?” aku tanya dia. Nak pastikan sama ada aku tak tersalah dengar. Dia tersenyum.
“Amboi, dengar Sushi King baru besar mata tu ye,” tegurnya.
“Mestilah. Saya dah lama tak makan Sushi King. Betul ke awak bawa balik Sushi King? Mana? Mana?” aku memandang sekeliling. Akhirnya aku ternampak beberapa bungkusan di atas meja makan. Bagaikan dikurniakan tenaga semula, laju saja aku bangun mendapatkan menghampiri meja makan.
“Wahhh!!!” jeritku penuh gembira. Mana tak gembiranya. Bukan senang aku nak dapat makan Sushi King. Apatah lagi makan dengan percuma. Ah, tak sia-sia aku menolong suamiku kemas rumahnya.
“Awak tak makan sekali?” tanyaku apabila dia duduk di ruang tamu sambil meneliti fail-fail yang mungkin di bawa dari tempat kerja.
“Aku dah makan dengan Linda tadi,” jawabnya.
“Linda? Siapa tu?” tanyaku.
Dia beritahu dia makan dengan perempuan. Adakah itu bermakna dia seorang yang berterus-terang atau dia sengaja nak buat aku cemburu dan tercabar? Jadi, pertama sekali buat muka selamba.
“Takkan dah lupa. Yang kita jumpa di The Curve tempoh hari,” jawabnya.
Ohhh... jadi, perempuan-tanpa-nama itu bernama Linda. Huh, ada juga nama. Nak kenalkan diri pun punya payah. Nama dia ada emas ke? Kedekut sangat nak beritahu nama sendiri. Menyampahlah dengan orang begini. Berlagak lebih. Agak-agak, dia ada hati tak dengan suami aku? Mungkin kot. Sebab menurut pengalaman watak-watak dalam novel yang pernah aku baca, orang begini mesti ada perasaan serius dengan hero.
Eh, hero? Ini bermakna dia hero? Jadi, kalau dia hero, aku adalah heroin? Serta-merta aku mengukir senyuman. Perasan sekejap jadi heroin. Kalaulah aku penulis novel, memang aku dah tulis dah pasal rumah tangga kami ni. Agak-agak ada orang nak baca ke? Tapi malangnya, aku bukan penulis. Aku hanya pembaca tegar saja. Pembaca tegar memang selalu begini, ada saja nak kaitkan dengan novel yang dibacanya. Padanlah si Ammar dulu tak suka aku membaca novel.
Ah, bila sebut pasal Ammar, aku teringat dia. Di mana dia sekarang? Macam mana dia sekarang? Baikkah? Dengar kata dia sudah selamat berkahwin dengan Sally di Thailand. Masa hari perkahwinan aku dulu pun seorang pun daripada keluarga Ammar tidak hadir. Tak tahu kenapa. Aku tak bermusuhan dengan mereka.
Cuma ibu Sally yang ada hadir. Itu pun dia hadir dengan rasa bersalah sebab dia tahu apa yang anaknya buat. Sejujurnya aku rasa kesian dengan ibu Sally. Sudahlah ibu tunggal, anak pun tunggal, bila anaknya kahwin lari dengan tunang orang, lagilah terluka hatinya.
“Kami makan dengan klien tadi,” ujarnya tiba-tiba, mengejutkan aku daripada lamunan.
Aik? Kenapa dia beritahu hal itu kepada aku? Aku tak kisah pun dia makan dengan siapa. Takkan dia ingat aku merajuk sebab dia cakap dia makan dengan perempuan-tanpa-nama itu? Ah, aku lebih suka gelarkan dia perempuan-tanpa-nama berbanding perempuan-bernama-Linda.
“Awak, awak beritahu saya sebab tak nak saya cemburu ke?” tanyaku tanpa berkias-kias lagi. Sengaja aku memberanikan diri bertanya soalan itu sebabnya, kalau dua-dua tak berani buka mulut, sampai ke sudah hubungan kami tetap begini.
Soalan aku tadi hanya tinggal soalan. Dia masih memandang serius dengan kerjanya. Tak pasti sama ada dia dengar apa yang aku kata tadi. Ah, lantaklah. Layan Sushi King lagi bagus. Lagipun aku memang tak kisah sangat dia makan dengan siapa. Aku tahu, siapalah aku ini dalam hatinya. Mungkin dia juga sedang biasakan diri dengan aku. Jadi, lebih baik jangan fikir banyak-banyak. Mari layan Sushi King!
Nanti jap! Mana dia tahu aku suka makan Sushi King? Rasanya aku belum beritahu apa-apa yang aku suka kepadanya. Eh, kalau diingat balik, dia pernah pesan Chicken Grill untuk aku, tempoh hari dia offer Pizza Hut, kemudian malam ini dia bawa balik Sushi King. Semua itu makanan kegemaran aku!
Aku menjeling pandang ke arahnya yang masih menyambung kerjanya. Mana dia tahu semua makanan kegemaran aku? Takkan kebetulan. Atau dia dah siap-siap upah penyiasat makanan sebelum berkahwin dengan aku! Tapi apa motif dia buat semua ini? Mungkin dia nak tahu sama ada isterinya seorang pelahap atau tidak kot atau mungkin dia sendiri tak tahu yang dia sukakan aku.
Aku tersenyum dalam diam. Ah, bahagianya hidup!
Tiba-tiba dia bangun. Cepat-cepat aku makan. Aku lihat dia berlalu ke dapur. Aku terus sambung makan. Rasanya hampir empat bulan aku tak makan Sushi King. Waktu itu mana ada duit. Semua duit gaji aku dah melabur untuk membeli barangan perkahwinan. Jadi, terpaksalah aku menahan diri daripada makan yang sedap-sedap. Baik untuk diet juga.
Tiba-tiba, dia muncul semula sambil meletakkan segelas air kosong untukku. Aku pandang dia. Kenapa dia baik sangat dengan aku hari ni? Dia bagi aku air? Macam ada motif saja. Ah, takkan dia letak ubat tidur kot!
“Malam ni... masih larat lagi?” tanyanya berbisik di telingaku.
Gulp! Nafas aku seakan terhenti. Kerongkongku terasa penuh. Aku cuba telan sushi yang tersekat itu. Tak boleh. Air! Air! Dia menghulurkan gelas air tadi kepadaku. Tanpa berlengah lagi aku terus teguk semuanya. Ah, lega!
Aku lihat dia tersenyum. Aku hampir mati dia boleh tersenyum. Ee... geramnya! Mesti dia sengaja nak kenakan aku.
“Nak tidur nanti, jangan lupa masuk bilik. Jangan nak tidur di ruang tamu macam tadi,” pesannya. Suaranya agak tegas. Wah, ini dah macam satu arahan dah ni. Adui, macam mana ni? Boleh tak kalau aku tak nak tidur sebilik dengan dia? Agak-agak dia bagi tak? Atau dia bagi pelempang?
Dayah, cakap suami tak baik bantah! Bersedia sajalah...


Comments

  1. nak lg plezz.. tamak ngeee

    ReplyDelete
  2. Ok.. kalo.dpt suami cmni mmg harus zass je

    ReplyDelete
  3. Nak lagi, nak lagi cik penulis....mulut kita asyik tersenyum senyum aje

    ReplyDelete
  4. Cerita ini membuatkan saya tersenyum sipu..

    ReplyDelete
  5. Cerita ini membuatkan saya tersenyum sipu..

    ReplyDelete
  6. Wah sambung lagi...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 14]

Tips no. #6 Dia bekerja semasa honeymoon? Ganggu dia dengan gambar-gambar percutian menarik. Klik. Gambar selfie pertama bersama burung helang gergasi. Aku buka WhatsApp dan terus send padanya. Ini misi yang paling menakutkan. Kalau tersilap langkah memang teruk aku kena marah dengan suami Workaholic itu tapi demi masa depan dan kebahagiaan kami misi mesti diteruskan! Walau apa pun yang terjadi aku reda. Balik ni kalau kena marah, aku reda. Aku tunggu seketika. Tak ada respond. Mmm… mungkin dia tengah serius sangat bekerja. Okey, tak mengapa. Lambat-laun dia akan tengok mesej itu juga. Hari ni, aku akan hantar gambar banyak-banyak kepadanya. Manalah tahu dia tergoda tengok percutian aku dan sanggup tinggalkan kerja-kerjanya seketika… Oh, sweetnya! “ Hah, apa yang tersenyum seorang diri tu?” sapaan Wani yang tiba-tiba itu mengejutkan aku. Mujur tidak terpelanting handset aku.