Skip to main content

Suamiku Workaholic [Bab 13]

Aku melompat naik ke atas katil. Wah, ini baru pertama kali aku merasa katil hotel. Sungguh empuk. Kalau dapat tidur ni memang payah nak bangun. Selepas merasa katil yang empuk, aku berlalu pula ke kamar mandi. Sekali lagi aku terkejut. Luas bilik mandi ni sama luas dengan bilik tidur utama kami. Semuanya lengkap. Ini macam tak bagi orang keluar dari kamar mandi saja.
Apa yang kau bawak dalam beg ni? Kenapa berat sangat?” tanya suamiku yang tolong mengusung bagasi milik aku.

Err... novel,” jawabku teragak-agak.
Bila dia dengar jawapan aku, dia terus pandang aku macam hendak terkam saja. Ah, aku tahu pandangan tu. Lebih baik aku selamatkan novel tu dulu sebelum dia humban beg tu dalam tong sampah.
Nanti awak pergi kerja mestilah saya akan duduk di hotel ni seorang diri. Jadi, saya dah sediakan bekalan sebanyak mungkin untuk hilangkan bosan nanti,” jawabku sambil menarik mengambil bagasi itu jauh daripadanya.
Kau perli aku ke?” tanyanya yang tak puas hati.
Tak. Tak perli,” takut-takut aku menggeleng kepala.
Habis tu?” Dia masih lagi tak puas hati.
Teruk. Sudahlah tadi dia punya mood tak baik. Kalau ini berterusan, memang tak selamat aku di sini. Nak lari ke mana lagi? Sudahlah Langkawi ni dikeliling laut. Hisy, ini semua Linda punya pasal. Dia yang buat suami aku bad mood, aku pula yang kena tempiasnya.
Habis tu... awak ada plan lain ke selain kerja?” soalku.
Tak ada,” pantas saja dia berterus terang.
Tengok! Dia sendiri tak ada plan lain selain kerja, lepas tu nak marah pula bila aku bawa novel satu bagasi.
Dayah,” dia memandang aku dengan tajam. “Kalau aku sibuk dengan kerja pun, kau tak perlu fikir kau akan keseorangan di sini.”
Gulp. Aku nak telan air liur pun takut. Adui, aku rasa aku dah bersalah sangat-sangat terhadapnya. Aku tak sepatutnya fikir begitu sebagai isteri. Sebagai isteri aku kena cari idea supaya dia luangkan sedikit masa dengan aku di sini! Nanti, musnah rancangan aku nak pikat hatinya!
Dah lupa ke Wani tinggal di Langkawi?” soalnya.
Hah?” Aku tersentap. Otak aku segera memproses maklumat. Satu demi satu ingatan aku selongkar. Akhirnya, aku menepuk dahi. Alamak, macam mana aku boleh lupa yang Wani, adik ipar aku tu tinggal di Langkawi? Patutlah dia berani ajak aku ikutnya pergi ke Langkawi! Aduhai, patutlah dia marah.
Aku tengok dia masih tenung aku. Cepat-cepat aku berpaling pandang ke kiri dan ke kanan kemudian ke atas dan ke bawah tapi dia tetap pandang aku. Habis! Habis! Nak buat apa ni? Aku bukannya sengaja. Sumpah aku tak ingat langsung tentang tu. Kalau aku ingat, memang aku takkan bawa novel satu bagasi.
Eh, kalau Wani tinggal di Langkawi kenapa mesti kami tinggal di hotel?
Awak, kenapa kita tinggal di hotel? Kenapa kita tak tinggal saja di rumah Wani?” aku memberanikan diri bertanya kepadanya.
Soalan aku tadi langsung tidak dibalasnya tapi sebaliknya dia terus tenung aku. Suami aku dah tak ada benda lain ke nak pandang. Aku tahulah aku isterinya tapi janganlah nak tenung aku macam tu. Aku juga tahu, aku salah. Sudah-sudahlah tu tenung. Aku bukannya Miss World yang tak jemu ditenung.
Pelik betullah. Kenapa dia suka tenung aku? Agak-agak dia ni boleh baca fikiran aku tak? Dia ada kuasa psikik?
Dayah,” panggilnya. Serta-merta aku terkejut. Kalau dia betul-betul ada kuasa psikik bagaimana? Jadi, selama ni dia boleh tahu apa yang aku tengah fikir?
Mmm?”
Apa gunanya kalau pergi honeymoon kalau tinggal di rumah orang?” soalnya.
Perghhh! Soalan! Habis aku. Nak jawab apa ni? Dia ni senyap-senyap pun berisi juga. Aduhai, Dayah oh Dayah. Lain kali kalau nak tanya tu kena fikir dulu sama ada soalan tu logik atau tidak. Sekarang, nak jawab apa? Dia tengah tunggu jawapan tu.
Awak memang betul! Sebab tulah kita perlu tinggal di hotel!” Aku tebalkan muka jawab soalan dia.
Kemudian aku lihat dia tersenyum. Wah, dia senyum! Bila dia senyum aku pun tak dapat sembunyikan semyumku. Ah, lega hati aku. Mana tidaknya, dari tadi dia asyik masam mencuka, tarik muka dengan Linda. Bila dia senyum begini, aku rasa bahagia sangat. Walaupun dia hanya senyum sekejap, tapi tak mengapalah. Asalkan aku berjaya hilangkan kemarahannya tadi.
Aku nak pergi kerja,” ujarnya tidak lama selepas itu.
Okey,” jawabku sudah mendaki katil yang empuk. Aku fikir, lepas dia pergi kerja, aku nak tidur!
Kalau nak makan order saja,” pesannya lagi.
Okey!” aku sudah menarik selimut.
Mungkin aku balik malam sikit,” dia berpesan lagi. Hisy, pergi sajalah.
Okey!”
Kalau nak pergi kelab malam, panggil teksi.”
Okey!” jawabku. Aku yang baru hendak berbaring, terhenti. Terus tak jadi. Apa? Apa dia kata tadi? Kelab malam? “Hah? Kelab malam? Tak. Tak okey!”
Ada hati nak pergi kelab malam?”
Tak. Saya takkan pergi. Sumpah!” kataku sambil mengangkat tangan.
Gila! Seumur hidup aku, mana pernah aku masuk kelab malam. Ayah dah beritahu awal-awal lagi, kalau dia dapat tahu aku masuk kelab malam memang dia pancung aku. Lagipun daripada aku masuk kelab malam baik aku masuk kelab ulat buku. Ada juga faedahnya.
Bagus. Duduk dalam bilik baik-baik. Jangan nakal-nakal,” pesannya sebelum hilang di sebalik pintu. Huh! Aku mengeluh lega. Aku tahu dia sengaja nak kenakan aku. Mentang-mentanglah aku ni mudah sangat leka jawab soalan.
Okey, dia dah pergi kerja. Jom bersenang-lenang macam madam besar!


Baru saja aku nak terlelap, aku dengar bunyi loceng ditekan beberapa kali. Serta-merta aku terus terjaga. Loceng itu kedengaran lagi. Aku mengerut dahi. Aik? Hotel pun ada loceng macam di rumah aku? Wah, hebat! Aku tak tahu sebab ini baru kali pertama aku duduk hotel. Pastilah jakun sikit.
Tanpa berlengah lagi aku menyarung tudung. Entah siapalah yang datang terjah bilik aku. Takkan room servis? Takkanlah pekerja hotel nak bersihkan hotel waktu orang tengah sedap dibuai mimpi. Ini memang nak kena. Malas memikirkan siapa yang datang, aku terus buka pintu.
Kak Dayah!” jerit Wani yang berdiri di hadapan pintu bilik.
Huh, lemah jantung aku seketika. Wani terus memeluk aku. Aku pula tak berani nak peluk dia sebab takut terhimpit perutnya yang memboyot itu.
Abang mana?” tanyanya yang sudah masuk ke dalam. Tak payah aku pelawa. Dia buat hotel ni macam hotelnya pula. Tapi tak mengapalah. Bukan ada apa pun.
Kerja,” jawabku pendek.
Baru sampai dia terus pergi kerja?” tanya Wani nampak tidak puas hati.
Aku hanya mengangkat bahu. Malas nak cakap banyak-banyak. Abang dia, dia sendiri tahu perangai abang dia bagaimana. Kerja tetap nombor satu. Honeymoon ke, bluemoon ke, dia tak peduli.
Okey, jom,” ajaknya tiba-tiba.
Hah? Nak pergi mana?”
Ke mana lagi. Mestilah enjoy! Jom!”
Tapi abang cakap tak boleh masuk kelab malam.”
Serentak itu Wani ketawa terbahak-bahak. Kenapa? Aku ada tersalah cakap ke? Memang suami aku pesan begitu. Dia tak bagi aku masuk kelab malam dan minta aku jangan nakal-nakal. Jadi, apa yang lucunya?
Bukanlah. Takkanlah Wani nak bawa akak masuk kelab malam. Kalau kita masuk juga, bukan saja kena baham dengan abang tapi suami Wani jugak,” gelaknya.
Habis tu nak pergi mana?”
Kita ronda-ronda Langkawi.”
Ohhhhhh...” Aku mengangguk faham. Aduhai, lurus betul aku ni rupanya!


Kata Wani, sebelum memulakan rondaan, dia perlu bagi perut dia makan dulu. Aku ikutkan saja. Lagipun sejak turun dari kapal terbang aku belum makan lagi. Sebelum berlepas pun hanya makan sandwic, jadi bila Wani ajak pergi makan dulu, serta-merta aku rasa perut aku yang lari dulu ke restoran.
Bila di restoran, aku bertembung dengan suamiku. Nampak gaya seperti baru habis makan bersama Linda dan dua lelaki lewat 50an.
Baru nak makan?” dia menegur aku sambil melihat jam.
Okey, aku tahu. Aku banyak bantai tidur tadi sampai tak sedar sudah pukul 2.00 petang. Apa boleh buat, tilam hotel sangat menyeronokkan. Letak saja kepala terus tertidur. Nasib baiklah aku terjaga sekejap dan sempat juga sembahyang. Itu pun aku nak sambung balik tidur, tapi nasib baiklah Wani datang. Kalau tidak memang sampai ke petang aku tidur.
Abang, hari ni Wani pinjam Kak Dayah tau. Jangan risau, kami takkan masuk kelab malam,” kata Wani. Bila dia sebut kelab malam, aku terus mencubitnya. Malu weh! Jangan sebut tentang tu depan dia!
Mmm...” suamiku hanya mengangguk. “Malam nanti jangan lupa pulangkan balik,” tambahnya lagi.
Apa? Cakap sekali lagi boleh tak? Pulangkan balik? Ingat aku ni barang ke? Dia cakap begitu buat aku malu saja. Nasib baiklah tak ada orang dengar. Tapi, aku suka kalau Linda dengar. Saja nak tengok muka cemburu dia.
Tidak lama kemudian, dia meminta diri kerana ada urusan kerja. Aku dan Wani pun sambung makan. Sambil makan, sambil berbual. Aku rasa macam aku dah kenal lama dengan Wani. Padahal aku kenalnya tak sampai beberapa bulan. Dia seorang yang peramah dan banyak bercakap terutama sekali tentang abangnya. Aku syak mungkin dia sengaja bagi info kepada aku untuk menyenangkan aku memikat suami sendiri.
Wani kenal Linda?” aku memberanikan diri bertanya. Itu pun selepas dia menyebut nama Linda beberapa kali.
Mestilah kenal. Kami berkawan sejak kecil lagi,” jawabnya.
Aku mengangguk. Oh, patutlah suami aku boleh tahan dengan perangai Linda yang menjengkelkan itu.
Kenapa ni? Cemburu?” soal Wani yang seakan sudah dapat agak apa yang berlaku.
Tak. Tak ada,” aku cuba menafikannya.
Jangan risaulah. Kalau abang sukakan Linda memang dah lama dia kahwin dengan Linda,” ujar Wani cuba menyedapkan hati aku. Tapi aku kurang yakin. Sudahlah dia tak pernah beritahu sebab kenapa dia berkahwin dengan aku. Jadi, aku tak tahu apa sebenarnya yang ada di hatinya.
Tapi akak tengok Linda macam sukakan abang,” aku melontarkan kegusaran hatiku.
Memang pun,” jawab Wani tiada tapis-tapis lagi. Aku yang mendengar pun rasa tersentap walaupun tahu jawapannya. “Tapi jangan risaulah. Dia bukan boleh buat apa pun. Macam Wani kata tadi, kalau abang sukakan dia, dah lama abang berkahwin dengan dia. Tapi tengoklah sekarang. Abang pilih siapa?”
Itu sebab abang terpaksa...”
Siapa cakap abang terpaksa.”
Aku mengangkat kening. Okey, ini macam ada berita gembira saja. Korek Dayah! Korek lagi rahsia. Tak dapat dengar dari cik abang mabuk kerja tu, dapat dengar cerita sebenar dari adik dia pun jadilah.
Bukan dia terpaksa ke?” tanyaku sengaja ingin mengorek rahsia.
Susah sikit,” jawab Wani.
Aik? Tadi gaya dia cakap macam ada berita baik tapi kali ini macam tak baik pulak. Kena paksa ke tidak ni?
Macam ni... Wani pun tak tahu sangat pasal hal ni sebab Wani duduk jauh. Tapi rasa macam pelik juga sebab abang tiba-tiba setuju nak jumpa Kak Dayah. Sebelum ni cukup main liat lagi dia nak pergi jumpa perempuan yang mama aturkan. Tapi Kak Dayah lain. Mama cakap sekali saja. Dia terus jawab okey. Lepas tu, balik rumah cakap... okey, boleh kahwin!” terang Wani.
Tercengang aku mendengar jawapan Wani. Gila punya sempoi jawapannya. Tak pasti sama ada aku betul atau tidak apa yang dia kata. Aku memang susah nak percaya. Mana tidaknya, aku punya susah nak terima hakikat yang aku akan berkahwin dengan lelaki workaholic, tapi dia boleh pula cakap simple begitu. Macam perkahwinan ni seperti petik jari saja.
Mungkin dia dah malas kot sebab mama asyik paksa dia kahwin,” balasku cuba tidak menonjolkan sebarang perasaan. Sejujurnya memang aku gembira dengan jawapan tadi tapi bila difikir logik, memang tak logik.
Bab tu memang pun. Memang mama banyak memaksa. Dengan Linda pun mama pernah paksa sampai mama sendiri nak pergi pinang Linda tapi abang tak nak. Tapi nasib baiklah abang kata tak nak. Buatnya abang kata nak, mama pula yang tension.”
Kenapa? Mama tak suka Linda?”
Bukan tak suka tapi mama tak nak beban abang bertambah. Dulu, kami ni susah. Bukan macam sekarang. Selepas papa meninggal, masa tu abang masih belajar. Jadi, keluarga Linda memang banyak menolong kami. Merekalah yang tanggung pelajaran abang sampai ke luar negara. Sebab tu mama tak suka sangat abang terlampau rapat dengan Linda. Mama takut abang sengaja buat begitu sebab nak balas budi mereka sekeluarga,” terang Wani.
Aku mengangguk faham. Barulah aku tahu serba sedikit tentang Linda. Patutlah suami aku boleh tahan dengan perangai Linda.
Keluarga Linda tak pernah paksa abang terima Linda ke?” soalku. Soalanku ini memang dalam kategori soalan cemburu. Tapi aku tetap ingin tahu.
Wani menggeleng. Aik? Mustahil. Takkan mereka tolong begitu saja? Mesti ada habuannya. Sudahlah suami aku tu handsome orangnya. Mustahil keluarga sebelah sana langsung tak teringin nak bermenantukan orang seperti Syazwan tu.
Mereka banyak tolong kami sebab arwah papa dulu banyak tolong mereka. Cuma satu sajalah. Sebelum mereka meninggal, mereka pernah minta abang jaga Linda. Tapi, jaga tak bermaksud abang kena kahwin dengan Linda.”
Jadi Linda...”
Sebatang kara. Jadi, sebab tulah abang memang ambil berat pasal Linda. Bagi abang Linda tu macam adik dia. Sebab itu jugalah abang bantah bila mama pernah bercadang nak kahwinkan mereka berdua,” jelas Wani lagi.
Aku mengangguk faham.
Linda ni pun satu. Dia memang pantang bila perempuan lain dekat dengan abang. Dia ingat abang tu hak dia selamanya. Memang Wani dah agak dia akan buat hal kalau abang kahwin dengan perempuan lain. Dengar kata dia buat hal lagi hari ni kan?”
Aku terkejut. Wah, cepatnya dia dapat tahu.
Macam mana Wani tahu? Abang ada cerita ke?”
Habis kecoh satu ofis.”
Ofis? Ofis mana? Setahu aku Wani ni suri rumah tangga sepenuh masa juga.
Ofis siapa?” aku bertanya.
Ofis dia oranglah.”
Lagi aku tak faham. Siapa pula 'dia orang' yang diperkatakan ini. Ofis suami aku? Mmm... agaknya. Tapi macam mana Wani tahu dan yang paling penting, macam mana satu ofis boleh kecoh? Rasanya aku tak ada mengadu pada sesiapa.
Akak confiuslah,” aku menggaru kepala apabila langsung tak dapat kaitkan hal ini semua.
Pendek kata, semuanya bermula apabila abang paksa Wafi pecat setiausaha dia sebab beli tiket kelas ekonomi untuk Kak Dayah.”
Hah?” terkejut aku mendengarnya. Pecat? Tapi kenapa mesti pecat setiausaha? Takkanlah setiausaha dia sengaja belikan tiket kelas ekonomi untuk aku? Bukan Linda ke? Ah, aku dah semakin confius.
Kenapa sampai kena pecat pula?”
Habis tu, CEO arahkan beli tiket untuk isteri tapi yang dibelinya tiket kelas ekonomi. Siapa tak marah?”
Marah. Memang aku marah. Walaupun aku bukan CEO tapi itu memang tak patut. Memang cari nahas namanya. Tapi aku tak puas hati. Bukan pasal suami aku pecat setiausahanya tapi sebab aku tak percaya setiausahanya sengaja beli tiket kelas ekonomi. Mesti ada dalangnya.
Dengar kata mastermind semua ni Linda,” ujar Wani tiba-tiba tanpa aku bertanya soalan. Wah, dia macam tahu-tahu saja aku sedang fikirkan hal ini. Mungkin ada benarnya sebab dialah orang yang uruskan dan beri tiket kepada aku. Mustahil dia langsung tak perasan aku tercampak dalam kelas ekonomi.
So, dia betul-betul kena pecat?”
Wani mengangguk. “Notis 24 jam.”
Mana Wani tahu semua ni?” pelik betul aku. Dari tadi aku tertanya-tanya macam mana dia boleh dapat maklumat begini. Dia kenal sesiapa yang bekerja di situ ke?
Ilham yang cerita.”
Suami Wani?” soalku. Rasanya macam pernah dengar nama Ilham tapi aku tak beberapa pasti.
Mmm...”
Eh, tapi bukan ke Wani kata Ilham tu kerja sebagai pengurus di hotel?” soalku. Aku ingat lagi Wani pernah beritahu yang suaminya bekerja sebagai pengurus di sebuah hotel di Langkawi. Disebabkan itu, Wani terpaksa tinggal di Langkawi.
Mmm... betullah tu. Wani kenal Ilham daripada abang. Ilham tu kawan abang merangkap rakan sekerja abang. Dah lupa ke?”
Jadi, hotel yang Ilham uruskan tu...”
Ya. Hotel nilah.”
Hah? Aku terkejut. Aku cuba cantumkan puzzle-puzzle dalam kepala aku ini. Kalau Ilham, suami Wani bekerja di bawah suami aku, jadi hotel ini... Aku menepuk dahi. Aduhai, isteri apalah aku ini. Sudahlah baru dapat tahu yang suami aku seorang CEO, lepas tu langsung tak tahu perniagaan apa yang dijalankan oleh syarikat suami aku. Nampak sangat aku ni dengan dunia aku saja. Nampaknya, banyak lagi yang aku tak tahu tentang suami aku. Macam mana nak pikat hatinya kalau macam ni? Haiya...

Comments

  1. adeh la dayah ineseng sungguh hang ni kan.. syazwan ku chenta da ni hahaha sweet rupenyer syg benar la dia kat wifey .. dayah jugak untung

    ReplyDelete
  2. Go..go dayah.....teruskan pikat Syazwan..heheh

    ReplyDelete
  3. adehhh dayah...pi korek lg rehsia suami kat wani...chaiyok dayah

    ReplyDelete
  4. bab yg sebelum nie ader tak?? macam best jew..

    ReplyDelete
  5. First time join blog.....baca dari part 1 hingga 13......best......garapan yang menarik, x sbr tunggu in3 ke 14...and.........

    ReplyDelete
  6. knape saya tak boleh bukak bab 14
    tp 15 boleh

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 14]

Tips no. #6 Dia bekerja semasa honeymoon? Ganggu dia dengan gambar-gambar percutian menarik. Klik. Gambar selfie pertama bersama burung helang gergasi. Aku buka WhatsApp dan terus send padanya. Ini misi yang paling menakutkan. Kalau tersilap langkah memang teruk aku kena marah dengan suami Workaholic itu tapi demi masa depan dan kebahagiaan kami misi mesti diteruskan! Walau apa pun yang terjadi aku reda. Balik ni kalau kena marah, aku reda. Aku tunggu seketika. Tak ada respond. Mmm… mungkin dia tengah serius sangat bekerja. Okey, tak mengapa. Lambat-laun dia akan tengok mesej itu juga. Hari ni, aku akan hantar gambar banyak-banyak kepadanya. Manalah tahu dia tergoda tengok percutian aku dan sanggup tinggalkan kerja-kerjanya seketika… Oh, sweetnya! “ Hah, apa yang tersenyum seorang diri tu?” sapaan Wani yang tiba-tiba itu mengejutkan aku. Mujur tidak terpelanting handset aku.