Aku tengok dia seperti nak pergi kerja. Dayah, cepat bersuara. Kalau kau
tak bersuara, nanti kempunan kau. Cepat pergi halang dia.
Aku masih ragu-ragu. Nak halang dia ke tak nak? Memang aku nak sangat
halang dia daripada pergi kerja hari ini tapi aku takut. Dia tu dahlah
workaholic. Hidupnya asyik kerja, kerja dan kerja. Tapi kalau aku tak halang,
aku pula yang susah nanti. Lebih baik beritahu dia. Ayuh, Dayah! Ini untuk
kebaikan kau juga.
Perlahan-lahan aku menghampirinya yang sedang membetulkan tali leher.
Tapi bila aku berdiri di sebelahnya, mulutku terus jadi kelu. Perut aku juga
terasa mengecut. Punyalah takut aku hendak beritahu dia.
“Kenapa?” tanyanya tanpa memandangku.
“Err... kalau saya cakap awak jangan marah ye,” aku memulakan mukadimah.
Dia terus renung aku. Muka macam marah saja. Aduhai, tolonglah jangan pandang
aku macam itu lagi. Kecut perut aku tahu tak? Kalau macam ni boleh jadi kanser
perut aku.
“Apa masalahnya? Cakaplah,” dia bersuara. Agak garang.
“Boleh tak kalau awak tak pergi kerja hari ini?” pintaku.
Serta-merta dia pandang aku lagi. Kali ini pandangannya lain sikit.
Nampak lebih serius berbanding selalu. Janganlah marah aku. Dengarlah
penjelasan aku dulu.
“Sebab bekalan makanan langsung tak ada di rumah ni. Saya nak bancuh kopi
untuk awak pun tak boleh...” jawabku sambil bertentangan mata dengannya. Dia
tidak memberikan sebarang jawapan tapi sebaliknya terus memandang aku. Macam
tak puas hati pun ada.
“Tolonglah,” pintaku. Gila apa nak suruh aku duduk rumah yang langsung
tiada bekalan makanan ini. Takkan dia nak suruh aku minum air kosong saja.
Kalau begini, boleh mati kelaparan la aku ni.
Dia masih senyap dan pandang aku. Aku tak faham langsunglah dengan dia.
Ini soal hidup dan mati aku di rumah ini, tapi dia boleh pulak tenung aku macam
nak makan aku saja. Ini tak boleh jadi.
“Saya janji akan masakkan yang sedap-sedap untuk awak kalau awak setuju
cuti hari ini,” kataku seakan berikrar. Siap angkat tangan kanan depan dia
lagi.
Tapi dia masih senyap. Aduhai, bagilah respon sikit. Betul-betul orang
gila kerjalah dia ini. Disuruh bercuti pun sudah buat muka begitu. Itu baru
sehari aku suruh dia cuti satu hari, belum lagi minta dia cuti berhari-hari
untuk pergi honeymoon. Okeylah, aku mengalah.
“Err... kalau awak tak boleh cuti, apa kata kalau saya saja yang pergi
beli barangan dapur. Cuma... saya tak ada duit,” aku berpura-pura buat muka
manja. Kalau tak buat nanti, takut dia tak bagi duit belanja pula.
Sudahlah dalam bank aku tinggal berapa ribu saja. Itu pun bukan kegunaan
beli barangan keperluan. Itu untuk kecemasan. Manalah tahu, tiba-tiba dia
outstation sampai berbulan-bulan tak balik rumah, aku nak makan apa waktu itu?
Sama saja. Dia langsung tak beri jawapan. Aku dah tak tahu nak buat apa.
Aku ni tak cukup comel kot untuk pujuk dia. Ah, aku cemburu dengan Koko yang
tahu buat muka comel apabila dia hendak minta makan. Kalau aku tak berjaya
pujuk dia, maknanya makan maggie sajalah aku nanti...
Tiba-tiba dia bergerak ke meja kecil yang terletak di sebelah katil. Dia
mencapai handsetnya. Aku hanya melihatnya dari jauh dia sedang menghubungi
seseorang. Aku menanti dengan tenang. Harap-harap sangat dia beritahu bos dia
yang dia nak ambil cuti hari ini.
“Laila, saya appy EL hari ini. Beritahu Wafi gantikan tempat saya dalam
mesyuarat tu nanti,” ujarnya sebelum menamatkan perbualan.
Aku tak dapat menahan diriku daripada tersenyum. Yes! Dia cuti hari ini!
Aku hampir ingin melompat tapi cepat-cepat aku cover line apabila dia berpaling
memandang aku dengan muka tak puas hati.
“Aku nak siakap tiga rasa,” ujarnya.
“Hah?” aku terkejut. Oh my... permintaan dia tu. Aku mana pernah masak
siakap tiga rasa! Makan pernahlah. Kalau aku kata aku tak reti masak masakan
tu, agak-agak dia tarik balik cuti dia tak? Ah, lantaklah. Bukan ke sekarang ni
di hujung jari saja. Balik nanti, tanya Encik Google!
Masuk sahaja ke sebuah pasar raya aku terlihat sebuah teddy bear besar.
Sudahlah besar. Comel pula tu. Diletak di tempat yang mudah lihat pula tu.
Lagilah aku tergoda. Inilah teddy bear yang aku inginkan selama ini tapi
siapalah yang sanggup belikan untuk aku. Dulu, pernah juga aku minta teddy bear
begini daripada Ammar tapi dia tak layan. Katanya macam budak-budak.
Memang sakit hati. Dia patut bersyukur sebab dapat aku yang tak minta
barangan yang mahal. Budak-budak? Tak semua yang mahukan teddy bear macam
budak-budak. Aku sukakan benda yang comel. Jadi tak hairanlah kalau aku minta
teddy bear yang comel begini.
“Kenapa?” tanya suamiku yang sudah berada di sebelahku.
“Err... awak, kalau saya nak beli teddy bear tu boleh tak?” soalku.
Kena minta kebenaran dulu. Agak-agak apa jawapannya? Samakah dengan
jawapan yang pernah Ammar beri dulu? Harap-harap tak ada bantahan. Aku dah lama
mahukan teddy bear begini tahu tak.
“Tak boleh,” jawabnya pendek.
“Tapi saya guna duit saya. Saya tak ambil duit awak. Bolehlah,” aku terus
merayu. Bukannya aku nak guna duit dia dan bukannya aku minta dia yang belikan.
“No,” tegasnya.
“Ala, kenapa?”
Dia tidak menjawab. Aku mula menarik muka masam. Takkan nak teddy bear
pun tak bagi? Lagipun guna duit aku. Kalau aku tak beli teddy bear ni, siapa
lagi yang nak beli. Tengoklah harganya, agak murah sikit berbanding di kedai
cenderamata. Rugi kalau aku tak beli.
“Bolehlah,” aku terus merayu.
“Okey tapi dengan syarat, malam-malam letak kat luar,” tegasnya.
“Kenapa?” pelik. Dia takut dengan teddy bear ke?
“Sebab katil dah full,” jawabnya selamba.
Jawapannya yang selamba itu bukan saja buat aku terkejut tapi buat aku
malu. Malu tahu tak. Orang di sebelah aku yang mendengar perbualan kami pun
tersengih-sengih. Aduhai, dia ni janganlah cakap macam tu depan orang lain.
Malu tahu tak? Ini yang buat aku nak sorok muka. Cepat-cepat aku menolak troli
jauh dari situ.
“Wei, tak nak beli ke?” tanyanya.
Aku terus menolak troli tanpa pedulikan dia. Mujurlah tak ada seorang pun
yang kenal aku. Tapi dia hampiri aku dengan membawa sebuah teddy bear.
“Nah, anak kau tertinggal,” dia hulurkan patung itu.
Aku tersengih-sengih. Wah... besarnya. Ini kalau peluk malam-malam memang
sedap ni. Tapi malangnya dia dah beri warning awal-awal lagi. Tak mengapa.
Nanti kalau dia pergi kerja, aku boleh peluk puas-puas!
Aktiviti kami diteruskan lagi. Penuh jugalah troli dengan stok makanan.
Kadangkala aku tertanya juga, dia ni tengah perli aku ke? Stok makanan yang
dibeli bukan macam dua orang duduk di rumah tapi 10 orang! Ini macam stok untuk
5 bulan sekali gus. Mungkin dia tak mahu ambil cuti lagi kot.
Ah, lantak. Asalkan stok makanan di rumah sudah ada.
Selepas membeli barangan kering, kami ke pasar pula. Seperti di pasar
raya tadi, dia borong banyak ikan yang terdiri pelbagai jenis. Gila. Barangan
basah mana boleh beli banyak-banyak. Hilang kesegarannya nanti kalau disimpan
dalam peti ais. Tapi dia ni, degil. Tetap nak beli. Lantaklah. Kalau dia rasa
lauk tak sedap, jangan salahkan aku.
Tiba beli ikan siakap, aku sudah garu kepala. Pertama, aku tak pernah
beli ikan siakap. Kedua, aku cuma pernah tengok ikan siakap yang sudah boleh
dimakan, tak pernah lagi tengok ikan siakap hidup. Ketiga, kalau boleh dia nak
ikan siakap yang hidup-hidup. Ada tu memang ada tapi aku takut nak siang sebab
besar sangat.
“Kau tahu ke macam mana nak masak?” tanyanya agak ragu-ragu. Mungkin
sebab dia tengok aku takut dengan saiz ikan yang besar. Sebenarnya tak adalah
besar sangat tapi aku tak pernah siang ikan sebesar itu.
“Err...” perlahan-lahan aku geleng. “Tapi, saya boleh tengok di
Internet.”
Kemudian dia pandang aku semacam. Aku tahu pandangan itu. Itu tak lain
tak bukan mesti sedang berkira-kira sama ada dia boleh percayakan aku atau
tidak.
“Kenapa? Awak mesti percayakan saya. Selama ni pun saya belajar memasak
dari Internet juga. Cuma... mungkin ada sedikit masalah,” ujarku
tersengih-sengih.
“Apa dia?”
“Ikan tu sangat besar. Saya takut siang ikan besar macam tu. Apa kata
kalau awak pilih yang kecil sikit. Lagipun kita akan makan berdua saja,”
kataku. Gila apa. Dia nak beli dua ekor yang besar. Entah perut apa yang dia
pakai sekarang.
Dia tidak menjawab tapi sebaliknya mengeluarkan handset dari kocek
seluarnya. Aik? Aku cakap dengan dia, boleh pula dia buat tak tahu. Ini mesti
tak lain dan tak bukan pasal kerja lagi. Huh, di pasar raya tadi juga begitu.
Handsetnya asyik berdering saja. Aku juga yang tension. Apa salahnya bagi dia rehat
sekejap! Hisy, nak saja aku marah orang yang suka telefon dia tu.
“Wafi, kau free tak lunch nanti?” tanyanya melalui telefon. Wafi. Sejak
tadi sudah banyak kali nama itu keluar dari mulutnya. Kalau tak Wafi, mesti
nama Linda. Kalau tak Linda atau Wafi, mesti nama Laila.
Aku lihat jam. Ada beberapa jam lagi sebelum masuk waktu makan tengah
hari untuk yang sedang bekerja. Hah, takkan dia tak percaya yang aku boleh
masak untuknya? Jadi, dia telefon kawannya tadi sebab nak keluar makan tengah
hari bersama? Habislah. Selepas itu dia akan pergi kerja semual...
“Okey, kalau kau free, datang rumah aku. Isteri aku nak masak ikan tiga
rasa. Bawa Linda sekali,” katanya sebelum menamatkan perbualan.
“Hah?” aku pula yang terkejut. Dia serius nak suruh kawannya datang rumah
tengah hari ini? Gila. Dia memang gila. “Janganlah. Tarik balik. Tarik balik,”
melompat-lompat aku depannya.
“Jadi, tak ada masalah nak beli ikan besar,” katanya.
“Tapi ini baru pertama kali saya masak tau. Tolonglah,” rayuku.
“Kau kata tadi, kau boleh belajar di Internet,” jawabnya selamba.
Terus aku terdiam. Adui, aku dah tak tahu nak pusing mana lagi. Reda
sajalah. Jangan dia menyesal depan kawan dia sudah.
“Mmm... okey kot,” jawab Linda yang merasa sikit masakan aku. Lagak
gayanya macam nak kata dia tak puas hati dengan masakan ini tapi mungkin nak
sedapkan hati aku atau hati suami aku, jadi dia pun beri jawapan begitu. Tengok
muka pun aku dah tahu. Dia ni sah, mesti ada sesuatu yang tak kena.
“Kot? Itu saja?” Wafi di sebelahnya menegur. “You memang ada masalah
deria rasa,” tambah Wafi selamba. Sound direct saja. Terima kasih Encik Wafi.
Sungguhpun masakan aku tak setanding masakan Chef Wan tapi sekurang-kurangnya
ini percubaan pertama aku.
“Yelah. I mana pernah makan makanan yang banyak minyak begini,” jawabnya
selamba.
Aku melihat kembali masakan aku. Minyak? Aku letak banyak minyak ke?
Memanglah kalau nak goreng ikan tu dan buat sos dia mesti guna minyak tapi aku
tak letak banyak minyak. Aku pun tak suka masakan yang banyak minyak. Sah,
perempuan-bernama-Linda ini memang bermasalah.
Aku tengok badannya memang perfect slim. Tak dinafikan memang dia seorang
yang jaga badan. Makanan pun dia pilih. Tapi, pelik. Apa yang dia makan? Takkan
hari-hari dia makan kacang kot. Kesian dengan perut dia kena dera. Lihatlah
aku, makan apa saja yang aku mahu. Bila rasa badan dah naik, joging. Selesai
masalah.
“I kesian dengan you,” kata Wafi kembali menyambung makan.
“Kesian dengan I?”
“Yelah. You mampu makan apa yang orang lain tak mampu tapi malangnya you
sanggup ketepikan semua tu sebab nak cantik.”
“Ada I kata I buat semua ni nak cantik?” balas Linda.
“Habis tu, kenapa you tak nak makan semua ni?”
Linda terdiam. Aku tersenyum dalam diam. Ah, perempuan macam dia memang
sudah diagak. Tipulah sebanyak mana pun tapi orang lain takkan tertipu olehnya.
Bagus Encik Wafi. Wah, kan bagus kalau suami aku macam Encik Wafi.
“I bukan tak nak makan tapi I memang tak boleh makan makanan berminyak.
Ee... geli! Dan buat pengetahuan you, I pun pernah makan ikan siakap tiga rasa
ni dulu dengan Syazwan. I rasa, masakan yang I makan tu lagi sedap dan kurang
minyak,” kata Linda.
Aku mengangguk. Oh, jadi itulah jawapannya. Dia nak kata yang masakan aku
tak sedap. Haiya, susah sangat ke nak beritahu hal sebenar? Aku tahu, aku
bukannya seorang yang pandai masak. Kalau aku pandai masak memang dah lama aku
buka restoran.
“You ni memanglah. Tak pernah nak berterima kasih. Penat tau isteri
Syazwan masak untuk kita semua. Sekarang ni bukan senang nak cari isteri yang
pandai masak. Syazwan kira bertuah,” balas Encik Wafi dalam nada menyindir.
Aku pula tersengih-sengih. Aduhai, boleh kembang hidung aku kalau selalu
dipuji begini. Terima kasih Encik Wafi. Aku pandang Syazwan. Dia buat muka
selamba. Aku sedikit kecewa sebab dia tak memuji aku. Agak-agak, apa komennya
tentang masakan aku? Dia sukakah?
“Encik Wafi, tugas isteri tak semestinya memasak tau. Isteri zaman moden
sekarang ni tugasnya menolong suami. Kalau I kahwin nanti, I nak jadi isteri
yang serba boleh. I tak suka duduk rumah goyang kaki dan harapkan duit suami,”
balas Linda.
Aku tersentap. Entah kenapa kata-kata Linda tadi seperti ditujukan
kepadaku. Jadi, dia ingat aku duduk rumah goyang kaki dan harapkan duit suami
aku? Wah, ini sudah lebih. Dia tahu tak walaupun aku duduk rumah tapi kerja aku
di rumah ini begitu banyak yang perlu diselesaikan? Sudahlah ada suami penyepah
tegar. Itu kau kata goyang kaki? Tak mengapa, kau belum kenal lagi kehidupan
seorang isteri dan suri rumah tangga sepenuh masa. Suatu hari nanti kau pasti
tarik balik kenyataan kau itu.
Dan lagi, aku harapkan duit suami? Dia tak tahu yang aku memang nak
sangat-sangat bekerja. Aku pun tak suka guna duit orang lain walaupun suami
sendiri tapi nak buat bagaimana lagi kalau suami suruh berhenti kerja.
Agak-agak dia sanggup ke berhenti kerja kalau suaminya nanti suruh berhenti?
Huh, aku pasti dia lagi ego. Nak jadi isteri moden la katakan.
“Sudahlah tu. Korang ni asyik nak bergaduh saja kalau berjumpa. Jemput
makan,” Syazwan mula bersuara.
Bagus. Bila kawannya dah sakitkan hati aku barulah dia mahu leraikan
mereka berdua yang bertikam lidah. Terbantut terus rasa lapar aku. Terus
kenyang. Tapi itu pun aku berpura-pura tersenyum dan melayan tetamu yang
datang. Mujurlah dia ajak dua orang kawannya. Kalau 10 orang yang
bermacam-macam perangai moden mereka, mungkin boleh tak terlayan.
Aku perhatikan Linda masih dengan egonya. Hanya makan beberapa suap. Aku
biarkan saja. Sudah malas hendak layan tetamu yang begitu ego. Kalau aku buat
perangai begitu depan ibu, memang dah kena ceramah dah. Datang makan di rumah
orang buat perangai begitu.
Alhamdulillah. Habis juga hidangan yang aku masak tengah hari ini. Licin.
Semuanya dibedal habis oleh Encik Wafi dan Syazwan. Aku tak pasti sama ada
masakan aku sedap atau mereka berdua sedang kelaparan. Agaknya mereka berdua
memang kuat makan kot. Tapi Wani kata suamiku jenis yang cerewet. Agak-agak apa
komennya? Nantilah aku tanya.
“Wan, kalau isteri kau masak ikan siakap tiga rasa lagi, jangan lupa ajak
aku. Ajak aku saja, jangan ajak si Linda ni. Buang masa saja ajak dia. Dia
bukannya makan pun,” kata Encik Wafi ketika aku sedang mengemas meja makan yang
penuh dengan pinggan mangkuk kotor.
“Aku pun tak heran,” balas Linda penuh ego.
“Dah, pergi tolong Puan Dayah tu. Kesian aku tengok dia buat kerja
seorang diri,” arah Wafi kepada Linda.
“Apa you kata tadi? You nak I kemas semua ni? Helo, I tak makan sangat
ye. Biarlah orang yang makan banyak yang kemas lagipun I tetamu. Takkanlah
tetamu nak buat kerja mengemas ni. I bukannya orang gaji,” balas Linda selamba.
Aku yang mendengarnnya rasa jelik. Huh, kronik sangat dah dia ni. Aku tak
faham, macam mana suami aku boleh tahan berkawan dengan Linda. Adakah semua
wanita bekerjaya dan berjaya seperti dia berperangai begitu? Serius, aku rasa
macam nak saja sumbat sisa-sisa makanan ni dalam mulut dia.
Aku cepat-cepat angkat pinggan mangkuk yang kotor dan berlalu masuk ke
dapur. Ah, sunyi sikit. Sengaja aku lengah-lengahkan masa membasuh pinggan
mangkuk di dapur. Kalau boleh malas nak dengar kata-kata yang menyakitkan hati
dari mulut busuk Linda. Aku tak minta pun dia jadi orang gaji dan aku tahu dia
tetamu. Kalau dia tak sanggup buat kerja kelas bawah begini, sekurang-kurangnya
tutuplah mulut tu. Lepas ni, kalau Syazwan nak ajak kawan datang makan di
rumah, aku takkan benarkan sama sekali dia bawa Linda!
Oh Dayah, berani ke kau cakap begitu dengan suami kau? Nak suruh dia cuti
pun sampai kecut perut kau...
Aku mengeluh. Nampaknya selepas tiap kali aku jumpa Linda, aku kena buat
munasabah diri. Kalau tak, beginilah keadaannya. Asyik berfikir yang
bukan-bukan. Ini tak baik untuk kesihatan aku. Kalau aku sakit, macam mana aku
nak jadi isteri yang baik.
Sambil memeluk teddy bear, aku menjenguk ke dalam. Dia sedang leka
membuat kerja di bilik yang dijadikan ofis keduanya. Kemudian, bila dia perasan
kehadiran aku di muka pintu, barulah dia mengangkat kepala. Dia tidak bertanya
tetapi sebaliknya hanya memandang aku. Renungannya bukan renungan nak terkam
orang tapi aku lihat renungan selamat.
“Err... boleh saya masuk?” tanyaku.
Sekali lagi dia tidak menjawab. Dia terus menyambung kerja. Susah betul
kalau dapat suami begini. Orang tanya tak berjawab. Bertahanlah wahai hati. Nak
lembutkan hati orang yang mabuk bekerja memang payah sikit.
“Mmm... orang tua-tua kata, kalau diam tandanya setuju. Jadi saya masuk
ye,” aku terus melangkah masuk. Pintu bilik kerjanya aku tutup perlahan-lahan.
Tanpa sebarang bunyi. Takut nanti belum apa-apa dia halau aku.
Aku memandang sekeliling. Bilik kerjanya agak berselerak dengan
kertas-kertas kerja. Pernah juga aku tawarkan diri untuk mengemas tapi dia
bertegas tak beri aku kemas sebabnya dia takut aku terbuang atau tersalah letak
kerja-kerjanya. Jadi, sampai sekarang aku tak berani usik apa-apa dalam bilik
itu.
Aku berjalan terjengket-jengket melangkah kertas-kerta yang bertaburan di
atas lantai. Huh, macam manalah dia boleh bekerja dalam keadaan berselerak
begini. Kalau aku memang boleh kena stress sepanjang masa.
Tidak banyak sangat barang yang ada dalam bilik itu. Hanya yang ada meja
kerja yang penuh dengan fail dan kertas, sebuah rak buku yang hanya ada sedikit
buku yang lainnya banyak entah apa-apa barang seperti cawan, jam loceng dan
beberapa barang cenderamata yang diperolehnya. Agak berselerak juga.
Aku beralih melihat laptopnya. Nak juga tahu apa yang membuatkan dia suka
sangat dengan kerjanya. Tapi satu pun aku tak faham. Banyak sangat
nombor-nombor. Aku fikir mungkin dia ni bekerja sebagai akauntan sebabnya
banyak pengiraan yang dibuatnya. Patutlah sibuk sepanjang masa.
Kemudian dia pandang aku di sebelah. Aku pun pandang dia balik. Muka kami
hanya berjarak beberapa inci saja. Bukan sahaja aku dapat tengok muka dia dari
dekat tapi juga aku dapat dengar nafasnya. Wah, baru aku perasan, dia ada bibir
yang seksi. Agak-agak manis tak?
Tiba-tiba dahi aku dijentiknya. Serta-merta aku tersedar daripada
lamunan. Adui, parah ni. Kalau dia tak jentik aku tadi, agaknya bibirnya dah
jadi hak aku dah.
“Pergi masuk tidur,” arahnya.
“Tak mengantuk lagi,” aku menggeleng.
Tadi, memang aku mengantuk. Mana taknya kalau terpaksa layan televisyen
seorang diri. Dia pula sibuk dengan kerjanya. Disebabkan itulah aku sengaja
datang tengoknya.
“Kalau macam tu, pergi duduk jauh-jauh. Jangan kacau aku,” tegasnya. Ini
arahan. Aku mengangguk dan menurut. Lalu, aku duduk di sebuah sofa yang empuk.
Ah, bosannya. Dia langsung tak layan aku. Teringat pula situasi aku bertemu
dengannya di cafe dulu. Dia layan kerja dia dan aku pun layan novel.
Tiba-tiba aku terfikir sesuatu. Eh, aku boleh baca novel di sini. Tanpa
berlengah lagi aku terus keluar dari bilik itu untuk mengambil novel yang
sempat aku beli siang tadi. Kemudian aku masuk kembali. Tersengih-sengih aku
apabila dia memandang aku dengan muka seriusnya. Tanpa pedulikan dia, aku pun
berbaring di sofa itu dan memulakan pembacaan.
Begitulah seterusnya. Sedang dia buat kerja dia, aku layan novel sambil
goyang kaki. Aku tak kacau dia, dia pun tak kacau aku. Tapi, sampai setengah
buku, aku dah mengantuk, dia masih lagi dengan kerjanya. Gila tahan matanya.
Ah, aku dah tak tahan...
“Dayah, kalau nak tidur pergi masuk bilik,” dalam mamai aku dengar dia
bersuara. Tapi aku buat tak dengar. Dah mengantuk sangat.
“Dayah,” panggilnya lagi.
Aku abaikan lagi. Pura-pura sudah terlelap. Kemudian aku dengar bunyi
kerusi ditolak. Itu mesti dia bangun tu. Dayah, pura-pura tidur lagi!
“Dayah,” panggilnya cuba bangunkan aku tapi aku masih dengan
kepura-puraan. Agak-agak dia akan angkat aku tak? Atau dia biarkan aku tidur di
sini saja. Mmm... kalau dia biarkan aku tidur di sini, itu maknanya dia tak
kisah sangat tapi kalau dia angkat aku, itu maknanya dia sayangkan aku.
“Hisy, budak ni,” aku dengar dia mengeluh. Tidak lama selepas itu aku
terasa badan aku diangkatnya. Yes! Dia sayangkan aku! Yahooo!!!
Nak lagi..sweetnya
ReplyDeleteHahaha comel + selamba je dayah ni
ReplyDeletesyazwan tolongggg la jgn bwk linda dtg rmh ke jmp dayah ke dia jatuhkn maruah dayah berbakul2 ko bley diam n tgk je kn.. kejung btl
best..smbng lg..
ReplyDeleteAlahai cute n sweet...wat sy brangan2
ReplyDeleteHahaa... adeh dayahhh... sajer jer gatai nak.suh syazwan dukung yerr... hehhe
ReplyDeleteSuwettttnya....sambung lg pelissss......
ReplyDeleteBestnya, thanks for the entry.....^^
ReplyDeleteso sweet..nk lagi..
ReplyDeletenakal jugak dayah ni.....
ReplyDelete