“Hahaha... tak sangka betul
aku. Mula-mula aku dapat tahu pasal kau dengan Abang Syazwan, aku
rasa macam aku berada di dunia lain je. Kau dengan Abang Syazwan?
Gila punya jauh persamaannya,” Yana, sepupu karib aku datang
menziarah petang itu. Semuanya setelah berita tentang perkahwinan aku
dengan Syazwan tersebar dengan meluasnya.
Aku sudah agak dari awal lagi.
Berita begini pastinya akan tersebar dengan meluas dalam kalangan
keluarga aku. Tak kira keluarga sebelah ibu atau ayah. Lagipun jarak
tarikh perkahwinan aku tidak sampai sebulan lagi. Pastilah ibu dan
ayah sudah bersiap sedia sebarkan berita ini kepada semua ahli
keluarga supaya mereka dapat mengatur perjalanan untuk hadiri majlis
itu nanti.
Tambah lagi, anak Mak Cik Zara,
Syazwan akan berkahwin dengan aku. Kedua-duanya anak tunggal. Sudah
tentu-tentulah ini kali pertama dan terakhir kedua keluarga akan
mengadakan hari perkahwinan (harap begitulah). Awal-awal lagi nenek
nak buat kenduri yang meriah.
“Kau bagi mantera apa kat Abang
Syazwan hah sampai dia sudi kahwin dengan kau?” tanya Yana inginkan
kepastian. Mana tidaknya, aku dengar Yana cerita macam-macam tentang
Syazwan. Sedikit buat aku gentar dengan lelaki yang tua lima tahun
dari aku itu.
Walaupun dia tua lima tahun
daripada aku tetapi aku tak memanggilnya Abang Syazwan seperti mana
Yana dan beberapa sepupu aku yang sebaya dengan aku. Dulu, memang aku
pernah panggil Syazwan dengan pangkat abang tapi aku dah tak berani
panggil dia abang sebab pernah kena herdik dengannya.
“Abang? Sejak bila aku jadi
abang kau?” marahnya.
Sejak hari itu, aku tak berani
panggil dia Abang Syazwan. Mula-mula pelik juga bersaya-awak dengan
dia tapi lama-lama tidak lagi. Tapi sepupu-sepupu aku yang lain
panggil dia dengan panggilan Abang Syazwan boleh pula. Tak faham aku.
Aku fikir, mungkin dia anti dengan aku. Yelah, tengok muka aku pun
macam nak terkam saja. Sekarang ni, dia setuju nak kahwin dengan aku
pula. Lagilah aku tak faham.
“Aku pun tak faham. Kau tahu,
masa kami berjumpa tu, dia langsung tak cakap apa-apa dengan aku. Aku
fikir aku dah gagal tapi tak sangka pula dia nak teruskan rancangan
jadi calon gantian,” kusut aku memikirkannya.
“Mmm... jangan-jangan Abang
Syazwan memang ada hati pada kau tak?” teka Yana yang kini sedang
sarat mengandung anak kedua.
Aku terfikir sejenak. Mungkin
juga. Tapi, aku tak yakin dia ada hati dengan aku. Sebabnya, boleh
dikatakan setiap tahun aku dengar nenek nak jodohkan dia dengan entah
mana-mana perempuan tapi semuanya tidak menjadi.
“Aku rasa mungkin sebab dia dah
malas nak tepis arahan nenek suruh berkahwin kot atau sebab dia dah
sedar yang dia dah tua sangat untuk hidup bujang,” jawab aku
selamba.
“Tapi, aku tabik la dengan dia.
Berani ingkar arahan nenek. Kalau tak dari dulu lagi dia dah kena
kahwin dengan aku.”
“Hai, macam cemburu je,” aku
berpura-pura menyindir. Aku tahu, dulu Yana memang suka pada Syazwan
tapi awal-awal lagi kena reject.
“Memanglah. Dia cinta pertama
aku. Tapi itu dulu. Sekarang, aku dah ada cinta sehidup semati yang
lagi sweet daripada Abang Syazwan,” katanya sambil mengusup
perutnya yang buncit itu.
“Ceh!”
“Tapikan, daripada Ammar lebih
baik dengan Abang Syazwan,” Yana mula buka topik pasal Ammar pula.
“Kenapa?”
“La... takkan kau tak kenal
dengan perangai Ammar tu? Dia bukannya hargai kau pun sepanjang kau
jadi tunang dia. Kerja pun tak menentu. Aku pun tak faham kenapa
Sally tu jatuh cinta pada Ammar.”
“Mungkin dah jodoh dia orang,”
aku cuba sedapkan hati.
Sebenarnya, aku tak ambil hati
sangat apa yang Sally dah buat pada aku. Mungkin sebab dari awal lagi
aku tak ada hati dengan Ammar. Bagi aku dia belum layak lagi jadi
lelaki sejati. Dan aku pun tak terkejut sangat bila dia melarikan
diri sewaktu perkahwinan kami akan berlangsung dalam masa dua bulan
lagi. Cuma aku terkejut dia lari dengan Sally. Aku tak faham kenapa
Sally buat begitu. Apa salahnya kalau mereka berterus-terang saja.
Aku pun bukanlah nak sangat perkahwinan ini berlangsung. Aku marah
bukan sebab dia rampas tunang aku tapi aku marah sebab dia sanggup
tipu aku.
“Tulah, kau ni cepat sangat
percayakan orang. Dari dulu lagi aku dah suruh kau hati-hati dengan
Sally tu.”
“Manalah aku tahu perkara ni
akan terjadi.”
Kalau aku tahu awal-awal, memang
aku dah lama komplot dengan dia orang supaya aku boleh hentikan
rancangan perkahwinan ini. Jadi, tak adalah cerita ini dipanjangkan
sampai aku kena kahwin dengan Syazwan.
Ahh... aku masih tak percaya yang
aku akan berkahwin dengan dia...
Hari ini aku pergi kerja dengan
menyebarkan kad jemputan yang baru sampai semalam. Mula-mula
bergetar-getar juga hendak beri kad jemputan kepada rakan-rakan
pejabat. Maklumlah nama pengantin lelaki sudah bertukar. Tapi
mujurlah semua orang tak perasan. Lagipun rasanya mereka pun tak tahu
sangat nama bekas tunang aku dulu. Aku hanya panggil Ammar sebagai
Abang. Jadi, mungkin sebab itulah mereka tak perasan nama pengantin
lelaki sudah bertukar. Tunggulah waktu bersanding nanti.
“Tersengih-sengih nampak. Makin
berseri-seri muka bakal pengantin ni,” sindir Liza tiba-tiba sekali
gus mengejutkan aku.
Senyum? Aku senyum? Bila? Aku
meraba-raba mukaku. Habis, apa kena dengan aku ni? Sejak bila bibir
aku pandai senyum sendiri sampai aku sendiri tak perasan? Malunya!
Pasti mereka fikir aku dah tak sabar sangat nak kahwin. Padahal, aku
tengah pening kepala macam mana nak jadi isteri kepada lelaki yang
workaholic tu.
“Ah, cemburunya. Nampaknya
lepas ni tinggal kita berdua sajalah dalam ofis ni yang belum
berpunya,” keluh Qaseh.
“Ala, janganlah cakap begitu.
Tak lama lagi sampailah giliran kau,” aku cuba memujuk Qaseh.
“Kau jangan layan sangat Qaseh
tu. Dia tu dah terlebih kasih sayang. Dia tu, beratur-atur lelaki
tengah tunggu nak masuk line tapi dia saja yang tak nak. Entah putera
kerajaan mana yang dia tunggu,” balas Liza.
“Hey, aku tengah bagi peluang
pada diri aku memilih putera raja. Sekurang-kurangnya aku mencari,
bukan main tangkap muat saja,” balas Qaseh.
“Bertuahlah korang boleh pilih
memilih,” aku mengeluh mengenangkan nasib aku.
“Err... Dayah, aku bergurau
saja. Jangan ambil hati ya,” Qaseh cepat-cepat meminta maaf.
Aku bukannya kecil hati dengan
kata-kata Qaseh tapi aku berharap dapat jadi seperti mereka. Berhak
memilih teman hidup. Memang sudah nasib aku lahir dalam keluarga yang
mementingkan hubungan persaudaraan. Aku juga ingin rasa mencintai
seseorang dan dicintai seseorang. Pasti indah macam dalam novel yang
pernah aku baca. Malangnya, aku tak dapat rasa semua itu.
“Ah, apa kata hari ni kita
makan besar? Aku belanja!” Aku cuba sedapkan hati.
“Okey!” sorak Liza. Pantang
bila dengar orang nak belanja. “Sushi King tau.”
“Banyak kau punya duit. Aku
sekarang ni tengah berjimat cermat. Kalau tak, lepas kahwin nanti aku
nak makan apa? Sudahlah perbelanjaan kahwin sekarang ni semuanya
naik.”
“Kalau dah tahu macam tu, kau
pergi letak jawatan buat apa,” ujar Liza.
“Hah? Apa? Letak jawatan?”
Liza dan Qaseh mengangguk. Aik?
Bila masa pula aku kata nak letak jawatan selepas kahwin? Gila apa.
Macam mana aku nak sara diri aku dan keluarga aku?
“Siapa kata aku nak letak
jawatan?” tanya aku. Entah siapa pula yang buat cerita. Dalam ofis
ni, hanya ada tiga orang kerani. Aku, Qaseh dan Liza. Maklumlah
bekerja di pejabat peguam kecil memang tak meriah sangat dengan
bilangan kakitangan. Jadi, kalau ada apa-apa berita muncul, pasti
daripada bos ataupun kami bertiga saja.
“Bukan ke kau dah hantar surat
peletakan jawatan?” tanya Qaseh.
“Hah? Bila?”
“Encik Razak yang beritahu
semalam.”
“Hah?” Sekal lagi aku
terkejut. Memang semalam aku tak dapat datang kerja sebab terpaksa
menolong ibu membuat persiapan perkahwinan aku tapi mana pula
datangnya cerita aku letak jawatan? Siapa yang pandai-pandai buat
cerita?
“Serius?”
“La... kau sendiri yang letak
jawatan, kau pergi tanya kami pula.”
“Tapi aku tak letak jawatan pun
dan tak terfikir pun nak letak jawatan. Ni mesti korang nak kenakan
aku ni.”
“Ya Allah. Sumpah. Encik Razak
yang umumkan semalam. Lagi aku pelik, surat peletakan jawatan kau tu
di hantar secara berdaftar.”
“Apa?” sekali lagi aku
terkejut. Gila apa!
“Kalau kau tak percaya, pergi
tanya Encik Razak kalau dia masuk nanti.”
Takkanlah... siapa pula yang nak
dajalkan periuk nasi aku ni?
“Kalau awak tak datang, saya
akan redah ofis awak dan buat kacau macam gengster mintak hutang!”
Itu ugutan yang aku bagi kepada bakal suami aku.
Geram pula aku dibuatnya. Ada ke
patut dia pandai-pandai pergi serahkan surat peletakan jawatan bagi
pihak aku? Pagi-pagi lagi aku tension bila dapat berita itu. Entah
apa yang tidak kena dengan kerja aku ini.
Aku bukannya melacurkan diri. Ini
kerja halal aku. Walaupun jawatan aku sebgai kerani tetapi itu sudah
cukup untuk aku menyara diri. Tindakan dia memberikan surat peletakan
jawatan bagi pihak aku memang mengundang kemarahan aku. Itu belum
lagi jadi suami aku. Kalau jadi suami aku, entah apa pula yang dia
buat selepas ini.
Aku menunggunya dengan sabar di
cafe yang sama. Walaupun aku tak pasti di mana pejabatnya, tetapi aku
pasti dia kerja di tempat berdekatan. Walaupun dia tak beri kata
putus dia akan datang, aku pasti dia akan muncul punya.
Hampir satu jam aku menunggu,
akhirnya dia muncul di depan aku. Namun dia tidak duduk. Dia hanya
pandang aku seperti biasa. Bila aku hendak buka mulut, dia berlalu ke
kaunter cafe. Aku hanya memerhati dari jauh sambil tertanya-tanya
kenapa dia pergi ke kaunter pembayaran. Bukankah senang panggil
pelayan saja kalau nak pesan minuman.
Bila aku nampak dia hulurkan duit
kepada penjaga kaunter, barulah aku faham. Tanpa berlengah lagi aku
terus menghampirinya. Sekali lagi, belum sempat aku nak berkata
apa-apa, dia terus tarik tangan aku sehingga aku terpaksa
mengekorinya keluar dari cafe itu.
Dia jalan begitu laju sehinggakan
aku yang ditariknya terpaksa mengandakan langkah untuk mengikut
rentaknya. Kami tiba di sebuah restoran makanan barat. Masuk sahaja
ke dalam, aku dengar dia berkata sesuatu pada pelayan restoran itu.
Tidak sampai beberapa saat, aku ditarik lagi sehingga sampai ke
sebuah meja yang sudah terhidang dua pinggan. Salah satunya makanan
kegemaran aku, chicken grill. Nampak macam menyelerakan.
Nanti dulu! Ini bukan sebab utama
aku datang nak jumpa dia. Aku inginkan penjelasan bukannya nak minta
makan. Tapi... perut aku dah tak tahan lagi. Macam perut aku ni
nampak saja makanan kegemarannya. Mmm... apa salahnya kalau makan
dulu. Bukan senang aku nak dapat makanan sedap begini. Maklumlah jadi
bakal pengantin ni memang banyak dugaannya. Lebih-lebih lagi terpaksa
berpisah dengan makanan yang aku gemari.
Aku terus makan tanpa pandang
kiri kanan lagi. Begitu juga dengan Syazwan. Hampir setengah aku
makan, perut pun hampir penuh, aku ingin memulakan mukadimah. Namun,
belum sempat aku nak bersuara, Syazwan dah bersuara dulu.
“Time makan jangan bercakap,”
dia menegur. Tegas suaranya.
Terus aku terdiam. Adui, aku
belum lagi bercakap. Macam mana dia tahu aku nak bercakap ni? Macam
ahli nujum la pula.
“Habiskan dulu makanan tu.
Lepas tu kau nak tanya apa pun tanyalah,” dia bersuara lagi.
Aku pun, apa lagi. Terus makan
dan makan.
“Boleh tak makan
perlahan-lahan? Aku takkan lari ke mana pun,” dia sudah marah.
Hampir tersentap aku. Akhirnya, perlahan-lahan aku kunyah makanan.
Aku tak faham. Apa hal dengan
diri aku sekarang ni? Kenapa aku ikut sangat arahan dia? Agak-agak
dia pakai bomoh kot supaya aku tunduk dengan dia. Habis aku. Habis!
Payahlah kalau aku tunduk dengan dia. Nanti senang-senang dia boleh
pijak kepala aku.
Atau... selepas kahwin nanti dia
akan dera aku macam dalam novel yang aku baca malam tadi. Betullah.
Selalunya bila kena kahwin paksa ni, lelaki kuat memberontak. Habis
perempuan yang lemah dikerjakan. Tak nak! Aku tak nak jadi begitu.
Walau betapa handsomenya atau sweetnya jalan cerita dalam novel tu,
tapi aku tak nak kena dera.
Adui, apa yang patut aku buat ni?
Boleh ke aku tolak perkahwinan ni? Apa pula alasan aku nak tolak?
Barang-barang perkahwinan semua sudah dibeli. Kad kahwin juga sudah
diedar. Dayah, kau jangan buat hal.
“Wei, aku suruh kau makan
perlahan-lahan bukannya makan macam kura-kura,” suara itu
menyentakkan aku dari lamunan. Aku terus tersedar.
Sedar-sedar saja aku tengok
pinggannya sudah licin. Gila cepat dia makan. Baru kejap tadi aku
tengok pinggannya penuh dengan makanan. Atau... aku yang lambat. Aku
pandang jam tangan aku. Waa... dah nak dekat pukul 2.00 petang. Aku
patut masuk ofis sekarang!
Apa lagi kelam-kabut aku menyuap
makanan sehingga satu tahap aku tersedak makanan. Menggagau aku capai
cawan. Alamak, air tinggal sikit. Air! Air! Aku terus rampas cawan
Syazwan yang masih penuh lagi. Teguk dan teguk sehingga habis air
dalam cawan itu.
“Ah, lega!” aku mengeluh
melepaskan kelegaan.
Tiba-tiba aku terasa seperti ada
semua mata sedang memerhati aku. Perlahan-lahan aku melihat
sekeliling. Memang betul. Semua mata sedang melihat aku. Tidak selesa
dengan pandangan mereka, aku segera mengangkat kedua tangan menutup
setiap sisi muka aku dan menunduk ke bawah.
Malu gila. Selepas beberapa minit
aku rasa tiada lagi yang memandang aku tapi aku tetap rasa ada satu
mata tidak berkelip memandang aku. Perlahan-lahan aku mengangkat
kepala memandang ke depan. Syazwan memandang aku dengan gaya kedua
tangannya menyilang di dada. Nampak sangat dia tengah tak berpuas
hati dengan aku sebab dah malukan dia.
Ah, aku tak faham. Kenapa aku
selalu sangat buat perangai pelik depan dia?
Kemudian, dia berlalu bangun
tanpa berkata apa-apa. Aku nampak dia menuju ke kaunter pembayaran.
Tanpa berlengah lagi aku terus mendapatkannya.
“Eh, saya bayar,” aku segera
menahan tangannya yang ingin menghulur kad kredit kepada penjaga
kaunter itu.
Syazwan tidak berkata apa-apa
sebaliknya dia memberikan isyarat, 'bayarlah kalau kau mampu'. Huh,
ingat aku tak mampu ke?
“Berapa?” aku bertanya pada
pelayan itu.
Bil dihulurkan. Terkejut beruk
aku bila melihat bil yang hampir mencecah angka seratus itu. Wei,
baru dua orang makan tapi bil dah sampai seratus? Gila punya mahal
restoran ni. Aku tahulah chicken grill yang aku makan tadi sedap tapi
janganlah caj sampai seratus untuk dua orang. Cekik darah sungguh.
Syazwan ni pun satu. Aku syak
memang dia sengaja nak kenakan aku. Tengoklah muka dia macam
berlagak. Macam dia tahu aku tak mampu nak bayar bil begitu. Huh,
jangan ingat aku tak ada duit. Aku segera keluarkan debit kad aku
untuk membuat pembayaran. Apalah sangat bayar pakai kad kredit. Tak
beri manfaat langsung. Orang pakai debit kad lagi kaya tau!
Ketika itu, aku nampak icon wang
aku yang bersayap terbang di angkasa... Habis, bajet duit novel aku
bulan ni. Seratus tu aku boleh beli tiga buah novel tau!
Setelah menerima kad aku kembali
dan menyelesaikan pembayaran, aku sedar-sedar Syazwan sudah hilang.
Melilau aku mencarinya. Rupa-rupanya dia dah sampai ke pintu keluar.
Tanpa berlengah lagi aku terus kejar dia. Itupun setelah teringat
yang aku datang nak cari dia sebab tak puas hati. Aku ingin
penjelasan kenapa dia serah surat peletakan jawatan bagi pihak aku
tanpa kebenaran aku.
“Awak, “ aku terpaksa berlari
untuk menyaingi langkah kakinya yang panjang.
Tiba di sebuah kereta wira lama,
dia berhenti. Aku pun berhenti. Lalu dia membuka pintu kereta itu.
Aik? Itu kereta dia? Aku pandangnya kemudian pandang keretanya.
Sungguh tak sangka... Okey, aku bukan menghina keretanya tapi...
tapi... bila tengok gaya pemakaiannya yang segak dengan pakaian
berjenama... adui! Aku pula yang stress.
“Masuklah, apa tunggu lagi,”
arahnya.
Tak payah dia bercakap kali
kedua, aku terus masuk. Betullah. Dia ni mesti pakai bomoh nak
tundukkan aku. Setiap kali apa yang dia arah mesti aku buat.
Janganlah dia arah yang bukan-bukan.
“Dah masuk tu tak reti-reti nak
pakai tali pinggang?” dia bantai aku lagi dengan kata-kata yang
menyakitkan hati. Sekali lagi aku senyap dan menurut. Selepas aku
pakai tali pinggang, dia terus pecut keretanya.
Wahh... aku tak patut hina
keretanya tadi. Tengok saja macam kereta orang bawak pergi masuk
hutan tapi laju bukan main. Bunyi pun boleh tahan. Macam bunyi kereta
F1. Tapi, ini bukan masanya aku nak puji keretanya. Ini masanya aku
tegas sikit dengan dia. Mari gertak dia sampai dia terkencing dalam
seluar. Pandai-pandai buat keputusan bagi pihak aku. Dia belum tengok
lagi aku mengamuk, bukan? Bersedialah!
“Kenapa awak pandai-pandai buat
keputusan bagi pihak saya? Saya tak beritahu pun saya nak letak
jawatan selepas kahwin nanti.”
“Habis tu takkan kau nak
ulang-alik dari KL ke Shah Alam hari-hari lepas kita kahwin nanti?”
“Apa kena mengena dengan KL
pula? Rumah saya bukan dekat KL.”
“Tapi rumah aku di KL.”
Eh! Yelah! Kenapa aku tak ingat
langsung yang dia dah ada rumah di KL dan dia memang duduk di KL. Aku
menepuk dahi. Kalau aku dah kahwin dengan dia, gerenti aku kena
tinggal dengan dia. Takkan aku nak buat perangai tinggal di rumah ibu
dan ayah aku di Klang.
Eh... aku boleh pujuk dia tinggal
dengan keluarga aku, kan? Macam Yana dengan suaminya. Lagipun aku
boleh bagi alasan yang aku belum bersedia nak tinggal jauh dari ibu
bapa aku. Cantik! Nanti, biarlah dia ulang-alik dari Klang ke KL
setiap hari dan aku boleh bekerja dengan senang hati!
“Awak...” suara manja aku dah
keluar. “Apa kata kalau bila dah kahwin nanti..."
"Kau pindah dengan aku
juga," dia terus memotong kata-kataku. Adui, dia ni macam boleh
baca saja apa yang ada dalam otak aku ni. Tak boleh jadi, lawan tetap
lawan. Sebelum dia jadi suami aku baik aku lawan. Nanti bila dah sah
jadi suami aku, susah sikit nak ingkar. Berdosa lawan suami.
“Okey, saya akan pindah duduk
dengan awak tapi boleh tak beri saya masa sikit. Dalam tiga bulan?”
Dia senyap.
“Dua bulan?” Aku tidak
mengalah.
Dia tetap tak melayan permintaan
aku.
“Satu bulan setengah?”
Tolonglah bagi aku peluang.
“Seminggu,” Akhirnya dia
bersuara.
Tapi aku langsung tak gembira.
Seminggu? Dia bagi aku masa seminggu saja?Gila punya kedekut.
Bencilah begini. Betul apa lagi dia dah nak kawal hidup aku.
Betul-betul King Control rupanya bakal suami aku ni.
“Seminggu mana cukup. Awak tahu
tak yang saya ni anak tunggal? Sekurang-kurangnya bagilah masa sikit.
Lagipun berkahwin dengan awak bukan rancangan asal saya. Saya kena
suaikan dengan banyak perkara termasuklah awak,” aku
berterus-terang.
“Kalau nak suaikan diri dengan
aku, tinggal sajalah dengan aku,” katanya. Ringkas dan selamba.
“Tapi...” Aku dah tak tahu
nak bagi alasan apa lagi. Betullah apa yang dia kata. Kalau aku nak
suaikan diri dengan dia, aku kena tinggal dengan dia. Tapi masalahnya
aku tak nak tinggal dengan dia. Kalau aku tinggal dengan dia, aku
kena berhenti kerja dan jadi isteri sepenuh masa. Sudahlah dia
tinggal jauh dari keluarga aku. Mesti bosan hidup seorang diri dengan
dia.
Aku mengeluh. Tapi, aku takkan
mengalah.
“Bagaimana kalau saya tinggal
dengan awak tapi dalam masa yang sama saya bekerja di KL nanti?”
“Tak boleh,” terus-terang dia
membantah.
“Kenapa pula tak boleh? Awak
tahu tak saya masih ada hutang dengan PTPTN lagi? Habis, kalau saya
tak kerja, dengan apa saya nak bayar PTPTN tu?” aku bagi alasan
cantik punya.
Dengan perangainya begini, aku
gerenti, dia takkan berani bayar hutang PTPTN aku. Bukannya dua tiga
ratus tapi beribu-ribu. Kalau aku pun kena fikir banyak kali nak
bayarkan hutang orang dengan ekonomi yang tak stabil sekarang ini.
“Nanti aku bayarkan.”
Hah? Ternganga aku mendengarnya.
Ini tak boleh jadi.
“Tapi hutang saya tu banyak
lagi...”
“Tinggal RM10 ribu lagikan?”
Aku tersentap. Mana dia tahu? Dia
siasat semua butiran aku ke? Ini memang gila. Arghhh... bakal aku
suami aku ni bukan sahaja workaholic tapi psiko juga! Lagilah aku
takut nak berkahwin dengan dia.
“Awak... saya tahu awak ni
banyak duit tapi... perlu ke awak habiskan duit awak untuk bayar duit
PTPTN saya? Tengok, saya ada kaki dan tangan yang sempurna. Otak saya
juga sempurna. Jadi, apa kata kalau awak benarkan saya bekerja,”
aku merayu lagi.
“Pendek kata, kau, perlu
tinggal dengan aku dan jadi suri rumah tangga sepenuh masa. Keputusan
aku muktamad,” tegasnya.
Haa... kenapalah aku sentiasa
ditimpa malang...
Nak lagi ngeeee
ReplyDeleteBest...nk lagi....
ReplyDeleteBesttt.. dasat yer syazwan dah siasat sumer.. hihi
ReplyDeletedasattt betul king kontrol ni... liyana more pls best tu..
ReplyDeletehaiyaaa... abg syazwan....
ReplyDeletesuka kat syazwan :)
ReplyDelete