Alhamdulillah. Dengan sekali lafaz, aku sah
bergelar isteri Syazwan. Majlis pernikahan kami yang berlangsung di masjid
berjalan dengan lancar.
Aku sendiri tak dapat gambarkan perasaan aku
sekarang. Perasaan aku bercampur baur. Ada gembira. Ada juga sedih. Gembira
sebab ibu dan ayah sudah boleh menghela nafas lega dengan perkahwinan aku ini.
Mereka tak perlu lagi pening kepala memikirkan siapa yang akan menjaga anak
tunggal mereka ini kelak.
Sedih sebab mulai hari ini aku tak boleh
lagi bermanja-manja dengan ibu dan ayah. Entah bagaimanalah hidup aku tanpa
mereka. Mesti sunyi. Tambahan lagi aku perlu duduk serumah dengan Syazwan. Ah,
lagilah bertambah sunyi. Bagaimanalah keadaan aku bila duduk serumah dengan dia
nanti. Harap-harap dia tak buli aku.
“Dayah!” sergah Yana tiba-tiba membuatkan
aku tersentap.
“Hah? Kenapa?” Kelam-kabut aku memandang
kiri kanan. Serta-merta mak andam yang sedang mekapkan aku juga tersentap.
“Apa hal dengan kau ni?” tanya Yana sudah
bercekak pinggang.
“Aku pula. Kau yang sergah aku. Mujurlah aku
tak ada penyakit lemah jantung.”
“Mananya aku tak sergah. Kau tu asyik
mengelamun saja. Pengantin baru mengelamun tak baik tau!” Yana sudah mula
membebel.
“Aku tahulah. Aku cuma berfikir...”
“Apa yang kau fikirkan sampai aku panggil
pun kau tak dengar?”
Macam-macam aku fikir. Nak saja aku sebutkan
satu persatu yang menganggu fikiran aku sekarang ini. Mungkin sampai esok hari
pun aku tak habis ceritakan. Tapi kalau aku ceritakan pun, bukannya Yana hendak
mendengar. Ada sahaja yang dibidasnya nanti. Jadi, lebih baik aku senyap.
“Kau nak kata apa tadi?”
“Aku nak tanya, siapa pengapit kau nanti?”
tanya Yana.
“Pengapit? A'ahlah. Pengapit!” aku menepuk
dahi. Baru aku teringat pasal pengapit. Pengapit yang aku lantik sebelum ini
sudah lari dengan bekas tunang aku! Ah, kenapalah aku tak terfikir langsung
tentang hal ini?
“Jangan kata kau tak ada pengapit,” Yana
merenung aku dengan tajam.
Aku tersengih-sengih.
“Dayah...”
“Ya ampun! Aku tak ingat langsung pasal
pengapit aku yang dah lari tu.”
“Ah, sudahlah. Tak guna nak salahkan sesiapa
buat masa sekarang ni. Kita tangkap saja mana yang layak jadi pengapit kau
nanti.”
“Kau sajalah jadi pengapit aku,” aku terus
bagi kata dua.
“Kau dah gila? Aku yang berbadan dua ni jadi
pengapit kau?”
Aku tersengih lagi. Opss... lupa.
“Ah, bukan ke kita ramai sepupu yang lain.
Kau arahkan saja mereka jadi pengapit akulah. Aku malas nak fikir hal
remeh-temeh lagi.”
“Okey, kalau macam tu aku suruh adik aku
saja. Aku pergi dulu. Jumpa kat dewan nanti ya,” Yana memeluk aku.
Aku cuba tersenyum. Aku tahu, dia risaukan
aku. Walaupun banyak perkara yang aku fikirkan sekarang, tapi aku tak sampai
hati nak luahkan kepadanya. Sudahlah dia tengah mengandung, nanti kalau apa-apa
berlaku pada anak dalam kandungan dia, aku pula yang tak senang hati. Jadi,
lebih baik simpan saja dalam hati.
“Dayah!”
Sekali lagi aku terkejut dengan sapaan
seseorang yang main redah saja pintu bilik aku. Mujurlah aku hanya tersentak
saja. Cuma mak andam yang sedang mekap muka aku saja yang hampir melatah.
Sedikit mencuit hati aku.
“Liza! Qaseh! Korang ni nak aku mati cepat
ke?”
“Hah, tahu pun. Rasakan apa yang kami rasa!”
balas Liza macam orang tak puas hati. Aik? Aku ada buat salah ke? Rasanya aku
memang dah jemput mereka berdua ke majlis perkahwinan aku sebelum aku letak
jawatan dengan rela hati.
“Kenapa dengan korang ni?” tanyaku ingin
tahu.
“Kenapa? Kau masih tanya kami kenapa?”
“Mestilah aku tanya sebab aku tak tahu
kenapa,” balasku. Pelik juga dengan mereka berdua. Macam sakit hati dengan aku
pun ada.
“Cuba kau ingat balik, apa yang kau terlupa
nak beritahu kami?” tanya Qaseh.
Aku mengerut dahi. Aku ada lupa beritahu
mereka ke? Aku yakin, aku dah jemput mereka datang ke perkahwinan aku. Aku juga
yakin, aku tak bagi kad perkahwinan yang salah. Jadi, apa masalahnya? Aku
bukannya ada rahsia lain. Takkanlah aku nak rahsiakan tarikh perkahwinan aku
pada mereka berdua. Apa faedahnya aku berbuat demikian.
Err... tiba-tiba aku teringatkan sesuatu.
Yalah! Aku lupa nak beritahu mereka pasal pengantin lelaki dah bertukar orang.
“Hehehe...” aku hanya mampu tersengih.
“Hehehe...” Qaseh mengajuk aku.
“Ampun, bukan aku sengaja nak rahsiakan.
Semuanya berlaku dengan tiba-tiba,” jawabku.
“Apa dah berlaku sebenarnya? Kenapa
pengantin lelaki tiba-tiba bertukar? Suami kau tu buat pembedahan plastik ke?”
tanya Liza bertubi-tubi.
“Bukan buat pembedahan plastik tapi memang
pengantin lelaki dah bertukar,” jawab mak andam yang sudah selesai mekapkan
aku.
“Hah? Bertukar?”
“Err... susah sikit nak terangkan,” aku pula
serba salah hendak terangkan. Kalau aku beritahu hal sebenar, macam buka aib
orang sebab mereka kenal rapat juga dengan Sally. Mana tidaknya kawan satu
sekolah.
“Jangan kata dia lari dengan Sally tu...”
teka Liza. Qaseh di sebelah cepat-cepat memukul Liza dan beri isyarat supaya
tidak bersuara lagi.
“Macam mana korang tahu?” tanyaku.
“Err... kami agak je,” Qaseh cepat-cepat
cover line. Tapi aku tetap tak percaya.
“Okeylah. Memandangkan perkara ni dah
terbukti, jadi biarlah kami berterus-terang sajalah ya,” Liza pula bersuara.
“Sebenarnya, kami pernah nampak Sally dengan tunang kau tu keluar bersama
tengok wayang.”
“Ya... tapi demi menjaga hati kau, kami tak
berani nak beritahu. Lagipun Sally tukan kawan rapat kau,” tambah Qaseh.
“Jadi, korang memang dah tahu awal-awal
lagi?” tanyaku.
Mereka berdua mengangguk.
“Pada mulanya memang kitorang rasa macam
kesian juga dengan kau dapat tunang yang suka berpoya-poya dengan kawan kau
sendiri. Tak sangka betul Sally sanggup buat kau macam ni.”
“Ah, jangan risau lagi hal tu. Aku pun tak
kisah sangat dah. Yang penting sekarang, aku dah kahwin.”
“Ya, yang penting kau dah kahwin! Dan suami
kau lagi handsome daripada bekas tunang kau tu. Mana kau kenal dia?” tanya Liza
teruja ingin tahu.
Aku hanya tersenyum. Mana aku kenal? Apa
punya soalan. Rasanya sudah berkali-kali aku beritahu mereka yang jodoh kami
ditentukan keluarga. Mustahil aku dapat memilih. Kalau aku diberi peluang untuk
memilih pun aku takkan berjaya punya sebab aku tak ramai kawan lelaki yang
rapat.
Tidak lama kemudian, pintu bilik aku
diketuk. Kak Wana, menjenguk ke dalam.
“Ya Allah tak siap lagi? Cepat bersiap,
majlis persandingan akan bermula sekejap lagi,” arah Kak Wana.
Aku segera tengok jam. Wah! Hanya ada
setengah jam lagi! Habislah aku. Sudahlah suami aku tu pantang betul tengok
orang lambat sikit. Aku pula baju pun belum pakai lagi.
“Err... kami pergi dulu ya. Maaf menganggu,”
Qaseh dan Liza tersengih-sengih ingin meminta diri.
“Korang jangan balik dulu ya. Tunggu sampai
aku habis bersanding,” dalam kelam-kabut mereka bersalaman dengan aku, sempat
lagi aku paksa mereka jangan pulang.
“Mestilah. Kami nak tangkap gambar
banyak-banyak dengan kau. Ambil berkat,” ujar Liza sebelum berlalu dari situ.
Dan aku pun kelam-kabut menyarung baju kahwin...
Majlis persandingan berlangsung dengan
lancar. Mula-mula jejakkan kaki ke pelamin memang menggeletar kaki. Apatah lagi
kena duduk menghadap orang ramai. Kena kontrol ayu. Nasib baiklah acara
persandingan tidak memakan masa yang lama. Selesai sahaja kedua-dua belah
keluarga menepung tawar, kami pun beralih ke acara makan beradab.
Lihat sahaja lauk-lauknya memang
menyelerakan tapi malangnya kena makan dengan penuh keayuan. Aku rasa kalau
tidak ada orang memerhati memang laju je aku bedal udang besar yang terhidang
itu. Itu makanan kegemaran aku. Masakannya juga boleh tahan. Tidak pasti sama
ada perut aku lapar atau sudah lama tidak menghadap makanan sesedap begitu.
Kalau tidak silap Syazwan yang uruskan hal makanan. Pandai juga dia cari
catering yang terbaik begini. 10 markah untuk dia.
Aku langsung tidak boleh tumpukan dengan
pemakanan aku. Sebabnya tiap kali aku hendak menyuap nasi ke mulut, ada sahaja
yang ingin bergambar dengan kami. Itu belum lagi jurukamera yang dilantik
menyuruh kami buat adegan tertentu. Suap bersuap jugalah aku dengan Syazwan.
Sungguh plastik. Aku takkan tengok gambar begitu.
Acara makan beradab berakhir juga. Aku makan
sikit sahaja. Walaupun masih lagi lapar tapi aku sudah tiada selera hendak
habiskan makan. Seterusnya aktiviti bebas. Waktu ini, aku mengambil peluang
bertemu dengan para tetamu yang hadir untuk mengucapkan terima kasih kerana
sudi datang ke majlis ini. Dan aku sekali lagi jadi popular apabila kebanyakan
tetamu ingin bergambar denganku.
Tiba di sebuah meja, aku mula perasan yang
aku tak pernah lihat pun mereka ini. Mungkin kawan-kawan suamiku. Sangkaan
benar belaka apabila suamiku menegur mereka. Ini baru pertama kali aku tengok
suamiku bergaul dengan kawan-kawannya. Oh, tak sangka dia pandai bergaul.
Tengok gaya macam orang pendiam. Cakap dengan aku pun hanya beberapa patah.
“Wan, kau tak nak kenalkan isteri kau ke?”
pertanyaan seorang lelaki sedikit buat aku tersentap dari lamunan.
Betul! Takkan tak nak kenalkan kawan-kawan
pada isteri sendiri. Aku rasa macam dah jadi tunggul kayu bila tengok mereka
bersembang. Apa punya suami. Tadi, jenuh juga aku kenalkan dia dengan
kawan-kawan aku. Seorang demi seorang tau. Dia pula boleh buat aku macam
tunggul kayu pada saat ini.
“Kenalkan, Nur Hidayah. Nama manjanya
Dayah,” aku diperkenalkan juga kepada kawan-kawannya. Huh, dia kenalkan aku
sekali dengan nama manja? Memang sengaja nak kenakan akulah tu.
“Siapa?” tanyaku kepada suamiku. Takkanlah
dia tak nak kenalkan mereka pada aku pula? Aku nak tahu juga, sama ada mereka
kawan sekolah atau kawan tempat kerjanya. Hisy!
“Kawan,” jawabnya pendek.
Adui, tahulah kawan. Takkan hantu kot. Ah,
sudahlah. Kedekut sangat nak kenalkan kawan-kawannya.
“Hai, terima kasih kerana sudi datang,” aku
menyapa mereka dengan senyuman.
“Maunya tak sudi. Suami puan saja yang tak
beberapa sudi jemput kami. Boleh pula semalam dia baru beritahu kami yang dia
nak berkahwin hari ni,” kata seorang lelaki yang banyak bercakap sejak tadi.
Puan. Aku menelan air liur. Gelaran aku
sudah bertukar rupanya! Tapi, betul ke apa yang dia kata tadi? Baru semalam dia
jemput mereka semua? Wah, orang yang kuat bekerja memang begini ke? Sungguh
kronik juga suami aku ini.
“Sekurang-kurangnya aku beritahu juga,”
Syazwan membalas tanpa rasa bersalah.
“Hah, memanglah kau beritahu. Itupun dah
dekat petang-petang baru kau nak umumkan. Aku pula rasa kesian dengan isteri
kau nanti sebab dapat suami yang... hai, tak tahu nak kata macam mana...”
Aku hanya tersenyum. Ya, aku pun tak tahu
nak kata macam mana. Sudah nasib badan dapat suami begini. Aku kemudiannya
mengambil keputusan untuk mengundur diri apabila Syazwan sudah mula bercakap
tentang hal kerja. Tension aku mendengarnya walaupun kawan-kawannya suruh dia
berhenti bercakap pasal hal kerja sekejap. Aku sengaja tak nak jadi tunggul
kayu di situ lagipun ramai lagi tetamu yang perlu dilayan. Nanti orang mengata
pula.
Bila aku masuk ke dapur untuk basuh pinggan
mangkuk yang kotor di singki, ibu tegur aku. “Dahlah tu, pinggan tu bila-bila
saja boleh dibasuh. Bukannya urgent sangat. Pergi masuk bilik. Rehat!”
Terus aku mati akal bila ibu suruh masuk
bilik. Aku pun bagi alasan tak mengantuk lagi. Malam ini aku takkan tidur! Aku
nekad. Walau apa pun aku takkan lelapkan mata. Walaupun ini rumah aku dan itu
bilik aku tapi suasananya dah lain. Tiba-tiba sahaja aku rasa takut hendak
melangkah masuk ke bilik.
Malam pertama. Aku dah fikir yang
macam-macam. Aku masih tak bersedia lagi dengan semua tu. Walau apa pun, aku
perlu elakkan diri daripada masuk bilik. Harap mereka semua memahami keadaan
aku ini.
Majlis perkahwinan kami berakhir dengan
jayanya. Walaupun ada sedikit masalah dengan makanan yang lambat sampai, tetapi
semuanya berjalan dengan lancar. Aku sangka kalau buat majlis di dewan,
tidaklah letih sangat tapi sangkaanku salah belaka. Kalau dah namanya majlis
kahwin, memang akan letih.
Namun aku cuba gagahkan diri. Kalau aku
letih, ibu dan ayah lagilah letih. Jadi, aku tak sanggup biarkan mereka kemas
saki-maki majlis. Rumah pun macam tongkang pecah dibuatnya. Barang-barang
bersepah sana sini. Aku yang melihatnya pun sakit hati.
Memandangkan ibu tak bagi aku kemas dapur,
ayah dan menantunya pula sibuk berbual-bual di ruang tamu sambil layan bola,
aku ambil peluang ini melarikan diri ke ruang tamu atas. Sengaja tak nak
bertembung dengan mereka. Cadangnya hendak melayan televisyen, malangnya semua
channel tak ada cerita menarik. Akhirnya aku layan saja channel dokumentari
sehinggalah terlelap...
“Dayah...” suara Syazwan sayup-sayup
kedengaran di telinga aku. Pelik. Kenapa pula aku termimpikan suara ini? Suara
ini tak patut muncul dalam mimpi aku. Pergi jauh-jauh!
“Dayah...” panggil suara itu lagi. Adui, apa
hal lagi ni? Aku nak tidur pun dia kacau. “Bangun Dayah...” dia paksa aku
bangun pula. Bukan aku tak nak bangun tapi masalahnya mata aku ni terlampau
berat sangat. Nak buka pun tak ada tenaga.
“Wei, aku nak pergi kerja ni,” katanya lagi.
Ada aku peduli? Kau nak pergi kerja, pergi
sajalah. Yang berani masuk dalam mimpi aku ni apa hal? Menyampah betul. Tak
habis-habis dengan kerja. Tak tahu ke yang kita baru berkahwin semalam?
Eh, nanti jap! Kahwin? Aku pula tersentap.
Mata aku yang berat tadi terus terbuka. Sedar-sedar saja aku rasa semacam. Aku
terasa seperti berada di dada seseorang. Perlahan-lahan aku mendongak ke atas.
Sekali lagi aku tersentap apabila menyedari yang aku tertidur berbantalkan dada
Syazwan! Bukan itu sahaja, aku sedang memeluknya seperti memeluk bantal peluk!
Cepat-cepat aku tutup mata dan berpura-pura
tidur. Macam mana aku boleh tidur bersamanya? Nanti sekejap. Malam tadi, aku
rasa aku tak masuk bilik. Aku lepak di ruang tamu atas. Jadi, macam mana aku
masuk ke dalam bilik ni? Siapa yang gagah perkasa sangat bawa aku masuk bilik
ni?
“Sampai bila kau nak peluk aku ni?” tanya
Syazwan.
Sekali lagi aku tersentap. Adui, kenapa
semua ni mesti terjadi pada aku? Kenapa aku selalu memalukan diri sendiri? Tak
mengapa, Dayah! Bawa bertenang. Pura-pura saja tidur dan berpusing ke tempat
lain. Kau boleh lakukan!
Dengan penuh kepura-puraan, aku melepaskan
pelukan itu dan berpusing ke sebelah kanan. Langsung aku tak berani buka mata
lagi. Namun, aku perasan Syazwan bangkit dari katil. Tatkala aku dengar pintu
bilik air ditutup, cepat-cepat aku mencelik mata dan berlari ke luar.
“Hah, kau ni kenapa?” tanya ayah yang
bertembung dengan aku.
“Ayah... atas... bilik...” aku pula
tergagap-gagap.
“Apa hal kau ni? Macam baru jumpa hantu
saja,” ibu pula mencelah.
“Err...” aku menggaru kepala. Macam mana aku
nak tanya ni? Takkan aku nak tanya soalan begini. Tapi, aku perlu tahu macam
mana aku boleh masuk ke dalam bilik itu. Takkan aku berjalan dalam tidur? Hisy,
seumur hidup aku tak pernah pula aku berjalan dalam tidur.
“Dah, pergi siapkan air untuk suami kau. Dia
kerja hari ni bukan?” arah ibu.
Aku mengangguk dan menurut. Selepas membasuh
muka dan menggosok gigi, aku pun menjalankan tugas sebagai seorang isteri.
Bancuh air untuk suami. Ah, sungguh aku tak sangka, aku akan jalani hidup
sebagai isteri sepenuh masa mulai dari hari ini.
Berbulan madu? Ah, aku tak pernah terfikir
pun akan berbulan madu dengan suami workaholicku itu. Jangan haraplah.
Tengoklah, baru semalam majlis perkahwinan kami berlangsung, hari ini, dia
dengan senang hati pergi kerja. Menyampah betul!
“Kau letak gula batu ke dalam tu sampai lama
benar mengacau air tu,” tiba-tiba suara itu datang menegur. Hampir gugur
jantung aku. Nasib baiklah aku jenis yang tak kuat melatah, kalau tidak gerenti
aku dah angkat teko panas ni dan siram muka dia. Suka sangat terkejutkan aku.
Aku mencebik marah. Dia seperti biasa, buat
tak peduli.
“Dayah, kenapa lama benar kau buat air tu?”
suara ayah sudah kedengaran di depan.
Aku pun cepat-cepat bawa dulang yang diletak
teko berisi air dan beberapa cawan ke meja hadapan. Syazwan sudah pun duduk di
meja makan. Haiya, dia buat darah gemuruh aku menjadi-jadi. Walaupun dia hanya
duduk dan membaca surat khabar, tetapi sudah cukup buat dada aku berdegup
kencang. Bergetar-getar juga tangan aku hendak menuang air kopi tadi.
Habis saja menuang untuk dia, aku pun terus
angkat kaki berlalu dari situ. Namun, belum sempat aku hendak masuk semula ke
dalam bilik, ayah bersuara lagi.
“Hah, nak ke mana tu?”
“Err... masuk bilik,” aku memberikan isyarat
mengantuk.
“Kenapa? Semalam tak lena tidur ke?” tanya
ayah seperti menyindir.
Serta-merta pipi aku terasa panas. Ayah, ada
ke patut ayah tanya soalan tu? Depan menantu ayah pula tu. Adui, mana aku nak
letak muka ni? Sudahlah pagi tadi aku memalukan diri sendiri...
“Pergilah temankan suami kau sarapan,” arah
ibu pula dengan lembut.
Ah, ini yang malas ni. Teman dia sarapan?
Perlu ke temankan dia sarapan? Dia dah besar. Pandai-pandailah dia sarapan
sendiri. Lagipun dia tengah baca surat khabar tu, biar surat khabar saja
temankan dia.
Namun, aku tak berani nak kata begitu pada
ibu bapa aku. Dengan lemah gemalai, aku berlalu menghampiri meja makan sekali
lagi. Aku tarik kerusi perlahan-lahan sebelum duduk. Dia pula masih leka
membaca surat khabar. Mmm... aku terfikir, dia tengah baca surat khabar atau
dia berpura-pura baca surat khabar? Mari kita tengok muka dia lama-lama sampai
dia kantoi...
Lama aku tenung muka dia sampai aku kagum
dengan wajahnya yang tidak ditumbuhi jerawat. Dia pakai pembersih muka apa ya?
Mustahil muka dia tak ada jerawat. Muka lelaki pun lebih kurang macam wanita
juga. Kalau tak dijaga akan tumbuh jerawat macam muka Ammar. Aku syak dia mesti
buat facial treatment sebelum berkahwin, sebab itulah muka dia cerah berseri.
Tiba-tiba dia pandang aku. Terus aku
tersentap. Terus juga aku rampas surat khabar di tangannya dan berpura-pura
baca surat khabar. Tindakan refleks yang tak disangka-sangka. Hisy, aku buat
lagi perkara tak masuk akal depan dia!
Bawa bertenang Dayah! Teruskan berpura-pura!
Mata aku terus pandang tulisan pada surat khabar itu. Eh, kenapa tulisan surat
khabar ni pelik sangat? Aku menelengkan kepala ke tepi. Ah, Dayah! Apa ni? Kau
baca surat khabar terbalik!
Cover Dayah. Cover! Aku cuba berpura-pura
baca surat khabar. Lama juga menatap, akhirnya aku memberanikan diri menurunkan
surat khabar itu. Sedikit demi sedikit aku turunkan sehingga aku bertentangan
mata dengan dia.
Wah, dia masih pandang aku lagi! Cepat-cepat
aku naikkan semula surat khabar itu. Ah, bilalah dia nak mengalah? Cepatlah
pergi kerja! Aku dah tak tahan malu dah ni.
Tidak lama kemudian aku dengar bunyi kerusi.
Akhirnya, dia bangun juga. Bila dia bangun, aku perasan dia masih pandang aku.
Sengaja aku naikkan lagi surat khabar yang terbalik itu. Tiba-tiba surat khabar
di tangan aku ditarik.
"Kena..." belum sempat aku habis
berkata-kata, dia sumbat sekeping biskut kering yang aku sediakan untuk sarapan
tadi. Kemudian, tanpa berkata apa-apa, dia berlalu pergi. Aku masih lagi
terkebil-kebil dengan separuh biskut masih terjulur keluar dari mulutku.
Apa hal pulak ni? Kenapa tiba-tiba dia
sumbat biskut ni? Lemau ke? Aku merasa sedikit. Elok saja. Ranggup lagi.
Atau... dia sengaja bagi aku makan? Ini bermakna dia suap aku? Nanti, rasanya
biskut ni dia dah makan sedikit... takkan... kiss? Ciuman jarak jauh?
“Dayah, apa tunggu lagi tu?” Ibu memberi
isyarat tapi aku langsung tak faham. Apa bendanya? “Hisy, kau ni, tu suami kau
nak pergi kerja. Pergilah salam dia.”
Hai Dayah, apalah punya lambat kau ni?
Itukan antara tugas penting buat seorang isteri? Takkan kau dah lupa yang ibu
kau pun buat begitu pada ayah kau tiap-tiap kali nak pergi kerja?
Tanpa berlengah lagi aku pun bergegas ke
luar. Mujurlah dia belum lagi pergi. Tapi aku masih lagi tak puas hati. Perlu
ke dia pergi kerja hari ini? Apa salahnya ambil cuti. Kau tu baru je berkahwin.
Takkanlah syarikat kau kejam sangat tak bagi cuti. Mustahil sangatlah.
Pesan Mak Cik Zara (yang aku sekarang aku
patut panggil mama), aku kena banyakan bersabar dengan perangai anaknya yang
lebih pentingkan kerja. Sehari tak bekerja dia boleh jadi sasau. Takkanlah
hari-hari dia nak bekerja. Hari cuti pun tak macam cuti. Ada sahaja kerja yang
perlu dilakukannya.
“Mama tak ada pilihan lain selain kahwinkan
dia. Kalau tak sampai ke tua dia takkan berkahwin. Asyik kerja memanjang. Jadi,
Dayah nasihatkanlah dia sikit,” pesan mama lagi.
Ah, siapalah aku nak nasihatkan dia? Dia tu
baru saja jadi suami aku. Kenal pun tak sangat. Tambah lagi dia ni degil. Kalau
tak, sudah lama dia benarkan aku bekerja. Ini pun disebabkan arahan dia, aku
terpaksa mengalah. Lagipun ibu dan ayah pun juga berpendapat begitu. Berhenti
sajalah. Gaji dia cukup untuk sara hidup aku.
“Hari ni aku balik lambat sikit,”
beritahunya.
Aku mengangguk. Memang boleh agak dah.
Kerja. Kerja. Kerja. Itu saja kerja dia. Tapi tak mengapa. Aku tak kisah.
Bolehlah aku melepak seorang diri baca novel. Kalau dia balik awal pun bukannya
ada faedah pun. Nama saja suami. Suami atas kertas. Tengoklah dia masih
menggelarkan dirinya 'aku'. Kalau pasangan lain dah berdarling-darling dah sekarang
ni.
Hai, apalah nasib aku dapat suami begini...
Tak romantik langsung.
“Jangan lupa kemas kain baju kau.”
“Hah? Awalnya. Awak kata nak bagi saya masa
seminggu.”
“Seminggu dari tarikh kita janji tu. Itu pun
dah lebih seminggu.”
“Hah?” Terkejut aku. Apa ni? Sampai hati dia
buat aku begini? Aku mula menarik muka masam. “Mana boleh awak buat macam ni.”
“Siapa kata tak boleh? Okey, aku nak pergi
kerja ni. Jangan lupa kemas barang,” dia menghulurkan tangan.
Aku menyambut tangan dia tanpa banyak soal.
Tak ada rasa apa pun. Selepas itu, dia masuk ke dalam kereta dan memandu kereta
keluar dari pekarangan rumahku ini. Aku rasa kosong. Jadi, beginilah hidup
sebagai suri rumah tangga sepenuh masa? Ah, bosannya.
Kalau nak diucapkan rasa bosan, memang
seribu kali bosan. Selepas aku kemas kain baju yang ingin dibawa ke KL nanti,
aku ada banyak masa lapang. Macam tak percaya saja yang baru semalam aku
berkahwin. Macam tak ada apa-apa berlaku semalam. Mungkin sebab majlis
dilakukan di dewan, jadi tak terasa meriah di rumah ini. Ibu dan ayah pula
sedang berehat di dalam bilik.
Aku tengok jam, pukul 2.00 petang. Apa aku
hendak buat? Tidur? Mata aku tak nak terlelap. Pelik juga. Kalau di ofis
punyalah mengantuk pada waktu ini tapi bila terang-terang aku ada masa nak
tidur petang, waktu itulah mata ini tak nak tidur.
Akhir sekali aku ambil keputusan
menghabiskan masa dengan baca novel. Bosan juga. Semuanya novel lama. Tak ada
langsung novel baru. Ini semua gara-gara bajet novel tak ada untuk bulan ini.
“Apa aku nak buat ni?” tanyaku.
Tiba-tiba handset aku berbunyi. Lantas aku
mencapainya. Mana tahukan mesej daripada kawan-kawan aku yang ingin tahu
keadaan aku selepas berumah tangga. Tapi, bila nampak nama suami sendiri, terus
aku terbangun. Entah mana datangnya rasa teruja ini.
Aku kena oustation pergi Singapura hari ni.
Mungkin sampai minggu depan.
“Apa? Singapura? Minggu depan baru balik?”
Mesej daripada suamiku buat aku terkejut. Hoi, kita baru saja berkahwin. Kau
pula nak pergi kerja di luar? Seminggu pula tu. Ah, tensionnya!
Tapi... seminggu... ini bermakna, dia tak
ada di sisi aku selama seminggu. Eh, aku ada masa untuk bermanja-manja dengan
ibu dan ayah. Bagus! Baiklah, pergilah buat masa seminggu atau lebih pun tak
apa. Aku tak kisah.
Ok – Aku balas seperti orang tak ada
perasaan. Dia nak sangat kerjakan? Hah, pergilah. Ada aku kisah?
Mama akan datang jemput kau petang ni.
Satu lagi mesej aku terima daripada dia.
Terbeliak mata aku membacanya. Mama datang jemput? Nak pergi mana? Takkan dia
nak bawa aku ke Singapura sekali?
Pergi mana?
Mesej itu aku hantar kepadanya.
Berdegup-degup juga jantung aku menanti mesejnya. Janganlah dia suruh aku pergi
ke Singapura bersamanya.
Rumah mama. Dia rindu nak jumpa menantunya.
Habis awak tak rindu? Ah, boleh tension aku
dengan dia. Aku okey saja kalau ke rumah mama. Mak Cik Zara tu tak adalah
menakutkan. Masih lagi boleh bertimbang rasa dengan aku tapi anaknya... huh,
susah nak kata. Mmm... macam manalah hidup dengan mak mertua?
Ok – Hanya itu aku balas. Setuju saja.
Asalkan aku tak kebosanan. Satu yang aku suka dengan Mak Cik Zara, dia juga
suka baca novel dan di rumahnya ada satu perpustakaan mini yang penuh dengan
novel. Inilah mak mertua yang aku idam-idamkan! Gerenti peminat tegar novel
mesti cemburu dengan aku hahaha!
Cemburu sgt nie dayah dpt mak mertua kaki novel aar.. hehehe
ReplyDeletewahhh ada geng novel.. sonok tu..
ReplyDeletetak pernah sy baca sebarang entry sampai ketawa terbahak2...anda berjaya melakukannya
ReplyDeletebest best....nak lagi....hehehehe...^^
ReplyDeletesatu kepala dng dayah..best.best......
ReplyDelete