Aku terjaga daripada tidur yang lena. Jam menunjukkan pukul 7.00 pagi.
Bangun-bangun sahaja aku rasa demam yang aku alami beberapa hari ini sudah
kebah. Alhamdulillah. Bagaimanapun adalah sedikit rasa pening-pening lalat.
Mungkin sebab beberapa hari ini aku banyak habiskan masa dengan berbaring di
atas katil.
Aku memandang sekeliling. Macam aku ada terlupa sesuatu. Aku cuba
menggunakan otak walaupun masih lagi pening-pening lalat. Kalau tak silap,
malam tadi aku tidur dalam pelukan suamiku. Tapi... ke mana pula dia pergi? Aku
menggaru kepala yang tak gatal sambil memerhati keadaan bilik. Tiada langsung
bagasi dia.
Takkanlah... aku bermimpi? Aku mengeluh. Ah, semua yang berlaku malam
tadi itu adalah mimpi! Kenapa aku rasa macam mimpi itu benar belaka? Adui,
parah betullah dengan penyakit hati dan perasaan aku ni. Ni pun nasib baiklah
aku terjatuh cinta dengan suami sendiri. Kalau dengan suami orang, mau sasau
jadinya.
Ah, sudahlah. Mimpi pun mimpilah. Asalkan aku dapat rasa sedikit bahagia
dipeluk malam tadi. Mmm... terus kebah demam. Haiya, teruk sangat dah kau ni
Dayah. Demam sebab rindukan dia. Bila mimpi pasal dia peluk kau, terus demam
kau ni kebah ye. Gatal sungguh.
Dengan langkah yang longlai, aku pun berlalu ke pintu bilik mandi. Aik?
Kunci? Ah, aku terkunci lagi pintu ni dari dalam macam hari tu ke? Sekali lagi
aku mengeluh. Langkahku kembali ke katil menghampiri sebuah laci. Nasib baik
ada kunci pendua. Aku ni memang betul-betul cuai. Masuk kali ini dah banyak
kali aku terkunci pintu bilik air dari dalam.
Apa boleh buat, aku memang anti betul dengan tombol pintu bilik itu. Itu
antara habit buruk aku. Suka sangat tekan kunci tombol bulat itu. Disebabkan
itu jugalah ayah tukar semua kunci tombol bulat kepada tombol lain.
Tanpa berlengah lagi aku pun terus membuka pintu itu menggunakan kunci.
Sebaik sahaja pintu dibuka, langkahku terhenti. Tak jadi nak masuk ke dalam
apabila melihat satu tubuh sedang dibasahi air pancuran. Automatik otak aku tak
dapat proses maklumat yang diterima. Aku jadi kaget macam patung.
Barangkali aku masih bermimpi. Barangkali juga aku masih angau
merinduinya. Sudahlah malam tadi aku mimpi dia peluk aku. Kini, aku mimpi dia
tengah mandi pula! Adui, Dayah, kau ni dah teruk dah ni. Ada ke patut kau
berimaginasi sampai begini? Tahulah kau dah kahwin tapi takkan sampai kotor
macam ni otak kau berimaginasi?
Aku menggosok mata. Bila buka semula, aku tetap lihat apa yang aku lihat
tadi. Dia sedang mandi! Kali ini dia berpaling memandang aku. Perlahan-lahan
aku cuba cubit pipi aku. Sakit. Alamak! Dayah, ni bukan mimpi! Ini semua
realiti! Dia memang wujud depan kau sekarang dan dia tengah mandi tanpa...
Aku tergamam.
Dayah, jangan. Pandang. Bawah.
Aku cuba pandang atas sedaya yang mungkin. Dia masih pandang aku dengan raut muka
selamba. Aku pula dah macam hampir kehilangan jantung. Sekejap berdegup
kencang, sekejap rasa terhenti. Aku tak tahu nak buat apa. Menjerit? Klise
sangat. Nanti habis satu rumah tahu apa yang aku nampak.
“Err... awak tengah mandi rupanya. Jadi, awak boleh terus mandi, saya
akan kuncikan pintu untuk awak...” tergagap-gagap juga aku bersuara.
Dengan perlahan-lahan aku tarik pintu bilik mandi semula dan menutupnya.
Sekali dengan menguncinya. Kunci pendua aku buang ke tepi. Aku terduduk sambil
memproses semula apa yang berlaku tadi.
Kenapa? Kenapa aku tak dengar langsung bunyi air dari dalam? Kenapa aku
tak terfikir ada orang dalam bilik mandi? Dan dia... dia boleh buat muka
selamba saja masa aku tengok? Arrghhh... kenapa semua ni terjadi pada aku?
Tiba-tiba aku terdengar sesuatu pada tombol pintu di belakang aku. Tanpa
berlengah lagi aku terus bangun dan berlari ke luar. Aku terus menuju ke bilik
Wani. Mujurlah tak berkunci. Wani yang sedang mengeringkan rambutnya yang basah
terkejut dengan kehadiran aku tiba-tiba.
“Kenapa ni Kak Dayah?” tanya Wani, risau.
“Wani kenapa tak beritahu abang dah balik?” aku terus menerpa ke arahnya.
“Macam mana nak beritahu kalau Kak Dayah dah tidur masa abang balik,”
jawabnya. “Lagipun dia balik tiba-tiba, kami pun terkejut. Nampaknya dia sangat
sayang Kak Dayah tu dan... vitamin yang dia bawak tu berkesan juga ya. Dapat
sembuhkan Kak Dayah dalam satu malam je.”
Ah, aku patut rasa gembira kerana dia sanggup balik awal dan automatik
aku sudah sembuh daripada demam tapi sekarang ni rasa malu lagi menebal. Mana
aku nak letak muka ni? Macam mana aku nak berhadapan dengan dia? Lebih teruk
lagi aku dah nampak!
“Ada sesuatu yang dah berlaku ke?” tanya Wani tersengih-sengih.
“Tak... tak ada,” aku cuba menafikannya.
“Mmm...” Wani terus tersenyum. Dia macam dapat agak. Hai Dayah, kau dah
redah masuk bilik orang pagi-pagi begini, sudah tentulah dia dapat agak ada
sesuatu yang sudah berlaku! Mengaku sajalah.
“Wani, apa akak patut buat? Akak tak sengaja. Akak ingat, dia belum balik
lagi. Tak sangka pula dia tengah mandi...” kataku hampir hilang akal.
“Ohhh...” Wani mengangguk faham sambil terus tersengih. Aku benci tengok
dia begini. Macam ketawakan aku pula. Aku tengah serius ni.
“Arrghhh... mana nak sorok muka ni?” Aku terus capai gebar dan
menyelimutkan seluruh tubuh aku di dalamnya. Dari dalam aku dengar Wani terus
mengekek ketawakan aku. Aku tak patut ceritakan hal ini kepada dia. Tak patut!
Bila dia hampiri meja makan, aku tunduk. Nasib baiklah aku baru saja baik
daripada demam. Jadi, aku ada alasan kenapa tak layani dia seperti bancuhkan
kopi dan sebagainya untuk dia. Kalau tidak pasti sudah menggigil tangan aku
tuang air kopi. Agaknya pegang teko pun dah tak betul.
Aku mengeluh lega. Sesekali aku mendongak pandang muka dia. Dia nampak
selamba macam tak ada apa-apa yang berlaku tadi.
Hisy, lelaki memang begini ke? Rasa malu dia tahap zero ke? Tengoklah
masa kejadian tadi. Dia boleh buat muka selamba pandang aku. Macam orang tak
ada perasaan. Kalaulah aku pun boleh buat begitu... atau dia fikir, kami dah
berkahwin jadi sebab itulah dia tak kisah sangat? Mmm... betul juga.
Aku mula ada keyakinan untuk berhadapan dengan dia. Eh, dia nampak segak
hari ini. Biarpun hanya pakai baju T dan seluar panjang, tapi serius, dia
nampak lebih handsome. Tapi, kenapa aku rasa macam dia nak keluar saja? Dia
kerjakah hari ni?
“Tu nak pergi mana pulak? Kerja lagi ke?” tegur mama.
“Tak. Nak pergi kedai beli tombol pintu. Kunci pintu bilik mandi dah
rosak agaknya...” jawabnya sambil menjeling pandang aku.
Gulp. Aku menelan air liur. Oh tidak, dia kisah rupanya! Habislah aku.
Mari sorok muka sekali lagi. Perlahan-lahan aku tunduk pandang bawah. Kali ini
tak berani nak pandang muka dia dah.
“Ehem... takkan keluar tak bawak isteri kot. Kesian Kak Dayah ni,
sudahlah baru kahwin lepas tu kena tinggal pula sampai demam-demam dibuatnya.
Apa salahnya bawa Kak Dayah keluar. Kalau terperap duduk rumah, boleh mati
kebosanan dibuatnya nanti,” kata Wani.
Aku terus mencubit Wani. Ada ke patut bagi cadangan begitu. Sudahlah aku
malu hendak berhadapan dengan dia sekarang. Biarlah dia keluar seorang diri.
Tak perlulah bawa aku sekali. Lagipun nak beli tombol pintu je. Bukannya nak
pergi shopping barang-barang kelengkapan rumah. Itu wajib aku kena ikut.
“Hah, bagus tu. Wan, bawalah Dayah ni keluar sekali. Dah beberapa hari
dia duduk terperap dalam bilik tu. Langsung tak jumpa matahari,” sokong mama.
Alamak. Susahlah kalau mama dah berkata-kata. Kalau boleh aku tak nak
tengok muka dia hari ini. Kalau aku tengok mesti aku terbayang apa yang aku
nampak tadi. Aduh, macam mana nak padamkan ingatan ni? Ada tak mesin cuci otak?
“Err... tak payahlah mama. Dayah tak kisah kalau kena duduk rumah.
Lagipun Dayah masih belum sihat lagi. Nanti menyusahkan pulak,” aku bagi
alasan.
“Pergi siap cepat,” tiba-tiba dia mengarah. Tersentap aku dibuatnya. Aku
tengok mukanya. Masih selamba. Aduhai, kenapalah dia tak faham apa yang aku
alami sekarang ini. Bagilah aku sorok muka hari ini. Aku malu tahu tak?
“Hah, Dayah cepat pergi bersiap. Kalau asyik terperap dalam rumah ni lagi
bertambah sakit. Lagipun bukan senang nak tengok laki kamu ni bercuti tau,”
arah mama pula.
“Baik...” aku hanya mampu menurut perintah. Kalau semua orang sudah
sepakat suruh aku keluar dengannya dan dia pula sudah setuju, jadi tak ada
maknanya aku nak membantah. Reda sajalah. Tebalkan muka dengan apa yang terjadi….
Aku hanya mendiamkan diri seribu bahasa semasa berada di dalam kereta.
Bosan gila. Dia langsung tak buka radio. Sekurang-kurangnya bukalah radio,
bolehlah aku melayan diri sendiri tanpa rasa bosan.
Tapi... aku tengok macam radio dia tak berfungsi pun ada. Berabuk. Hai,
aku tahulah keretanya itu keluaran semasa aku masih kanak-kanak rebina, tapi
takkanlah tak pernah berbasuh. Bayangkan, tiap kali aku masuk, tiap kali itulah
aku bersin. Kalau beginilah, aku rela lagi naik bas.
Aku tak kisah sangat kereta lama atau kereta baru. Asalkan kereta itu
bersih. Aku mudah tension tengok keadaan yang bersepah dan kotor. Kalaulah aku
dapat kereta ni, memang bersih aku kerjakan. Tapi, dia ni jenis macam tak suka
orang sentuh barang dia.
Aku memandang sekeliling. Tiba-tiba aku rasa sudah terlampau lama dalam
kereta. Ke mana dia hendak pergi sebenarnya? Kata nak beli tombol pintu.
Takkanlah nak cari tombol pintu sampai berkilo-kilometer jauhnya? Atau dia nak
beli tombol pintu ajaib yang takkan berjaya dibuka dari luar walau dengan apa
kunci sekali pun!
Akhirnya soalan aku terjawab apabila kereta yang dipandunya masuk ke
tempat parking IKEA. Jadi tombol pintu ajaib itu ada di IKEA? Wah, baruku tahu!
Padanlah ramai yang suka pergi IKEA. Dayah oh Dayah, sudahlah tu. Hentikan
fikir benda yang tak logik. Mungkin dia ada sebab kenapa nak pergi IKEA.
“Kita nak buat apa pergi sini?” tanyaku setelah dia mendapat parking.
Aku dengar melalui kawan-kawanku yang suka sangat shopping di IKEA,
mereka kata parking di sini sangat-sangat-dan-sangat susah nak cari kalau datang
lambat. Mungkin sebab kami datang awal, jadi aku tengok
sangat-sangat-dan-sangat banyak lagi parking kosong. Tapi itu pun aku tengok
berderet juga kereta masuk.
Aku bukannya hantu shopping sangat. Jadi, jujur aku kata ini kali pertama
aku pergi IKEA. Selama ini aku tak teringin pun nak pergi. Walaupun kawan-kawan
aku kata, meatball IKEA sedap dan sangat sedap, aku tetap tak ada hati nak
pergi. Ada sesetengah tu sanggup pergi IKEA sebab nak makan bebola daging. Tak
faham betul aku.
“Kita nak pergi memancing ikan. Dengar kata bermacam-macam ikan ada di
sini,” jawabnya selamba.
Ah, aku kena lagi! Dayah, apalah kau ni. Sungguhpun kau tak pernah pergi
IKEA tapi faham-faham sajalah apa yang ada di IKEA ni. Kan dah kena sebijik!
Lain kali fikir dulu sebelum bertanya. Dia ni kerek juga ya.
Aku cepat-cepat keluar dan mengekori langkahnya. Huh, ramai juga orang.
Masuk saja di pintu depan, aku tengok ramai orang berkerumum. Rupa-rupanya IKEA
masih belum buka lagi. Gila. Tak faham aku kenapa orang sanggup datang awal
walaupun belum dibuka lagi. Mungkin sebab parking kot.
Tiba-tiba dia tarik aku duduk di sebuah kerusi di bahagian pameran.
Merasalah sekejap duduk di kerusi empuk. Aku lihat dia keluarkan handsetnya dan
mula membaca emel. Ah, dah mula dah. Ini mesti pasal kerja. Ah, lantaklah.
Aku memandang sekeliling. Mmm... boleh tahan juga pameran ruang tamu ini.
Kerusi yang cantik. Meja yang cantik. Wahhh... boleh tahan juga kabinet TV itu.
Cuma satu je yang tak cantik, harga. Huh, lemah jantung tengok harganya. Bagi
orang bekerja yang ada duit, mungkin pejam mata saja dengan harga begitu. Tapi
aku sudah jadi suri rumah tangga sepenuh masa, jangan haraplah aku dapat beli.
Eh, bukan ke aku ada suami yang workaholic, pasti dia banyak duit. Jadi,
apa kata goda dia sikit guna ayat manja-manja supaya dia bermurah hati
keluarkan duit untuk isteri tersayang (konon).
Aku pandang dia. Mmm... tengok muka macam susah saja nak goda dia dengan
ayat manis. Macam mana kalau dia seorang yang kedekut? Sudahlah usik barang dia
pun dia dah buat muka, kalau usik duit dia mestilah dia tarik muka dengan aku.
Adui, aku nak bekerja. Barulah boleh shopping barang keperluan rumah dengan
senang hati!
Tidak lama kemudian, aku lihat orang ramai sudah masuk ke dalam.
Berpusu-pusu orang masuk. Aku lihat Syazwan, dia masih lagi dengan handsetnya.
Mungkin dia tak perasan sudah boleh masuk.
“Awak, dah boleh masuk dah,” aku memberanikan diri menegurnya. Itupun
selepas aku lama memerhati dia masih tak perasan.
Kemudian, dia pandang aku. Lama juga sampai aku tak berani pandang muka
dia. Lagak gaya macam tak puas hati dengan aku. Aku buat salahkah? Aku cuma
beritahu dia saja memandangkan dia asyik layan emel.
“Dayah, agak-agak IKEA ni ada kaki ke?” tanyanya.
Oh, tidak! Aku kena lagi! Kali ini mendalam betul kata-katanya. Taubat,
aku takkan kacau ketika dia layan emel kerja-kerja dia dah. Dia masih pandang
aku. Macam mengharapkan aku bagi jawapan. Adui, aku tahu yang IKEA ni tak ada
kaki. Sudah-sudahlah tu pandang aku macam nak cari gaduh.
“Err... IKEA memang tak ada kaki tapi saya ada kaki, saya boleh lari
masuk dalam,” jawabku takut-takut.
Kemudian dia mengukir senyuman. Wah, dia senyum! Dia senyum! Tapi macam
biasa, sekejap saja. Kemudian, dia kembali dengan muka seriusnya. Aku pun
kembali duduk di sebelahnya dengan muka reda. Dia pula terus melayan emel.
Orang workaholic tetap workaholic!
Baru sahaja aku duduk, dia pula yang bangun. Aik? Aku pandang dia yang
sudah simpan handsetnya. Lantas aku bangun. Jangan buat hal lagi! Tanpa berkata
apa-apa, dia memulakan langkah. Aku pun ikut dia masuk ke dalam.
Masuk sahaja, mata aku jadi rambang dengan pameran perabut yang
diilhamkan. Bukan sahaja reka bentuk perabut tetapi juga reka bentuk letak
barang-barang perabut memikat hatiku. Simple dan menarik. Sambil itu sempat
lagi aku berangan mahukan ruang tamu yang cantik begitu.
Itu ruang tamu, belum lagi masuk bilik tidur, ruang makan, dapur dan
macam-macam lagi. Ah, kalau dapat semua ni, memang tak keluar rumahlah aku.
Sanggup aku jadi suri rumah sepenuh masa buat selama-lamanya!
Opocot kau! Aku tersentap sebaik sahaja berpaling. Tiba-tiba saja dia
berada di belakang aku. Aik? Bila masa dia berada di belakang aku? Bukan ke
tadi, dia berjalan di depan tadi? Atau... Takkan aku buat hal lagi? Aku pandang
sekeliling. Habis, mesti aku mengelamun sampai dia tercari-cari aku tadi!
Aku tersengih-sengih.
“Dayah...” tegurnya. Kecut perut aku bila dia sebut nama aku. “Cuba
hulurkan tangan tu,” arahnya.
Aik? Apa dia nak buat? Takkan dia nak rotan aku kot? Ingat ini sekolah
ke? Aku pun reda sajalah. Perlahan-lahan aku hulurkan tangan kananku. Lantas
tangannya menyambut tangan aku dan digenggamnya kuat.
Ohh... begitu. Ini mesti kes tak nak bagi aku lari lagi. Aku tak dapat
sembunyikan senyuman. Kalau begini, aku rela kena pegang! Dayah, gediknya kau
ni!
Tapi yang tak seronoknya, aku tak boleh lagi ke mana-mana. Tiap kali aku
ingin menghampiri perabut-perabut yang menarik di mataku, dia pula menarikku
jauh dari situ.
Ah, apalah nasib badan. Pelik betullah. Buat apa datang sini kalau tak
bagi aku tengok cuci mata tengok perabut? Takkan... dating? Yelah, mesti ini
adalah dating. Wah, bagus juga dating selepas nikah ni ya. Dapat pegang-pegang
tangan. Sudah tentu halal.
Tiba-tiba dia lepaskan tangan aku. Aik? Aku baru nak bermanja. Apa hal
pula ni? Aku pandang dia. Kalau boleh nak pegang lagi... tapi dia terus
berjalan. Kenapa ni? Aku ada buat salah ke? Atau aku terlampau gedik sangat?
Aku pun terus mengekorinya sehinggalah dia mencapai sebuah troli.
Ohh... dia ambil troli rupanya. Adui, Dayah, parah betullah kau ni. Tapi
troli tu nak buat apa? Takkan nak angkut perabut? Muat ke? Nak tanya ke tak?
Mmm... kalau tanya, soalan tu macam soalan tak masuk akal. Lebih baik jangan
tanya. Diam dan ikut!
Kali ini tiada lagi barang pameran tetapi lebih kepada gudang. Ada banyak
barang-barang keperluan yang kecil-kecil. Oh, baru aku faham kenapa ada troli.
Nasib baik aku tak tanya. Huh, selamat!
“Pilihlah apa yang kau nak,” katanya sudah beri lampu hijau. Terkejut aku
dengar. Aku memandang sekeliling. Apa aku nak? Aku nak perabut di luar sana...
tapi itu dah macam nak minta pelempang je. Aku sendiri tak tahu apa yang aku
nak.
Eh, yelah. Bukan ke aku akan tinggal di rumah dia. Jadi, dia bawa aku
datang sini mesti di rumahnya tak ada sesetengah barang keperluan. Tapi,
manalah aku tahu apa yang perlu dibeli. Aku tak pergi melawat rumah dia lagi.
“Agak-agak apa yang perlu saya beli? Takut nanti awak dah ada barang
tu...” aku beranikan diri bersuara.
Dia pandang aku. Kemudian aku lihat dia seperti berfikir. Mungkin dia
setuju dengan apa yang aku kata tadi. Yes, aku dah tak tanya soalan yang tak
logik! Kemudian, dia bawa aku ke bahagian peralatan dapur. Katanya,
barang-barang dapur tersangatlah sikit sebab dia tak selalu memasak.
Lelaki. Memang senang dijangka.
Aku pun ambillah beberapa kuali dan periuk. Dia tak banyak cakap. Hanya
memerhati aku dari jauh. Kadangkala dia juga ada tanya pendapat aku sama ada
aku perlukan sesuatu barangan seperti papan pemotong. Ada juga barangan lain
yang dia tak tahu fungsinya dia tanya aku.
Entah betul dia tak tahu atau dia sengaja nak uji aku, aku pun tak pasti.
Tapi kebanyakannya aku dapat jawab. Inilah ilmu yang aku pelajari kerana selalu
teman ibu pergi shopping.
“Hah? Pinggan? Rumah awak tak ada pinggan ke?” tanyaku apabila dia
menyuruh mengambil beberapa pinggan dan mangkuk untuk lauk.
“Kalau kau sanggup makan dengan pinggan kertas apa salahnya,” jawabnya
selamba.
Wah, mendalam sungguh jawapannya! Aku tanya soalan yang logik juga.
Takkanlah rumah dia tiada pinggan langsung? Dia makan guna apa? Jangan-jangan,
dia pun makan guna pinggan kertas.
Aku pun hanya menurut saja. Aku ambil dalam enam buah pinggan. Begitu
juga dengan cawan. Kalau dia guna pinggan kertas, mestilah dia guna cawan
kertas. Jadi, lebih baik aku ambil sebelum dia perli aku lagi.
Dalam tak sedar, penuh troli kami dengan barang-barang dapur. Itu baru
barang dapur. Belum lagi keperluan rumah lain. Ini memang menunjukkan dia nak
sangat-sangat aku jadi suri rumah tangga sepenuh masa. Selepas membayar dan
meletakkan barang-barang ke dalam kereta, sekali lagi dia tarik tangan aku.
Entah ke manalah dia nak bawa aku pergi kali ini.
Kami keluar dari IKEA dan masuk ke sebuah shopping complex di sebelahnya.
Sungguhpun aku tak pernah pergi tapi aku dapat agak, itu The Curve! Patut ke
aku tanya dia nak buat apa di sini? Takkan nak shopping lagi? Di sini banyak
kedai, apa lagi yang dia nak shopping?
“Nak makan apa?” tanyanya tiba-tiba.
Oh, nak pergi makan rupanya. Aku tak menjawab tapi terus tengok jam. Ya
Allah, dah pukul 12.00 tengah hari rupanya. Lamanya kami shopping di IKEA.
Patutlah perut aku rasa semacam saja. Tapi aku nak makan apa di sini? Aku
bukannya pernah pergi sini dan tak tahu yang mana satu yang sedap.
“Awak... saya bukan tak nak pilih nak makan apa tapi... saya tak pernah
datang sini... jadi, awak pilihlah asalkan boleh kenyangkan perut saya,” aku
bagi dia kebebasan.
“Mmm... kalau aku bagi roti pun kau mesti kenyangkan?” balasnya seakan
menyindir.
Adui, roti? Memanglah kenyang tapi tak puas. Tapi kalau dia tetap nak
bagi roti, aku terima sajalah. Asalkan perut aku dapat makan. Kalau tak,
meragam pula nanti.
“Okey...” jawabku dengan reda.
“Kalau macam tu... kita makan Pizza Hut,” katanya.
Serentak itu aku pandang mukanya. Pizza Hut? Wahhhh... aku rasa macam nak
melompat saja. Aku bukannya tak pernah makan Pizza Hut atau jakun tengok Pizza
Hut tapi aku dah lama tak makan disebabkan diet. Tahu tak berapa lama aku tak
makan? Enam bulan tau!
“Mmm... tak naklah makan pizza. Nanti tak kenyang. Jom makan nasi kat
food court,” katanya tiba-tiba.
“Hah? Tak nak! Tak nak! Nak pizza,” pantas aku membangkang. Dia pandang
aku seperti biasa. Macam muka tak puas hati pun ada. Tapi, aku tak peduli.
“Tolonglah, nak pizza,” aku terus merayu.
“Tapi aku tak tahu kat mana restoran pizza,” jawabnya selamba.
Tipu! Itu sengaja nak bohong akulah tu. Macamlah aku percaya. Aku melihat
sekeliling. Walau apa pun aku tetap akan cari restoran pizza. Eh, bukan ke
setiap shopping complex yang besar ada petunjuk arah kedudukan setiap kedai?
Aku memandang sekeliling. Hah, itu dia!
“Hai Syazwan!” tiba-tiba ada seseorang menegur suami aku. Perempuan dan
cantik orangnya. “Isteri you?”
Dia hanya mengangguk. Aku pandang dia. Tak nak kenalkan aku ke? Aku nak
juga tahu siapa perempuan tu. Sudahlah cantik. Nampak macam orang berkerjaya
juga. Rasa cemburu sudah terbit di hati.
“Hai, saya Nur Hidayah,” aku cepat-cepat hulurkan tangan. Kalau dia tak
nak kenalkan aku, tak mengapa. Aku tahu kenalkan diri sendiri. Dia menyambut
tangan aku. Eh, tak nak kenalkan diri ke?
“Oh, Nur Hidayah. Patutlah you tiba-tiba nak kahwin. Rupanya dah dapat
hidayah,” kata perempuan tanpa nama itu.
Wah, ayatnya mendalam. Ini perli atau mempermainkan nama aku? Syazwan
pula, dia senyum saja? Yelah. Aku tahu, siapalah aku.
“You buat apa di sini?” tanya Syazwan.
Okey, aku dah rasa cemburu. Boleh pula dia ber-you-I dengan perempuan
lain tapi masih beraku-kau dengan aku, isterinya. Nampak sangat aku tak penting
buatnya. Eh, ini bukan masa untuk aku melayan perasaan sedih. Ini masa untuk
mencari restoran Pizza Hut!
“Err... awak nampak macam selalu dah shopping sinikan?” aku menegur
perempuan itu dan dalam masa yang sama mencelah apa yang dibual oleh mereka.
“Mmm... boleh dikatakan selalu juga. Ini antara tempat shopping yang I
paling suka dan...”
“Jadi, awak mesti tahu restoran Pizza Hut, bukan?” aku terus memotong.
Ini bukannya masa aku nak dengar dia bermegah. Ini masa untuk aku
bermanja dengan perut aku. Aku perasan mukanya dah merah padam. Itulah sombong
lagi dengan aku. Dan aku perasan suamiku cuba menahan tawa.
“Sorry, isteri I ni memang kempunan nak makan Pizza Hut,” katanya sambil
memeluk bahuku ke sisinya. Aku tersengih. Berjaya!
“Okey, I tunjukkan. I pun rasa macam dah lama tak makan Pizza Hut,”
jawabnya, macam nak sangat orang ajak dia makan sekali.
“Kalau macam tu, jom kita makan sekali,” ajak suamiku.
Dia terus setuju. Cis!
Aku hanya melayan perut sendiri dengan menikmati pizza yang terhidang di
atas meja. Malas nak masuk campur dalam perbualan mereka. Bukan aku boleh faham
pun. Mereka sembang pasal hal kerja. Dari pengamatan aku, perempuan itu mesti
rakan sekerja suamiku sebab dia kenal nama pekerja yang suami aku sebut dan
juga tahu setiap masalah yang timbul dalam kerja mereka.
Kebanyakan yang terhidang di atas meja ini, aku yang makan. Suamiku hanya
makan sedikit kemudian letak di pinggan aku dan ada sesekali dia sumbat dalam
mulut aku. Secara automatik, aku tahu apa yang dia suka dan apa yang dia tak
suka.
Perempuan-tanpa-nama itu pula, tak banyak yang dia makan. Bila aku
hulurkan makanan kepadanya, dia hanya ulang ayat yang sama, “Oh, tak mengapa.
Benda tu menggemukkan jadi, I tak berani nak makan.”
Eee... sangat klise. Wujud juga orang begini ya. Aku ingat dalam novel
saja wujud. Jadi, disebabkan itulah aku hanya layan perut sendiri. Biarlah
mereka berbual. Dalam tak sedar, aku dah habiskan semua makanan sampai tak ada
apa yang nak dimakan lagi. Dan mereka... masih terus berbual hal kerja.
Workaholic vs Workaholic! Hasilnya, suri rumah tangga sepenuh masa yang
kekenyangan dan kebosanan. Bila dah kenyang, mengantuk pula datang. Aku
menongkat dagu sambil memandang ke arah suamiku. Bilalah dia nak berhenti
berbual dengan perempuan-tanpa-nama itu? Tak tahu ke isteri sebelah dia ini
sudah kekenyangan dan kepenatan?
Ah, penatnya. Mataku dah tak mampu bertahan. Agaknya banyak sangat aku
makan sampai mengantuk begini. Sedar-sedar aku hampir tersenguk-senguk.
Mujurlah kepalaku tak terhantuk meja. Dalam mamai, dia memegang daguku.
“Kenapa?” tanyanya lembut.
“Mengantuk. Mungkin makan terlalu banyak,” jawabku. “Nak balik,” tambahku
lagi. Serius, aku memang dah tak tahan.
“Okey, kita balik sekarang,” balasnya.
Serentak itu aku mengukir senyuman. Sayang awak! Dan aku mula perasan ada
mata tak puas hati sedang memandang aku. Siapa lagi kalau bukan
perempuan-tanpa-nama itu. Huh, ingatkan aku aku takut? Ada aku peduli? Jadi,
silakan cemburu.
Dayah ooo dayah... hihi
ReplyDeleteSo funny...
ReplyDeleteKtawe sorg2 sy ble bce ni hahaha
Dayah ni cute....sambung lg pls
ReplyDeleteCik penulis...teruskan usha....sy tak pernah kecwa baca entry ni...
ReplyDeleteDayah.. jom kiter g pizza hut.. hihi
ReplyDeleteso cute, best teruskan usaha untuk sambungan citer nie....
ReplyDeletebest sangat....
ReplyDeleteentry awak tak penah menghampakan saya
Waaaaa...gelak sorang2 baca bab nie...heheheh
ReplyDeleteKelakar...tp mcm baca diari pun ada....������
ReplyDelete