Skip to main content

Suamiku Workaholic [Bab 1]

Ibu kata, Syazwan paling tak suka dengan orang yang lambat datang janji temu. Jadi, awal-awal lagi aku sudah datang ke tempat janji temu. Masa tu, cafe yang menjadi tempat pertemuan kami itu baru sahaja buka. Lama juga aku duduk menunggu maklumlah aku datang setengah jam lebih awal.
Tepat pukul 10.00 pagi, Syazwan datang tepat pada masanya. Padanlah dia sudah jadi seorang yang berjaya dan bekerjaya. Dia datang dengan baju kot (ah, cair!). Nampak segak dan bergaya. Serius aku sudah jatuh hati.
Datang-datang saja, dia terus renung aku dari atas hingga bawah. Berdetak juga jantung aku tiap kali matanya scan setiap inci tubuh aku. Macam mata Superman yang boleh tengok dalaman tubuh orang pula. Setelah dia berpuas hati, barulah dia duduk dan membuat pesanan kepada pelayan cafe itu.
Kemudian, dia keluarkan tab miliknya dan senyap.

Okey, aku tak boleh biarkan ini berterusan. Cepat bagi idea, bagaimana aku hendak buat lelaki di hadapan aku ini bercakap. Apa topik yang aku perlu mulakan? Cuaca cerah? Politik? Drama Akasia yang baru ditayangkan? Filem terbaru Jet Li? Kerja? Soalan peribadi? Arghhh... aku buntu!
Eh, nanti. Mmm... tanya dia sama ada dia bekerja hari ini atau tidak. Yelah, hari ni hari Sabtu. Dia pakai cantik-cantik begini macam hendak pergi kerja.
“Err... hari ni awak kerja ke?” aku mula bertanya.
Soalan aku itu akhirnya berjaya buat dia kalihkan pandangan memandang aku. Bila dia pandang aku, aku rasa macam ada belon pecah dalam tubuh aku. Terus jantungku berdegup kencang. Dia terus pandang aku. Aku sudah menggelabah.
Adui, macam mana aku boleh lupa? Dayah, kau dah bagi soalan yang salah! Dia tu workaholic! Sudah tentulah dia kerja hari ni dan bila-bila pun. Patutlah dia pandang aku macam hendak terkam saja. Macam mana sekarang? Apa perlu aku buat?
Okey, cuba soalan lain.
“Mmm... tentang hal kita berdua,” aku beranikan diri membuka mulut. Kalau ikut pengalaman sepupu-sepupu aku yang pernah keluar dengan dia, mereka kata, selagi kita tak buka mulut selagi itulah kita akan dengar bunyi cengkerek.
“Awak setuju ke dengan cadangan orang tua kita?”
Dia pandang aku lagi. Kali ini kurang sikit seramnya. Tapi masih lagi pelik dengan dia yang asyik pandang aku. Sampaikan dia hendak minum kopi pun dia masih pandang aku. Aku beranikan diri memandang wajahnya.
Kemudian, dia mencapai beg di sebelahnya. Aku hanya memandang. Ingatkan apalah yang dia hendak beri aku. Rupa-rupanya dia keluarkan laptopnya dan bersiap sedia hendak sambung kerjanya! Aduhai, apalah nasib aku asyik dapat bakal suami yang acuh tak acuh begini.
Nanti... takkanlah dia serius nak buat kerja di sini? Habis, aku ni? Tunggul kayu? Aku tak nak jadi tunggul kayu! Aku nak jadi isteri yang baik. Ini tak boleh jadi. Ibu kata, ini pilihan terakhir aku. Kalau aku inginkan bahagia, aku kena berusaha keras kali ini. Jangan biarkan lelaki menguasai permainan ini. Dayah, ayuh berjuang!
“Okey, saya tahu awak memang banyak sangat kerja. Tak mengapa saya faham. Tapi, saya nak awak tahu yang banyak benda yang saya fikir sekarang. Sementara awak buat kerja, apa kata awak pasang telinga dengar luahan hati saya?”
Dia pandang aku. Sekejap saja, lepas tu matanya tertumpu lagi pada laptopnya. Yes, ada harapan. Teruskan lagi. Jangan putus asa, Dayah.
“Saya tahu awak bukanlah nak sangat nak kahwin dengan saya. Saya pun sama tapi saya tak boleh nak buat apa. Semua nak saya kahwin. Mereka macam tak kisah dengan siapa saya berkahwin asalkan saya kahwin.”
Aku berhenti bersuara sekejap. Sengaja hendak tengok reaksi Syazwan. Tapi malangnya, lelaki itu tetap dengan kerjanya. Tak mengapa. Aku harap walaupun matanya tidak berkelip pandang laptopnya, dia akan dengar apa yang aku ingin perkatakan.
“Jujur saya cakap, saya gembira sangat sebab Ammar melarikan diri dalam waktu-waktu genting begini. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Saya rasa bertuah sebab dia tak jadi suami saya. Melarikan diri menunjukkan dia belum matang. Apa salahnya kalau dia beritahu hal sebenar. Bukannya kena panggang pun kalau berterus-terang yang dia tak nak kahwin dengan saya. Paling teruk pun kena leter saja. Ini tidak, saya pula yang kena tanggung apa yang dia buat!” Aku melepaskan geram.
Kemudian, dia pandang aku. Waktu itu barulah aku rasa seperti sudah terlepas cakap. Adui, aku dah tunjukkan perangai yang buruk depan dia. Merungut atas benda yang sudah berlaku. Pasti dia ingat aku ni seorang yang kepoh.
Dayah, cepat cover balik!
“Maaf. Saya tak nak apa yang berlaku pada saya dengan Ammar terjadi lagi. Jadi, saya nak awak tahu yang saya sedia terima keputusan awak. Kalau awak rasa saya tak sesuai hadir dalam hidup awak... beritahu awal-awal dan berterus-terang. Tapi, jangan sekali burukkan saya depan keluarga awak semata-mata nak selamatkan diri awak nak elak perkahwinan ni!” Aku berinya amaran awal-awal.
“So?” aku menunggu jawapannya. Matanya masih memandang laptop. Kali ini aku pula merenungnya. Lama aku tenung menunggu jawapan, tapi malangnya, dia langsung buat tak tahu.
Ah, bagaimana aku nak teruskan? Aku buntu. Dia langsung beri apa-apa reaksi. Angguk tidak. Geleng pun tidak. Aku langsung tak dapat nak buat kesimpulan. Betul-betul hati batu!
Okey, walau apa pun jangan mengalah!
“Err... okey... mungkin kita berdua perlukan masa untuk memikirkannya. Kita bagi diri sendiri masa. Balik ni awak fikir puas-puas ya. Ini tentang masa depan kita. Kita bukan nak duduk bersama di bawah satu bumbung setahun dua tapi seumur hidup! Jadi, awak fikir baik-baik, tau!” Kali ini aku menganggunya dengan menarik sedikit laptopnya supaya dia beri tumpuan pada aku.
Ternyata tindakan aku tepat. Dia pandang aku. Kemudian, dia tenung aku. Lama. Aku ingat aku dah berjaya tapi nampaknya tidak. Dia tidak memberikan sebarang reaksi kecuali menunjuk ke arah tangan aku yang pegang laptopnya. Raut wajahnya dilihat berubah seolah-olah dia tak suka orang pegang barangnya. Lihat saja raut wajah yang bagaikan hendak terkam orang itu, aku terus lepaskan laptopnya.
Seram. Beginikah bakal suami aku? Cukuplah dia seorang workaholic, aku tak sanggup terima bakal suami yang seram begini. Aku terus kecut perut dan ambil keputusan untuk berdiam diri.
Bila aku diam, dia pun diam. Hanya kedengaran bunyi muzik yang dipasang oleh pihak cafe. Gila punya bosan. Aku juga dah habis topik hendak bercakap dengan dia. Boleh dikatakan setiap minit aku tengok jam. Aku rasa macam jarum jam di sekeliling aku macam sengaja hendak mogok. Lambat sangat bergerak!
Apa yang perlu aku buat sekarang? Nak minta diri? Baru setengah jam! Tapi aku tak ada topik lagi nak cakap dengannya. Jadi, tak mengapakah kalau aku minta diri? Mmm... aku pandang sekeliling. Bagaimana kalau ada orang memerhati aku? Sebab menurut Yana, sepupu aku yang pernah keluar dengan Syazwan ni ada beritahu supaya berhati-hati bila keluar dengan Syazwan. Ada yang memerhati sebab dia pernah tinggalkan Syazwan setelah bertemu tidak sampai setengah jam.
Lepas itu, mulalah cerita yang bukan-bukan. Yana tak pandai layan lelaki. Yana bersikap kurang sopan dengan tunang sendiri (waktu itu mereka sudah bertunang). Dan bermacam-macam lagi. Yang lelaki pula sudah tentu takkan dituduh macam-macam. Jadi, jangan buat kerja gila! Duduk di sini sampai Syazwan sendiri mengalah!
Tapi... aku nak buat apa? Eh, bukan ke aku ada sediakan tiga buah novel sebelum datang sini tadi? Itu pun Yana punya idea. Lantas aku keluarkan novel pertama yang ingin dibaca. Baiklah, biar dia buat kerja dia dan aku layan novel! Puas hati.
Memula aku baca novel, aku pandang-pandang dia di hadapan. Saja nak curi pandang reaksi dia. Lima kali aku pandang, lima kali aku tengok dia asyik dengan kerjanya. Gila tension. Terus aku mulakan pembacaan. Baca dan baca... dan aku hanyut di bawa melayari rumah tangga hero dan heroin novel ini. Gila sweet. Sempat lagi aku berangan-angan inginkan rumah tangga yang sweet begini.
Bila aku dah hanyut, harimau lalu di sebelah pun aku dah tak layan dah. Sampai aku tak sedar sudah berjam-jam lamanya aku duduk di situ. Mana tidaknya, novel tu punyalah tebal. Memula saja rasa tebal tapi bila dah baca, tak rasa tebal pun. Rasa macam nak lagi ada la. Sedar-sedar saja aku sudah habis membaca buku itu. Tersengih-sengih aku bila baca endingnya. Sweet sangat. Kalaulah hidup aku sehebat heroin itu...
Opocot kau... Aku tersentap apabila terpandang wajah Syazwan yang sedang pandang aku. Aku hampir terlompat dari kerusi dibuatnya. Dia pandang aku sambil menghirup air kopinya. Bila dia letak cawan kopinya, terkejut aku tengok meja kami penuh dengan cawan. Ada lima semuanya. Empat cawan dia punya. Semua sudah habis. Kemudian baru aku perasan yang laptopnya sudah tertutup di atas meja.
Bila masa dia habis buat kerja? Aku tengok jam. Jarum panjang dekat nombor 5. Jarum pendek dekat nombor 4. Jadi, 4.25. 4.25 petang? Sekali lagi aku tengok betul-betul. Tak puas hati, aku tengok jam di dinding cafe itu pula. Sama juga. 4.25 petang. Gila. Aku tak puas hati lagi. Terus aku menarik tangan Syazwan yang memakai jam. Aik? 5.25 petang? Kau biar betul? Aku pandang dia.
“Jam aku memang cepat 1 jam,” katanya.
Gila punya cepat. Tapi... kenapa aku langsung tak sedar dah pukul 4 petang? Habis zohor aku! Perut... perut aku tak bagi warning pula. Aku belum lagi makan tengah hari. Apa dah berlaku ni?
Tapi... ehh... Syazwan bersuara tadi. Rasanya aku tak salah dengar dan aku tak bermimpi. Dia bersuara tadi. Jadi... yes! Aku ada harapan! Aku tak dapat menahan diri daripada tersengih.
“Err...”
Belum sempat aku hendak bersuara, Syazwan sudah bersiap sedia memasukkan laptop ke dalam beg. Dia bangun dan terus ke kaunter pembayaran. Aku hanya mengikut. Masa tu, aku dengar suaranya. Merdu? Tak langsung. Macam biasa saja tapi memandangkan aku jarang sangat dengar suaranya, boleh dikatakan seksi la. Cair sekejap. Aku dengar dia bayarkan sekali bil aku. Bila sudah habis bayar, dia terus berjalan ke luar. Aku terus mengejarnya.
“Awak nanti,” gila cepat dia jalan. Langkahnya berhenti. Aku lantas mengeluarkan sekeping duit RM50. Memandangkan aku sendiri tak tahu berapa bil yang patut aku kena bayar, jadi RM50 kira selamatlah tu. Nanti aku hulur RM10, macam tak logik pula. Yelah, tempat begitu, paling kurang pun dekat RM20 untuk secawan kopi.
Dia tenung duit RM50 itu dan kemudian merenung aku. Sekali lagi aku cuak. Tak cukup? Atau aku kena cover empat cawan kopi yang dia minum tadi? Ah, Dayah, apalah kau ni. Kau dah buat dia tersangkut sampai minum beberapa cawan kopi, kau hulur RM50 je?
“Err... maafkan saya,” lantas aku mencapai semula beg duit. Terkial-kial aku cari duit yang ada dalam dompet aku ini. Habis, tak cukup. Aku baru ingat, aku tak pergi cucuk bank lagi! Memang dalam dompet aku ada RM50 sekeping dan beberapa duit RM1. Semuanya RM55. Aduh!
Aku tersengih-sengih pandang dia. Dia apa lagi, angkat kaki dan terus berjalan laju. Waaa... aku ditinggalkan. Aku kena tinggal. Habis. Masaklah aku! Dia reject aku. Aku kena reject lagi!!!



Bagaimana sekarang? Apa yang aku patut beritahu pada ibu dan ayah nanti? Mereka pasti akan bertanya tentang pertemuan kami tadi. Menipu mereka? Kalau aku boleh menipu mereka, itu maknanya aku memang handal dan bakal menjadi ahli neraka yang sah. Lagipun, gerenti aku takkan berjaya tipu mereka. Mereka amat memahami aku. Segala tipu helah aku takkan menjadi punya!
Jadi, apa yang perlu aku buat? Beritahu mereka perkara sebenar tapi dalam masa yang sama gaul dengan alasan yang munasabah? Mmm... alasan apa yang perlu aku gaulkan sekali? Aku tak boleh masuk dengan cara Syazwan? Syazwan bukan putera idaman aku? Memang nahaslah kalau aku bagi alasan begitu. Satu hal lagi kena dengar ceramah perdana ayah.
Ah, nampaknya aku kena hadapi semua ni dengan beritahu hal sebenar. Dari A sampai Z. Tiada tokok tambah. Tiada director cut. Aku redha kalau kena ceramah nanti. Mungkin inilah nasib aku dalam mencari pasangan hidup.
“Assalamualaikum,” ucapku sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Awal-awal lagi aku sudah jenguk ke dalam. Tiada sesiapa di ruang tamu.
Langkah aku atur sambil memandang sekeliling. Takut-takut kalau ada yang memerhati. Rumah aku sunyi sahaja. Pelik. Pintu depan tidak berkunci tetapi ke mana pula ibu dan ayah? Mustahil mereka pergi shopping tak ajak aku.
Tiba-tiba langkah aku terhenti apabila terdengar sesuatu. Bunyi macam suara ibu. Lalu aku pasang telinga. Cuba mendengar dari mana suara itu datang. Makin lama, makin kuat pula aku dengar. Suara ibu tadi datang dari bilik utama dan ibu sedang menangis!
Lantas kaki aku melangkah ke bilik utama yang menjadi bilik ibu dan ayah aku. Aku terus redah masuk memandangkan pintu bilik itu terbuka separuh. Dan aku tengok mata ibu berair kemerahan. Aku mula tertanya-tanya. Apa sudah berlaku?
“Ibu, kenapa ni? Kenapa ibu menangis? Ibu sakit ke?” aku bertanya bertubi-tubi dan mendekati ibu.
Ibu tidak menjawab soalan aku tetapi sebaliknya ibu terus menangis. Kali ini lebih kuat. Aku makin risau. Aku tak pernah tengok ibu menangis sekuat begini. Apa sudah berlaku? Ada sesuatu yang buruk sudah berlaku pada ibu sampai ibu menangis begini?
Tiba-tiba aku teringatkan pertemuan tadi. Adakah keluarga Syazwan sudah sampaikan berita buruk itu? Ibu menangis sebab mereka reject aku? Kalau betul... aku pun nak menangis juga!
“Dayah... anak ibu...” ibu terus menangis memeluk aku.
Aku, apa lagi. Terus keluar air mata. Walaupun aku rasa kena reject tu perkara biasa tapi aku sedih kalau ibu sedih. Aku tahu, ini sajalah harapan ibu untuk melihat aku berkahwin.
“Dahlah tu. Buruk ayah tengok korang berdua ni,” ayah yang turut berada di situ mencelah.
Aku tengok ayah. Dari tadi, ayah tak beri sebarang reaksi melainkan melihat kami buat drama air mata. Lelaki. Walau apa pun mereka pasti tidak akan mengalirkan air mata depan perempuan. Aku faham.
Minta maaf ayah. Dayah dah hampakan ayah.
Aku terus menangis.
“Aduhai, sudahlah tu. Anak awak ni bukannya kecil lagi. Dah dewasa,” tegur ayah lagi.
“Sebab dia dah dewasalah saya sedih,” kata ibu dalam seduan. Aku mengangguk. Ya. Sebab sudah dewasa dan tak dapat cari calon menantu yang baik untuk ibu dan ayahlah, aku menangis. Sedih. Mereka dah buat apa yang patut untuk mendidik aku menjadi insan berguna tapi aku hampakan mereka.
“Awak ni, dia tak kahwin awak susah hati. Sekarang ni, dia nak kahwin, takkan susah hati lagi kot,” ayah bersuara lagi.
“Mestilah! Dia satu-satunya anak tunggal kita. Nanti, bila dia dah kahwin dengan siapa lagi saya nak mengadu nasib? Betul tak, Dayah?” ibu terus menangis.
Aku hanya mengangguk. Betul. Nanti, kalau aku dah kahwin, pasti ibu akan rasa sunyi sebabnya sudah tentu-tentulah aku akan ikut bakal suami aku dan tinggalkan ibu dan ayah berdua-duaan di rumah. Sedih...
Eh, nanti jap. Kahwin? Aku? Bila? Lantas aku meleraikan pelukan.
“Apa ibu cakap tadi? Kahwin?” aku terus bertanya.
“Dayah...” Ibu tidak menjawab tapi sebaliknya terus memeluk aku dan sambung menangis.
“Ayah, apa ni? Dayah tak faham,” aku tanya ayah memandangkan ibu langsung tak boleh jawab soalan aku.
“Tak faham ke buat-buat tak faham?” Aku nampak ayah tersengih-sengih.
Lagi aku blur. Ada sesuatu yang baik berlaku ke?
“Serius. Dayah tak faham.”
“Laa... kau sendiri pergi jumpa Syazwan, takkan kau tak tahu?”
“Tahu apa?”
“Syazwan setuju nak berkahwin dengan kau.”
Aku kaget. Otak aku cuba memproses maklumat. Syazwan setuju nak kahwin dengan aku. Syazwan. Setuju. Nak. Kahwin. Dengan. Aku.
“Ini bermakna...” Aku rasa bagaikan bermimpi. Aku, Nur Hidayah akan berkahwin dengan Syazwan? Biar betul!
“Dayah!” ibu terus menangis. Rupanya tangisan kegembiraan.


Comments

  1. Wauu mcm best...hrap de next n3

    ReplyDelete
  2. stone cold heroo .. nk jugak dia ek mcmne la kisah hidup dorg.. liayna ur story makin best

    ReplyDelete
  3. salam.. please update your next entry.. it makes me eager to know what will happen next!! good job cik writer!!! senyum sendiri saya baca,...

    ReplyDelete
  4. best....
    tp knape bab 13,14.15 tak boleh bukak
    tak sabar nk bace ni

    ReplyDelete
  5. Salam.. nk tnya novel ni ada sapa2 nak jual?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 14]

Tips no. #6 Dia bekerja semasa honeymoon? Ganggu dia dengan gambar-gambar percutian menarik. Klik. Gambar selfie pertama bersama burung helang gergasi. Aku buka WhatsApp dan terus send padanya. Ini misi yang paling menakutkan. Kalau tersilap langkah memang teruk aku kena marah dengan suami Workaholic itu tapi demi masa depan dan kebahagiaan kami misi mesti diteruskan! Walau apa pun yang terjadi aku reda. Balik ni kalau kena marah, aku reda. Aku tunggu seketika. Tak ada respond. Mmm… mungkin dia tengah serius sangat bekerja. Okey, tak mengapa. Lambat-laun dia akan tengok mesej itu juga. Hari ni, aku akan hantar gambar banyak-banyak kepadanya. Manalah tahu dia tergoda tengok percutian aku dan sanggup tinggalkan kerja-kerjanya seketika… Oh, sweetnya! “ Hah, apa yang tersenyum seorang diri tu?” sapaan Wani yang tiba-tiba itu mengejutkan aku. Mujur tidak terpelanting handset aku.