“Hah?
Anak Mak Cik Zara?” sekali lagi aku bertanya. Terkejut pun ada. Beberapa kali
aku bertanya, beberapa kali juga ibu mengangguk.
“Kenapa
kau terkejut sangat?” tanya ibu.
“Ibu...
ibu dah...” kata-kataku mati di situ. Mahu saja aku cakap 'gila' di akhir ayat.
Tapi takkanlah aku sanggup kata perkataan tu pada ibu yang aku sayangi ini.
Tapi betul. Ini kerja gila. Ada ke dia hendak kahwinkan aku dengan anak Mak Cik
Zara? Aku rasa macam hendak menjerit saja.
“Kau
ni kenapa?”
“Ibu,
Dayah tahu, ibu dan ayah dah capai jalan buntu nak teruskan majlis perkahwinan
Dayah yang tinggal sebulan lagi tapi... janganlah terdesak sampai begini,” aku
mula bersuara.
Kalau
tidak kerana bakal pengantin lelaki lari dari rumah dan gagal dikesan sehingga
kini, semua ini takkan berlaku. Lagi takkan berlaku, kalau mereka-mereka
pandai-pandai hendak jodohkan kami. Kononnya hendak menguatkan hubungan
silatulrahim antara kedua-dua keluarga. Kalau ya pun mintalah pendapat kami
berdua dahulu. Orang zaman sekarang ni bukannya boleh terus ikut pilihan
keluarga. Bila sudah memberontak, habis menyusahkan semua orang.
Huh,
aku masih angin lagi dengan Ammar, lelaki pengecut yang keluarga aku berkenan
untuk menjadikannya menantu dan suami aku. Dalam waktu kemuncak begini boleh
pula dia buat hal. Lepas tu, aku pula yang dipersalahkan kerana tak pandai jaga
tunang sampai boleh lari dengan kawan karib aku sendiri.
Salimah.
Tapi nama glamour dia Sally. Dia kawan karib aku ketika kecil. Sejujurnya, aku
sendiri terkejut bila dapat tahu dia lari dengan tunang aku. Selama ini dia
langsung tak pernah menunjukkan yang dia minat pada Ammar. Dia juga sering bagi
aku nasihat supaya terus menerima Ammar sebagai tunang. Bila aku dengar namanya
menjadi sebutan, sudah tentulah aku tidak percaya.
Tapi
bila aku gagal hubungi Sally, barulah aku percaya. Aku juga tersedar yang
selama ni aku sudah dipermainkan oleh dua orang yang rapat dengan aku. Aku
sendiri tak tahu apa salah aku sampai mereka sanggup buat aku begini.
Ammar,
dia memang tunang aku walaupun aku susah hendak terimanya sebagai tunang. Aku
bertunang dengannya sebab dia pilihan keluarga. Bila dia dah jadi pilihan
keluarga, aku sudah tak boleh nak buat apa-apa lagi. Lagipun bukan sahaja
melibatkan ibu dah ayah tapi termasuk mak cik – mak cik dan nenek yang inginkan
aku berkahwin dengan Ammar.
Di
situ aku sudah nampak, tak guna lagi aku berkeras lancarkan mogok lapar
semata-mata nak suruh mereka hentikan rancangan ini. Aku redha. Jadi, aku cuba
memujuk hati menerima Ammar. Lagipun, aku tak ramai kawan lelaki. Apa salahnya
kalau aku cuba menyintai Ammar.
Segala
kekusutan hati aku luahkan kepada Sally. Bagi aku Sally adalah kawan yang baik.
Dia sanggup mendengar segala rintihan hati aku. Semua perasaan aku tak kira
gembira atau sedih, aku kongsikan kepada Sally. Dia juga seperti penasihat aku.
Dia selalu juga bagi aku nasihat untuk menerima Ammar dengan seadanya. Dia juga
ajar aku bagaimana hendak pikat hati Ammar.
Yup.
Ammar seorang lelaki yang langsung tak ada perasaan terhadap aku. Baginya, (dia
pernah berterus-terang pada aku) aku seorang yang membosankan. Seribu kali
bosan katanya. Aku tak macam perempuan lain. Langsung tak mencabar sifat
kejantanannya.
Jadi,
sebab itulah Sally ajar aku supaya pikat hati Ammar. Macam-macam aku buat untuk
pikat hatinya. Sampai aku sanggup habiskan duit gaji dan berlapar semata-mata
hendak hadiahkan iPhone 5 semasa hari jadi Ammar tahun lepas. Tapi semua ajaran
Sally tidak menjadi. Dan sekarang, aku sudah tahu kenapa.
Sally
dan Ammar. Rupa-rupanya mereka sudah menjalinkan hubungan di belakang aku sejak
5 tahun lepas. 5 tahun lepas juga, aku bertunang dengan Ammar. Lama bukan Ammar
jadi tunang aku. Itu sebab sudah tradisi keluarga kami dengan alasan memberi
ruang kepada bakal pengantin seperti kami ini saling mengenali.
Sebenarnya,
keputusan mereka untuk menjodohkan kami bukanlah kejam sangat. Tempoh lima
tahun itu digunakan untuk saling mengenali. Kalau salah seorang daripada kami
tidak setuju, boleh saja kemukakan rayuan untuk putuskan hubungan ini secara
baik. Dengan syarat, kedua-dua pihak mestilah bersetuju. Kalau satu pihak saja
bersetuju, rayuan kami takkan berjaya. Aku dah banyak kali cakap pada Ammar
tapi lelaki itu begitu pengecut hendak bertindak. Tapi bila hendak dekat tarikh
perkahwinan boleh pula dia lesap begitu saja.
Sekarang
ni, bila pengantin lelaki sudah hilang, aku pula yang susah. Aku dituduh tak
pandai jaga tunang. Aku dituduh lemah dan kurang matang oleh keluarga Ammar.
Ingin saja aku marah. Aku lemah? Aku kurang matang? Habis, tindakan anak teruna
kesayangan dia yang lari dari tanggungjawab tu, apa cerita?
Lepas
tu dia tuduh aku macam-macam. Kononnya, anak dia lari sebab dia pernah nampak
aku keluar dengan lelaki. Waktu itu aku rasa macam hendak jadi raksasa saja.
Bila masa pula aku keluar dengan lelaki? Aku bukannya kaki jalan. Kalau aku nak
keluar, sama ada bertemankan ayah atau Sally saja. Mana datangnya lelaki asing
dalam hidup aku? Mengata aku, padahal, anak dia terang-terang pergi lari dengan
perempuan lain. Jadi, kelam-kabutlah nenek dan mak cik-mak cik aku yang lain
carikan calon menantu gantian.
Inilah
mentaliti orang lama (mungkin sebahagian). Bagi mereka, kalau lelaki tinggalkan
perempuan, maknanya ada sesuatu tidak kena dengan perempuan itu. Semua tuduhan
jatuh pada perempuan. Yang lelaki, sudah terang-terang pergi kahwin lari di
Thailand dipertahan pula.
Arghhh!
Aku rasa hendak jerit sekuat hati. Tambah lagi sekarang ni ibu tetap dengan
pendiriannya hendak jodohkan aku dengan anak teruna Mak Cik Zara! Adui, anak
Mak Cik Zara tu!
“Apa
masalahnya dengan anak Mak Cik Zara?” tanya ibu berbuat tidak tahu.
“Ibu,
takkan ibu tak tahu dengan anak Mak Cik Zara tu? Dia tu... hati batu!”
Sudah
bermacam-macam aku dengar cerita tentang anak Mak Cik Zara. Dia boleh dikatakan
saudara jauh aku dan pernah juga berjumpa dengannya beberapa kali. Orangnya,
boleh tahan. Ada rupa dan ada kerjaya. Sebenarnya, banyak juga sepupu-sepupu
aku pernah hendak dijodohkan dengan anak Mak Cik Zara, tetapi semuanya tak
menjadi. Daripada yang aku dengar, anak Mak Cik Zara seorang workaholic.
Hidupnya asyik kerja, kerja dan kerja!
Sebab
itulah sampai sekarang anak Mak Cik Zara membujang. Dan sekarang, mereka hendak
kenankan aku dengan dia pula! Aduhai...
“Ala,
tak cuba mana tahu. Pergi sajalah jumpa Syazwan tu. Mana tahukan hati berkenan
ke. Senang sikit nak berumah tangga nanti.”
Hati
memang berkenan. Mana tidaknya, sudahlah handsome macam Choi Siwon. Hormat
orang tua (ini dari pemerhatian aku). Tambah lagi seorang yang bekerjaya (aku
sangat suka tengok dia pakai baju kot, cair!). Tapi satu saja yang aku tak
berkenan. Dia seorang yang pendiam. Orang tanya sepatah, dia jawab sepatah.
Kadangkala angguk dan geleng. Siapa tahan???
“Esok,
pukul 10 pagi jumpa Syazwan di sini,” ibu memberikan sekeping kertas yang
tertulis tempat yang sudah ditetapkan. Aku menerimanya dengan redha.
Apa
yang aku perlu buat esok? Mampukah aku bertahan?
BEST.
ReplyDeleteterima kasih.
Deletenot bad dear..
ReplyDeletekeep it up! BEST
ReplyDelete