Skip to main content

Suamiku Workaholic [Bab 3]


“Lari? Kau dah gila ke? Majlis perkahwinan kau tinggal beberapa minggu saja lagi tau,” marah Yana apabila aku menyuarakan hasrat nak melarikan diri saja macam yang Ammar buat sebelum ini. Sekarang, barulah aku faham kenapa Ammar nekad nak melarikan diri.
“Tapi aku tak nak kahwin dengan dia. Dia tu... psiko gila. Lepas tu, belum apa-apa lagi dia dah kontrol hidup aku. Aku takut, aku tak boleh tahan hidup dengan dia,” aku menyuarakan kekusutan hati.
Tiada Sally di sisi, kini Yana pula menjadi tempat aku mengadu segala kekusutan hati. Kesian Yana. Terpaksa melayan masalah hati dan perasaan aku dalam keadaan yang sarat mengandung.

“Dayah, dengar nasihat aku ni. Jangan cari masalah. Mula-mula Ammar larikan diri. Takkan kau pun nak larikan diri juga? Kalau boleh lari, sampai bila kau nak lari? Lagi satu, Ammar tu lelaki. Kau perempuan. Kalau masa Ammar lari pun teruk orang mengata kau, inikan pula kalau kau pun lari juga. Lagilah kuat orang mengata. Bukan saja dia orang mengata kau tapi mengata ibu dan ayah kau juga. Kau nak mereka terluka?” nasihat Yana.
“Tapi...”
Apa yang Yana kata ada benarnya. Ini bukannya berkenaan aku saja. Segala tindak tanduk aku juga akan berkait. Lagipun sampai bila aku boleh lari? Dan aku nak lari ke mana? Seumur hidup aku, aku tak pernah berjauhan dengan ibu dan ayah. Sampai belajar pun aku sanggup pilih universiti yang berdekatan supaya aku boleh ulang-alik dari rumah. Tak sanggup rasanya nak tinggal berjauhan dengan keluarga.
“Ikut nasihat aku. Aku pun macam kau juga. Kalau boleh tak nak kahwin dengan suami aku sekarang ni. Tapi, tengok keadaan kami sekarang... Kadangkala bercinta selepas nikah lagi baik,” tersengih-sengih Yana memberikan nasihat.
Kebahagiaan jelas terpancar di wajahnya. Aku rasa cemburu dengan Yana. Dulu, masa mula-mula berkahwin, Yana pernah cakap dia tak yakin dengan perkahwinan tersebut. Namun, selepas setahun, aku tengok merekalah pasangan paling romantik dalam keluarga besar kami.
“Kau bernasib baik sebab dapat suami yang boleh bertolak ansur. Syazwan tu... belum apa lagi dia dah kontrol hidup aku. Mana tahan. Dia langsung tak nak dengar pendapat aku. Aku nak kerja dia tak bagi... dia tetap nak suruh aku jadi suri rumah tangga sepenuh masa,” aku terus merungut.
“Itulah lumrah hidup berumah tangga...”
“Masalahnya aku belum lagi jadi isteri dia yang sah!”
“Memanglah tapi takkan pasal ni je kau nak larikan diri. Larikan diri bukan boleh selesaikan masalah. Lagipun bagus apa kalau jadi suri rumah tangga sepenuh masa. Kau nak jadi macam aku ni ke? Terpaksa bekerja dengan berbadan dua macam ni? Kalau diikutkan hati memang aku nak duduk rumah saja tau tapi kesian pula dengan suami aku. Gajinya bukannya besar...” Yana mengeluh.
Adui... aku dah lukakan hati Yana pula. Mungkin inilah apa yang orang kata, setiap pasangan pasti ada kekurangan masing-masing. Aku memang dah sedia maklum dengan masalah rumah tangga Yana. Suami Yana, Zahid hanya bekerja sebagai mekanik kereta. Disebabkan gaji yang kecil, Yana terpaksa bekerja untuk menolong suaminya. Tapi mereka membuktikan duit bukanlah segalanya.
Aku patut bersyukur bukan merungut!
“Habis tu, apa yang perlu aku buat?”
“Sembahyang. Mohon petunjuk daripada Allah. Banyakkan berdoa dan berzikir. Insya Allah, kalau kau tak berputus asa, Allah akan ringankan lagi beban yang kau tanggung ni,” kata Yana.
Aku cuba tenangkan diri. Betul kata Yana. Aku hampir lupa semua itu. Perkahwinan ini membuatkan aku separuh gila memikirkan masalah sehingga aku terlupa akan Dia yang Maha Esa. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa hambamu ini.
“Dan lagi... apa kata kau belajar pikat suami kau nanti?” cadang Yana tiba-tiba.
Pikat? Terkejut aku dengar cadangan Yana tadi. Serta-merta aku teringatkan Sally. Dia juga cadangkan benda yang sama selepas aku ditunangkan dengan Ammar. Kini, Yana pula beri cadangan yang sama. Makin fobia aku jadinya.
“Kau tahu tak, masa aku mula-mula bertunang dengan Ammar, Sally suruh aku pikat Ammar. Lima tahun kemudian, Ammar lari dengan Sally. Kini, kau pula suruh aku pikat Syazwan tu. Aku takut, lima tahun kemudian, kau pula lari dengan suami aku,” terus-terang aku menyuarakan kegusaran hati aku.
“Kau ni...” cubitan berbisa Yana hinggap di lengan aku. Sakit. “Cubalah fikir positif sikit. Aku dah kahwin dan bahagia, tak ada maknanya aku nak kucar-kacirkan hidup aku.”
Aku tersengih. Baru-baru ni memang aku banyak fikir perkara yang negatif. Sejak Ammar melarikan diri, aku rasa semua perkara yang aku lalui beri kesan yang buruk dalam hidup aku kelak. Sebab itulah aku jadi pengecut dan gagal berfikir dengan baik. Tambahan pula, hari pernikahan aku dengan Syazwan semakin dekat. Tinggal dua minggu lagi. Aku jadi bertambah stress. Aku takut, aku tak mampu lalui semua ini.
Ya Allah, berikanlah kekuatan untuk harungi semua ini...
“Kau jangan risaulah. Aku yakin, Abang Syazwan akan jaga kau dengan baik,” Yana cuba meyakinkan aku.
“Harap macam tulah.”


Seminggu lagi sebelum tarikh perkahwinan kami, hidup aku semakin sibuk sehinggakan aku rasa bukan seperti aku yang nak berkahwin. Tak sangka pula nak uruskan majlis perkahwinan sesibuk ini. Banyak perkara yang perlu aku uruskan. Nasib baiklah untuk majlis ini kami hanya buat di satu tempat saja. Tak seperti kebanyakan pengantin yang akan buat dua majlis. Majlis di rumah pengantin perempuan dan seterusnya di rumah pengantin lelaki.
Memandangkan keluarga aku dengan Mak Cik Zara sudah berpakat nak mengadakan satu majlis saja, jadi tidaklah sesibuk mana tapi tetap tak menang tangan. Kami sepakat nak buat di dewan orang ramai. Itu cadangan Syazwan. Aku setuju sangat kerana tak adalah menganggu jiran tetangga.
Lagipun orang yang datang tidak perlu risau tentang parking sebab Syazwan sudah tempah dewan yang ada tempat letak kenderaan yang luas. Jadi, tak adalah masalah kesesakan yang selalu berlaku semasa majlis perkahwinan sekarang ni.
Pada awalnya rancangan kami mendapat bantahan nenek. Kata nenek, jauh. Memang jauh pun. Tapi, itu saja dewan yang kosong waktu itu. Dewan yang berdekatan sudah habis ditempah. Nenek paksa kami buat majlis di rumahnya saja. Waktu itu memang sudah kelam-kabut kami sekeluarga. Syazwan pula, waktu itu berada di luar negara atas urusan kerja. Dia tu memang tak habis-habis dengan kerja. Menyampah betul! Siapa yang nak kahwin ni?
Bila dia balik, lagi kucar-kacir jadinya. Dia tetap dengan pendirian nak buat di dewan. Bertegang urat jugalah dengan nenek. Akhirnya nenek mengalah. Nenek memang selalu kalah dengan Syazwan. Aku pun tak pasti kenapa. Dengar kata, nenek pernah terhutang budi dengan keluarga Syazwan. Dahulu, arwah atuk Syazwan pernah menolong keluarga kami ketika susah. Mungkin sebab itulah nenek selalu mengalah dengan Syazwan.
Selepas itu aku pula diserang. Diserang dua penjuru pula tu. Nenek yang tak puas hati dengan Syazwan, jadikan aku sasaran. Dia kata aku lemah sebab tak dapat kawal Syazwan. Tak cukup dengan itu, Syazwan pula marah aku. Katanya, aku patut bertegas dengan nenek dalam hal perkahwinan kami. Aku yang berada di tengah-tengah tersepit. Aku tak tahu nak berpihak pada siapa.
Walaupun nenek tu selalu kawal hidup anak dan cucu-cucunya tapi dia buat begitu ada sebab. Dia inginkan yang terbaik untuk keluarga kami. Nenek pun bukanlah kejam sangat. Nenek cuma ego. Biasalah ego orang tua-tua. Semuanya bagi mereka betul dan patut diikut. Kalau nak membantah, mesti kena dengan caranya.
“Ya Allah, dia belum siap lagi? Syazwan dah sampai dah tu!” tegur ibu yang terkejut apabila masuk ke dalam bilik aku dan tengok aku tengah berbaring di atas katil. Dengar sahaja nama bakal suami aku itu, terus tersentap aku dibuatnya.
Lantas aku bangun tengok jam. Memang aku tahu Syazwan akan datang menjemput aku untuk pergi mencuba baju pengantin tapi lambat lagi. Bila aku tengok jam, baru pukul 10 pagi. Kami berjanji pukul 11.00 pagi. Awal gila dia datang. Ah, baru aku ingat. Jam dia memang cepat 1 jam. Jadi, tak hairanlah kalau dia datang awal.
“Hah, apa tunggu lagi? Cepatlah siap. Tak baik buat orang menunggu lama,” ibu pula menggelabah. Ibu memang begitu. Cepat sangat menggelabah bila orang lain menunggu.
“Ibu, baru pukul 10.00 pagi. Kami janji pukul 11.00 pagi. Siapa suruh dia datang awal sangat? Biar dia tunggu,” aku menjawab. Selamba.
“Pukul 10.00 apanya! Sekarang dah pukul 11.10 pagi dah!”
“Tipu,” aku tak percaya.
Ah, ibu memang selalu nak menakut-nakutkan aku begini. Aku takkan mudah kena tipu lagi. Aku dah tengok jam tadi. Memang pukul 10.00 pagi. Jangan haraplah hendak tipu aku macam Syazwan tipu aku. Ada ke patut dia cepatkan satu jam lebih awal? Huh, tak pernah dibuat orang.
“Ya, Allah. Budak ni takkan tak perasan lagi. Jam kau tu tak ada bateri. Semalam ibu ambil bateri jam kau tu untuk gantikan dengan bateri jam di ruang tamu...”
Aku tersentap. Tanpa berlengah lagi aku terus mencapai jam loceng aku tu dan lihat betul-betul. Langsung tak bergerak jarumnya! Kemudian, aku capai handset aku. 11.15 pagi! Argghhh... kenapa? Kenapa semua ni terjadi pada aku?
Aku pandang ibu...
“Hah, jangan nak salahkan ibu. Ibu dah suruh banyak kali kau belikan bateri tapi kau asyik lupa saja...”
Oh ya, baru aku teringat. Memang dah banyak kali ibu suruh aku beli bateri tapi aku ni asyik terlupa saja. Memang salah aku pun.
“Tapi... ibu patut beritahu awal-awal... Jadi, macam mana sekarang?” Aku sudah menggelabah. Syazwan mesti buat muka dengan aku. Dia tu pantang bila aku terlewat. Seminit pun dia boleh buat muka sampai satu hari.
“Apa lagi? Pergi bersiap sekarang!” arah ibu.
Tanpa berlengah lagi aku terus capai tuala dan masuk ke bilik mandi. Hari ni mandi koboi saja. Asalkan badan kena air, itu pun dah okey. Lebih kurang lima minit dalam bilik air. Rekod yang begitu cepat.
Ketika aku selesai memakai baju, aku terdengar sesuatu. Aku besarkan telinga. Cuma menangkap suara yang pernah aku dengar. Itu macam suara Syazwan tapi suara ni agak romantik sikit. Walau apa pun aku tetap pasti itu memang suara Syazwan.
“Ni dah berapa tahun kau tak mandi ni?” pertanyaan Syazwan buat aku terkejut.
Aik? Dia dapat hidu bau badan aku ke? Aku tahulah, aku baru mandi koboi tadi tapi takkan sampai begitu sekali dia dapat hidu bau badan aku? Eh, jangan-jangan dia tengah skodeng aku!
Perlahan-lahan aku melangkah ke tepi tingkap. Aku curi-curi mengintai dari dalam. Dari jauh aku tengok dia sedang duduk di kerusi batu yang berdekatan dengan taman bunga ibu. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat dia sedang duduk membelai kucing kesayangan aku, Koko.
Amboi Koko, gediknya kau dapat kena belai ya. Tahulah yang belai tu lelaki. Bukan ke kita dah bersetuju nak buat pakatan kenakan lelaki tu? Ini tak boleh jadi!
Syazwan masih lagi membelai Koko. Tengok caranya membelai, aku tak fikir itu belaian biasa. Mungkin dia dah biasa dengan kucing. Habis punah harapan aku nak kenakan dia. Aku ingat, lelaki macam dia takutkan kucing atau benci gila dengan kucing. Apatah lagi cara dia bercakap dengan kucing. Hanya orang gilakan kucing saja yang berani bercakap dengan kucing!
Eh... Tiba-tiba aku terfikir sesuatu. Bukan senang nak tengok sisi lain Syazwan. Inilah masanya. Tanpa berlengah lagi aku terus mencapai handset aku dan merakam situasi itu. Bagus Koko! Gedik lagi, biar dia banyak bercakap. Lepas tu aku akan jadikan video ni sebagai alat untuk tundukkan dia.
Selepas aku dapat merakam apa yang aku inginkan, aku sengaja melengah-lengahkan diri bersiap. Maklumlah aku dah ada senjata yang baik punya. Oh, aku dapat rasakan betapa bahagianya hidup aku nanti!
Setelah aku berpuas hati, barulah aku keluar munculkan diri. Itu pun ibu dah bercekak pinggang. Aku buat muka selamba. Ibu beri isyarat suruh dapatkan Syazwan yang sudah masuk dalam kereta. Aku pula dengan lenggang-lengguk mencapai kasut dan berjalan macam mak datin masuk ke dalam kereta Syazwan.
“Dayah...” dia sebut nama aku. Seksi. Ini kali pertama dia sebut nama aku. Nak dengar lagi boleh?
“Mmm?” aku membalas selamba. Sambil itu aku dah bersiap sedia dengan handset aku.
“Pukul berapa sekarang?” tanya Syazwan lagi.
Aku berpura-pura tengok jam di keretanya. Huh, cepat 1 jam juga. 12.50 tengah hari, iaitu persamaan pukul 11.50 pagi.
“12.50 tengah hari tapi memandangkan jam awak cepat 1 jam, jadi 11.50 pagi!” jawab aku dengan beraninya.
Dia berpaling memandang aku. Aku tersengih-sengih. Dia pun ikut tersengih. Wah, dia senyum. Dia senyum! Ini kali pertama aku tengok dia senyum. Tak sangka dia ada senyuman yang handsome begitu. Tapi sekejap saja. Ala, senyum lagi boleh tak?
“Berapa kali aku nak ingatkan kau...”
Belum sempat dia nak habiskan ayatnya, aku segera memainkan video yang aku rakam tadi. Betul-betul aku tunjukkan depan muka dia. Aku tengok muka dia merah tatkala melihat diri sendiri bercakap dengan kucing. Sampai setengah daripada rakaman itu, dia cuba merampas handset aku tapi aku cepat-cepat simpan handset aku dalam poket seluar. Kalau dia benar-benar lelaki sejati, dia takkan berani seluk poket seluar aku.
Ya. Betul. Aku tengok dia betul-betul mati akal bila aku masukkan handset itu dalam seluar aku. 10 markah untuk dia! Tapi ego tetap ego. Inilah masanya aku nak kontrol hidupnya pula.
“Kau...”
“Encik Syazwan, kita dah lambat ni. Bukan ke awak pernah kata, masa takkan menunggu kita? Membazir masa seminit boleh merugikan kita,” aku berani bersuara.
Aku dengar dia mendengus marah. Kemudian, dia pun terus hidupkan enjin kereta dan berlalu memandu ke jalan raya. Wah, tak sangka aku menang! Lepas ni, jangan haraplah dia dapat kawal hidup aku lagi. Aku dah bebas!


Bosan seribu kali bosan. Aku tertanya-tanya, siapa yang berjantina perempuan sekarang ni? Aku atau dia? Punyalah cerewet dengan baju kahwin dia. Ada saja yang tak kena. Padahal jahitan tak betul sikit pun, suruh orang butik betulkan balik. Ah, itu belum lagi bab dia cuba beberapa helai baju kerana tak menepati citarasanya.
Aku dah naik bosan menunggu. Sampaikan pekerja-pekerja butik kelam-kabut melayan kerenah dia. Aku pula ditinggalkan begitu sahaja sebab tak ada seorang pun yang nak melayan aku lagi. Jadi, terpaksalah aku pakai gaun kahwin yang cantik ini. Kalau diikutkan hati memang aku nak buka sahaja sebab aku rasa tak ada apa-apa yang perlu diubah lagi. Tak ketat dan tak longgar.
Tapi pekerja butik itu tak beri aku buka lagi. Katanya, ada sedikit nak betulkan. Entah apa yang dia nak betulkan aku pun tak tahu. Disebabkan bakal pengantin lelaki aku cerewet, mereka suruh aku tunggu sebentar. Sebentar sangatlah. Hampir satu jam juga aku duduk macam tunggul di sini. Bosan gila.
Aku menguap kepenatan. Memang penat. Bukan sahaja penat menunggu tapi penat semalam dan kelmarin masih belum habis lagi. Semalam saja, aku tidur dalam pukul 2.00 pagi. Entahlah, aku sendiri tak tahu apa yang aku buat. Macam-macam juga.
Nak uruskan goodies bag, melayan mak cik-mak cik aku yang buat bunga telur. Itu satu hal. Aku dah kata dah. Beli saja tapi dia degil sangat nak buat. Katanya, rugi saja beli. Dia buat lagi cantik. Huh, kalau cantik pun bukannya boleh buat apa. Orang ambil telurnya saja, bunganya orang buang juga nanti. Akhirnya, aku juga yang kena tolong dia buat. Pukul 1.00 pagi baru siap.
Aku melihat jam tangan aku. Sudah hampir pukul 1.00 tengah hari. Kemudian, aku curi pandang Syazwan yang masih membelek baju kahwinnya. Wah, segak juga dia. Peliklah. Dia ni pakai apa pun boleh nampak segak. Hari tu, aku tengok dia pakai t-shirt dengan seluar jeans pun hampir cair hati aku.
Tapi perangainya yang cerewet buat aku menyampah. Cepatlah! Aku dah tak tahan dah ni. Majalah perkahwinan aku capai. Dah banyak kali aku belek majalah itu. Beberapa kali aku membelek, beberapa kali juga aku menguap.
Ah, aku dah tak tahan. Rasanya dia lambat lagi. Lebih baik aku layan mata dulu. Jangan salahkan aku. Aku dah terlampau bosan ni. Aku pun mencapai bantal kecil yang berada di hujung kerusi dan meletaknya di atas lengan kerusi panjang itu. Apa lagi, tanpa pedulikan sekeliling, aku melakar peta mimpi...


Klik.
Aku terdengar sesuatu. Sekali dengan terasa ada cahaya terpancar di muka aku. Lantas aku mencelik mata. Aku nampak ada satu handset menghala ke arah aku dan cepat-cepat orang itu menyimpan handsetnya. Aku cuba amati muka orang itu dengan teliti memandangkan pandangan aku masih samar-samar. Maklumlah baru bangun tidur.
Aku nampak Syazwan. Menyedari keadaan aku sekarang, aku kembali menutup mata. Aduhai... berapa lama aku dah tertidur? Rasanya seminit. Tapi kenapa aku rasa macam lama sangat aku dah tidur?
Nanti! Tadi dia tangkap gambar aku masa tidur? Berapa banyak gambar yang dia dah tangkap? Jangan-jangan dia juga ada rakam video masa aku tidur tadi! Rasanya aku tak buat sesuatu yang memalukan masa tidur tadi, bukan? Aku bukannya selalu mengigau. Tapi macam mana kalau aku mengigau? Adui... macam mana aku nak berhadapan dengan dia?
“Kau nak pura-pura tidur sampai bila? Cepat bangun,” Syazwan mengarah dengan suara kasarnya.
Bila dia dah beri arahan begitu, aku pun segera mencelik mata. Aku pandang dia. Dia masih pandang aku dengan pandangan membunuhnya. Ah, tak sanggup aku nak pandang. Cepat-cepat aku kalih pandangan. Tapi, aku dapat rasakan dia terus memandang aku. Auranya... aku dapat rasa macam tengah marahkan aku saja.
“Cuba tengok jam, dah pukul berapa sekarang?” dia bersuara lagi.
Aku pun tengok jam di tangan aku. Pukul. 4.30 petang. Dengan spontan aku menepuk dahi sendiri. Gila. 4.30 petang tau. Sekali lagi Zohor aku habis. Rasanya dia punya Zohor pun habis juga. Padanlah dia marah sangat. Tapi nak buat macam mana. Silap dia juga tak kejutkan aku.
Aku memberanikan diri memandang dia. Sekali dengan hadiah sengihan bersalah. Masa itu baru aku perasan ada banyak cawan di atas meja di hadapan aku. Dia punya cawan ke? Itu... macam nak beri aku klue yang dia dah lama menunggu aku.
“Silap awak juga yang tak kejutkan awal-awal lagi,” aku tak mahu mengalah.
Dia hanya senyap dan terus tenung aku. Apahallah dengan dia ni. Suka sangat tenung aku begitu. Jangan ingat aku akan takut dengan tenungannya selamanya.
“Err... tadi, kenapa awak tangkap gambar saya?” tersengih-sengih aku memberanikan diri bertanya. Saja nak tengok reaksi dia. Jangan-jangan ini sisi lain dia. Wah, hari ni aku berjaya nampak sisi lain dia. Mungkin ada banyak lagi!
“Cepat bersiap. Aku dah lapar ni,” dia berdehem kecil dan terus bangun berlalu dari situ.
Aku hanya pandang dia. Tadi, aku perasan sesuatu pada mukanya. Macam orang cuba menahan malu. Yes, aku masih ada harapan lagi nak lembutkan hati dia! Tunggulah wahai Encik Workaholic, jangan harap kau boleh lari daripada aku lepas ni!


Aku tengok Yana menggeleng. Dari tadi dia asyik menggeleng tengok keadaan aku begini. Aku pun tak tahu kenapa aku gembira sangat. Macam orang gila pun ada. Ini kali pertama aku rasa begini. Dulu, masa aku cuba pikat Ammar, tak pernah pula aku rasai perasan ini.
Adakah aku dah jatuh cinta? Ah, bahagianya...
“Cubalah kau control sikit gedik kau tu. Menyampah aku tengok,” kata Yana.
“Bukan senang tau aku nak jatuh cinta.”
“Kau ni cepat sangatlah. Itu pun kau boleh jatuh cinta. Dia tu Abang Syazwan tau. Abang Syazwan! Bukannya Mat Romeo dalam imaginasi kau,” Yana cuba mengingatkan aku.
“Tapi aku tengok dia sweetlah,” aku memberanikan diri berterus-terang.
Yana mengeluh. Barangkali dah tak tahu nak kata apa. Aku faham. Semuanya terlampau cepat tapi kalau aku tak berusaha membawa dia ke dalam hati aku, macam mana aku nak hidup bersama dengan dia, bukan? Untuk menyintai seseorang kita kena belajar menyintai. Kalau kita simpan perasaan benci, sudah tentulah hubungan rumah tangga kami takkan ke mana-mana. Lagipun, kami akan berkahwin. Bukan kahwin olok-olok.
“Setakat bercakap dengan kucing kesayangan kau tu kau kata dia sweet? Memang sah ada sesuatu tak kena dengan kau ni,” Yana masih tak puas hati. Tak apa. Aku faham. Dia cemburu sebab tak dapat pikat Abang Syazwan dia. Tapi aku tak peduli. Yang penting sekarang, aku dah jatuh cinta!
“Sekurang-kurangnya aku jatuh cinta dengan bakal suami aku. So, tentang idea kau yang nak aku pikat dia tu... apa tindakan aku seterusnya?” soalku. Nekad. Ini berkenaan masa depan aku.
“Nak pikat apanya. Tadi kau yang kata dia macam ada perasaan dengan kau.”
“Memanglah tapi aku tak puas hati. Aku nak lebih daripada tu.”
“Tamak betullah kau ni,” peha aku kena cubit pula.
Aku tersengih-sengih. Tak kisahlah tamak atau tidak. Asalkan aku bahagia. Bukan ke semua orang ingin hidup bahagia. Aku juga begitu.
“Err... sebenarnya aku ada sesuatu nak tanya kau...” aku teragak-agak ingin bertanyakan soalan yang membelenggu diri aku sejak balik dari mencuba baju pengantin tadi.
“Apa dia?” soal Yana.
“Macam mana nak hadapi... malam pertama?” soalku dengan malu-malu kucing.
“Ya Allah! Aduh, apa yang Abang Syazwan dah buat dengan sepupu aku ni?” boleh pula Yana terkejut dengan soalan aku tadi.
“Hei, aku nak kahwin. Kahwin. Dengan Abang Syazwan kau tu. Dah tentu-tentulah aku ada hak nak tanya pasal hal dalam kelambu...”
“Ah, aku tak nak layan,” Yana cepat-cepat angkat kaki keluar dari bilik aku.
“Yana! Kedekut ilmulah kau ni!” Aku mendengus marah. Tak mengapa. Kalau Yana tak nak tolong, pak cik google boleh tolong aku. Err... wajib ke aku tengok? Ustaz kata berdosa tengok tapi... Ah, apa aku nak buat ni? Lagi tiga hari saja!
Tiba-tiba handset aku berbunyi. Lantas aku mencapai handset yang diletak tidak jauh dari katil aku. Nama Syazwan tertera. Eh, dia bagi aku mesej? Tak pernah-pernah dia mesej aku. Takkan... dia nak kata dia rindukan aku? Aku sudah tersengih-sengih. Tanpa berlengah lagi aku segera membuka mesej itu.
Tiba-tiba blank. Eh, kenapa? Dia hantar virus ke? Beberapa minit kemudian, muncul satu video. Ya Allah. Aku menutup mulut. Aku lihat aku tengah tidur. Ini waktu aku tertidur di butik pengantin siang tadi. Arghh... dia rakam! Macam-mana nak padam? Ya, Allah. Buruk gila aku. Err... aku tak buat sesuatu yang memalukan bukan?
“Spaghetti. Chicken cop. Nasi lemak...” aku sendiri dengar aku meracau-racau menyebut beberapa lagi makanan yang aku tak dapat makan sepanjang beberapa bulan ini. Semuanya kerana aku perlu diet untuk menyarung baju kahwin nanti. Ah, tapi tak sangka pula aku boleh mengigau sampai begitu sekali.
Arghh... mana aku nak letak muka ni? Video itu masih berjalan. Entah apa lagi yang aku buat? Kemudian, aku lihat, aku menggigit bantal yang aku peluk itu. Ya Allah, aku tak sanggup tengok lagi. Itu belum lagi dia fokus pada air liur basi yang mengalir.
Dayah, apa yang kau dah buat ni? Arghh... rasa macam nak menangis saja. Kenapa? Kenapa aku suka buat perkara pelik depan dia?
Tiba-tiba handset aku berbunyi lagi. Ada satu mesej masuk. Aku segera tengok, nama Syazwan juga kelihatan. Ada video lagi ke? Takut-takut juga aku nak buka tengok.
Malam ni tidur awal sikit. Nanti jangan pula tertidur masa akad nikah. Apa pun cuba kawal sikit air liur kau tu... jangan bagi nampak sangat. Akhir kata, selamat malam, tuan puteri. - Syazwan.
Tergetar-getar aku baca mesej itu. Tetiba aku rasa muka aku panas. Apa semua ni? Kenapa semua ni terjadi pada aku? Kenapa mesti depan bakal suami aku? Argghh... aku tak nak kahwin. Aku tak sanggup berhadapan dengan dia lagi dah!


Comments

  1. Kih3.. operasi bls membalas..

    ReplyDelete
  2. Ya ampun. .. lawak2. Awat lah jd cam tu

    ReplyDelete
  3. Hahhaa.. teruk betul dayah tido.. kekkeke

    ReplyDelete
  4. Hahhaha...speechless...giler lawak...

    ReplyDelete
  5. best..tp kecewa bab solat tu..hrp penulis tdk mencacatkan watak..sori ya

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 14]

Tips no. #6 Dia bekerja semasa honeymoon? Ganggu dia dengan gambar-gambar percutian menarik. Klik. Gambar selfie pertama bersama burung helang gergasi. Aku buka WhatsApp dan terus send padanya. Ini misi yang paling menakutkan. Kalau tersilap langkah memang teruk aku kena marah dengan suami Workaholic itu tapi demi masa depan dan kebahagiaan kami misi mesti diteruskan! Walau apa pun yang terjadi aku reda. Balik ni kalau kena marah, aku reda. Aku tunggu seketika. Tak ada respond. Mmm… mungkin dia tengah serius sangat bekerja. Okey, tak mengapa. Lambat-laun dia akan tengok mesej itu juga. Hari ni, aku akan hantar gambar banyak-banyak kepadanya. Manalah tahu dia tergoda tengok percutian aku dan sanggup tinggalkan kerja-kerjanya seketika… Oh, sweetnya! “ Hah, apa yang tersenyum seorang diri tu?” sapaan Wani yang tiba-tiba itu mengejutkan aku. Mujur tidak terpelanting handset aku.