Skip to main content

LELAKI PALING BAHAYA [PART 7]

“Tali leher?”

“Irfan tu tukang masak je, dia nak pakai tali leher nak buat apa? Nak masak sambil pakai baju kemeja dan bertali leher?” Ujar Nora yang ada benarnya.

“Jam tangan?”


“Gila apa. Dia cuma bayar bil perubatan kau je, takkan la kau nak belikan dia jam tangan,” balas Nora lagi.

“Hah, pisau! Orang yang suka memasak memang suka kumpul koleksi pisau,” cadang Ayuni lagi.

“Mak aku pernah cakap, jangan hadiahkan benda tajam pada orang. Tak elok,” Nora bantah lagi.

“Habis tu... Apa lagi yang aku nak hadiahkan kepada dia?” Buntu Ayuni dibuatnya. Sejak dari semalam lagi dia terfikir mahu menghadiahkan Irfan sesuatu kerana menghulurkan bantuan membawanya ke hospital.

“Entahlah...” Nora menggaru kepala. Sejak tadi pun dia cuba mencari idea tapi semua cadangan tak sesuai. “Hah, apa kata kalau kau guna je cara lama.”

“Apa?”

“Kau masak la apa-apa dan bagi Irfan. Macam tradisi hidup berjiran,” cadang Nora.

“Itu kerja gila namanya!” Ayuni tak setuju.

“Gila apanya?”

“Gila la. Irfan tu kerjanya tukang masak. Dia masak sedap pula tu daripada aku. Tak ke gila namanya kalau aku hulur masakan aku kepada dia. Dah tentu dia campak masakan aku dalam tong sampah!”

“Aku tak rasa dia kejam macam tu. Paling kurang pun dia bagi kat kucing kut...” Nora ketawa terbahak-bahak.

“Hina aku la tu. Aku tahulah aku tak reti masak...” Ayuni menarik muncung.

“Alahai, merajuk pula dia...”

“Cepatlah fikir... Apa lagi yang sesuai nak hadiahkan pada dia?” Ayuni terus mendesak.

“Entahlah. Susah sikit nak bagi hadiah pada lelaki lagi-lagi si Irfan tu sebab kita tak tahu apa yang dia suka. Yang kita tahu, dia tahu memasak je.”

“Kalau aku pulangkan saja duit sebagai ganti, okey tak?” Cadang Ayuni lagi.

“Aku tak yakin dia akan terima...”

“Habis tu? Apa lagi?”

“Tak payah fikir lagi la. Esok kau teman aku pergi pasar raya.”

“Nak buat apa?”

“Stok makanan kita dah nak habis dah.”

“Oh...”

“Sambil tu, kau boleh cari apa yang dia kat sana untuk dijadikan hadiah.”

“Betul juga!” Kata Ayuni sambil berfikir barangan apa yang sesuai dijadikan hadiah. 

Kalau Irfan tu macam Rasydan, senang saja dia fikirkan hadiah. Belikan tali leher atau baju kemeja! Kalau nak yang mahal, belikan jam tangan.

Habis. Settle!

Tapi Irfan bukan macam Rasydan. Nama pun kerja tukang masak, bukan duduk dalam ofis. Yang dia tahu, kegilaan orang yang suka memasak ni adalah pisau tapi macam Nora kata tadi, tak elok hadiahkan orang dengan benda tajam.

“Hah! Aku ada satu idea!” kata Ayuni yang tiba-tiba terfikir sesuatu.

“Apa?”

“Macam mana kalau aku hadiahkan dia buah-buahan.”

“Mmm... Bagus juga tu!”

“Okey, esok jom kita pergi buah untuk Irfan!”



*****



“Letak balik,” arah Nora.

“Alaaaa...”

“Letak balik, Cik Ayuni...”

“Tapi... Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Letak balik sayur-sayur ni,” tegas Nora yang sudah bercekak pinggang.

“Boleh laaa... Segar-segar ni.”

“Aku tahu sayur tu segar dan sedap tapi kau jangan lupa dalam peti ais kita tu ada banyak sayur-sayuran lagi! Yang kau beli minggu lepas pun tak terusik lagi. Makan dulu sayur dalam peti ais kita tu, bila dah habis baru kau boleh beli lain.”

“Satu saja?” Pujuk Ayuni.

“No."

“Alaa...”

“Kalau kau beli jugak, aku tak nak masak sayur untuk kau lagi!” Ugut Nora.

Cepat-cepat Ayuni letak kembali sayur-sayuran yang dia ambil. Bahaya betul ugutan Nora. Kalau kawannya itu tak nak memasak untuknya, kepada siapa lagi dia nak minta bantuan. Lagipun dia tak suka memasak. Dia hanya suka makan!

“Pergi beli buah.”

“Buah?”

“Bukan ke kau kata nak belikan untuk Irfan?”

“Oh ya... Buah untuk Irfan,” Ayuni tersengih-sengih sebelum berlalu pergi ke bahagian buah manakala Nora pergi ke bahagian barangan basah.

Tanpa mereka sedari, Irfan juga berada tidak jauh dari situ, memerhati Ayuni dari jauh. Dia tersenyum sendirian melihat gelagat Ayuni. Hari ini dia tahu, apa yang ditekannya selama ini memang betul. Ayuni memang suka makan sayur.

Padanlah Ayuni kerap memesan pelbagai masakan berasaskan sayur ketika mengunjungi restorannya. Ini pertama kali dia jumpa orang yang hantu sayur macam Ayuni.

Tanpa berlengah lagi, dia segera mengambil semua sayur-sayuran yang diletakkan oleh Ayuni tadi dan diletakkan ke dalam troli. Selepas itu, dia pun pergi ke bahagian buah-buahan. Dia sengaja berdiri hampir dengan Ayuni yang sedang memilih buah epal.

Bagaimanapun kehadirannya tak disedari oleh Ayuni. Khusyuk sungguh memilih buah. Dia pun berpura-pura memilih buah. Sengaja dia tak mahu menegur Ayuni. Baginya, belum tiba masanya lagi.

Lagipun dia belum puas lagi melihat Ayuni dari jauh. Tambahan pula, dia bukan jenis mat romeo yang suka mengayat. Orang jenis macamnya terus ajak kahwin je. Nanti ada pula yang dapat lemah jantung di sini pula. Macam pesan adiknya, buat perlahan-lahan.

Ayuni pula masih sibuk memilih buah. Sambil memilih sambil itu dia memikirkan buah apa yang paling Irfan suka. Alangkah bagusnya kalau dia tahu buah kegemaran Irfan. Pasti senang kerjanya. Terus beli tanpa ragu-ragu.

Opocot!

Ayuni terkejut. Dia dongak saja, dia terpandang Irfan kini di sebelahnya sedang memilih buah. Tak sangka sungguh dia boleh terserempak dengan Irfan di situ. Selama dia membeli-belah di pasar raya itu, belum pernah lagi dia nampak atau terserempak dengan Irfan di situ.

Inikah yang dinamakan jodoh?

Ceh, jangan berangan la Cik Ayuni oiii!

Irfan masih memilih buah dan seakan tak menyedari dia berada di situ. 

Bagus! Ini menunjukkan Irfan makan buah epal! Eh, alang-alang dia ada dekat sini, baik aku bagi buah ni sekarang. Senang sikit kerja aku. Tak payah terserempak lagi dengannya!

Ayuni nekad. Dia pantas memilih buah epal hijau itu. Lebih kurang 10 biji dia kumpul dan masuk ke dalam plastik.

“Awak...” panggil Ayuni teragak-agak. Suara pun macam nak tak nak keluar je. Suara pun tahu malu.

Dengan sekali panggil, Irfan memandangnya. Pandangan mata Irfan buat jantung Ayuni berdegup dengan pantas. Seram sejuk tubuhnya. Takut pula kalau-kalau dia boleh demam mengejut seperti hari itu.

“Err... Awak kenal saya lagi?” Tanya Ayuni.

Irfan diam dan terus merenungnya.

Ayuni pula semakin menggelabah. Apahal pulak dengan dia ni? Asyik renung orang je. Jangan-jangan dia ada masalah ingatan yang kritikal. Dia dah lupa siapa aku dan dia cuba ingat. Tapi hari tu dia ada sebut nama aku. Dia masih ingat kut...

“Kalau awak dah lupa... Tak apalah. Saya Ayuni, yang duduk di rumah awak tu...” Tambah Ayuni cuba ingatkan Irfan.

Irfan nampak hairan. Kemudian baru Ayuni tersedar!

“Eh, bukan! Maksud saya, yang duduk di sebelah rumah awak tu dan hari tu awak ada tolong tumpangkan saya ke hospital,” kata Ayuni tersengih-sengih. Gemuruh punya pasal. Kan dah malukan diri sendiri.

Kali ini Irfan mengangguk.

Yes, dia kenal!

Dan Irfan terus merenung. Buat Ayuni semakin tak selesa. Entah apa pula perkara yang memalukan yang dia akan buat nanti. Lebih baik bagi epal itu dan blah cepat-cepat!

“Nah, saya belanja sebab awak dah tolong saya tempoh hari,” Ayuni menghulurkan plastik yang penuh dengan buah epal yang baru dipilihnya tadi.

Plastik itu hanya dipandang Irfan. Kemudian dia memandang Ayuni kembali.

“Ambillah. Saya tak suka terhutang budi dengan sesiapa,” desak Ayuni dalam kelembutan.

Akhirnya Irfan mengambil pemberian Ayuni itu. Bila buah itu bertukar tangan, Ayuni segera meminta diri dan berlalu dari situ. Sepantas kilat. Kalau dia berdiri lama di situ, dia takut jantungnya tidak dapat bertahan lama.

Irfan tersenyum lucu memandang ke Ayuni yang laju melarikan diri. Kemudian, dia memandang plastik yang penuh dengan buah epal hijau. Baru hari ini dia tahu, betapa comelnya epal hijau ini.

Ayuni segera berlalu mendapatkan Nora yang beratur di kaunter bayaran.

“Dah?” Tanya Nora.

Ayuni mengangguk sambil tersengih lebar. Nora pasti takkan percaya dengan siapa yang dia jumpa tadi!

“Kalau dah, mana buah yang kau nak beli untuk Irfan?” Tanya Nora. Pelik betul dia lihat Ayuni berlenggang kangkung. Satu biji buah pun dia tak nampak Ayuni bawa.

“Aku dah bagi kat Irfan tadi,” jawab Ayuni.

“Hah?” Nora terkejut.

“Tadi, masa aku tengah pilih buah, aku terserempak dengan Irfan. Jadi, alang-alang dia ada kat sana, aku bagi awal-awal. Senang sikit kerja aku…”

Nora nampak terkejut.

“Ayuni…”

“Apa? Aku tak beranganlah. Dia memang ada kat situ,” tambah Ayuni.

“Ayuni, kau sedar tak apa yang kau dah buat?”

“Apa?”

“Macam mana kau boleh bagi kat dia sedangkan kau belum bayar buah tu lagi!”

Ayuni terdiam. Dahinya ditepuk kuat. Macam manalah dia boleh terlupa. Tidak jauh dari situ, dia melihat Irfan sedang berada di kaunter bayaran. Dan dia lihat sendiri dengan jelas, jurujual itu sedang scan harga bagi plastik yang penuh dengan buah yang dia berikan kepada Irfan tadi.

“Apa aku dah buat? Kenapa scene macam ni terjadi pada aku!” Ayuni panik.

“Ayuni oh Ayuni… mana pergi kewarasan kau selama ni? Orang lain kalau boleh nak balas budi, kau pula lagi menambah hutang.” Nora hanya mampu menggeleng.

Kalut sangat!

“Bukan salah aku. Irfan tu yang handsome sangat!”

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 14]

Tips no. #6 Dia bekerja semasa honeymoon? Ganggu dia dengan gambar-gambar percutian menarik. Klik. Gambar selfie pertama bersama burung helang gergasi. Aku buka WhatsApp dan terus send padanya. Ini misi yang paling menakutkan. Kalau tersilap langkah memang teruk aku kena marah dengan suami Workaholic itu tapi demi masa depan dan kebahagiaan kami misi mesti diteruskan! Walau apa pun yang terjadi aku reda. Balik ni kalau kena marah, aku reda. Aku tunggu seketika. Tak ada respond. Mmm… mungkin dia tengah serius sangat bekerja. Okey, tak mengapa. Lambat-laun dia akan tengok mesej itu juga. Hari ni, aku akan hantar gambar banyak-banyak kepadanya. Manalah tahu dia tergoda tengok percutian aku dan sanggup tinggalkan kerja-kerjanya seketika… Oh, sweetnya! “ Hah, apa yang tersenyum seorang diri tu?” sapaan Wani yang tiba-tiba itu mengejutkan aku. Mujur tidak terpelanting handset aku.