Skip to main content

LELAKI PALING BAHAYA : PART 6

“Ada ke patut dia kata adik macam lelaki. Mata dia ada masalah kut. Kena pakai kanta pembesar rasanya. Adik pergi kerja hari-hari pakai skirt labuh tau. Ada ke lelaki pergi kerja pakai skirt? Mata dia letak mana agaknya sampai cakap adik ni lelaki...” kata Ayuni meluahkan perasaan marah kepada abangnya di dalam telefon.

Abangnya telefon tepat pada masanya. Dapatlah dia meluahkan rasa geram di hati kepada abangnya. Nak tak nak abangnya terpaksa juga melayan.

“Alasan je tu. Orang lelaki ni bila dah tak suka lagi, macam-macam alasan diberi.”


“Dia kata lagi, adik buat dia malu.”

“Pasal apa?”

“Pasal adik pandai baiki kereta la. Hari tu adik pernah tukar tayar kereta dia. Dia memang angin lepas tu. Rupa-rupanya dia rasa tercabar bila adik tahu tukar tayar kereta sedangkan dia tak tahu.”

“Laa... pasal tu ke? Bukan semua lelaki pandai pasal kereta. Kawan abang tu, ada juga yang tak reti pam tayar. Rilek je buat muka bodoh jumpa abang suruh pamkan tayar kereta dia. Kalau tak tahu tu, tak payah malu. Buat muka bodoh je.”

“Rasydan tu ego. Buat apa pula dia malu kalau dia tak reti tukar tayar kereta? Adik reti pun sebab arwah ayah dulu buka bengkel kereta. Tentulah tahu sikit-sikit pasal kereta ni. Itu kelebihan adik. Kenapa pula dia nak malu!”

“Biasalah tu. Lelaki mana boleh tengok awek dia lebih handal daripada dia. Tak apalah. Nanti, kalau ada orang datang meminang adik, abang ajar dia tukar tayar kereta. Kalau tak lepas tukar tayar kereta, abang reject awal-awal!”

“Ke situ pula abang ni…” Ayuni tergelak. Mujurlah dia ada seorang lagi ahli keluarga yang tinggal. Dapat jugalah dia berkongsi masalah.

Tiba-tiba handsetnya berbunyi. Ayuni melihat handsetnya.

“Abang, bateri dah nak habis. Nanti adik call lagi.”

“Okey, take care. Nanti kalau senang datanglah rumah dan jangan menangis tau.”

“Ceh, buat apa adik nak menangis disebabkan lelaki tak guna tu. Buang masa saja!”

“Bagus. Ini baru adik abang!”

Ayuni tersenyum bangga selepas menamatkan perbualan. Memang! Sedikit sebanyak dia memang terpengaruh dengan perangai abangnya. Mungkin sebab dia paling rapat dengan abangnya sejak lahir lagi.

Sebenarnya dia tak pernah kenal sangat dengan ibunya. Pada usianya dua tahun, ibunya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Memandangkan ayahnya sibuk dengan bengkel kereta, dia dijaga oleh abangnya. Bila membesar dengan dua orang lelaki dalam keluarganya, secara tak langsung dia dididik seperti lelaki.

Ayuni mengeluh panjang. Mungkin apa yang Rasydan kata tadi memang benar. Gayanya, perangainya serupa macam lelaki. Sebab itulah dia tak mahu menolong abangnya di bengkel. Sebab itu jugalah dia mengambil keputusan untuk bekerja di hotel sejak tamat tingkatan 4. Dia mahu lari daripada kehidupan lamanya tapi nampaknya dia telah gagal.

Ting!

Bunyi lif kedengaran. Pintu lif pun terbuka. Ayuni segera masuk ke dalam dan menekan nombor 12 untuk rumah sewanya. Hampir lima minit kemudian, dia tiba di tingkat 12. Lalu dia pun melangkah laju ke rumah sewanya.

Sampai saja di hadapan rumah sewanya, dia melihat pintu jiran sebelahnya. Pintu rumah Irfan masih tertutup rapat seperti hari-hari yang sebelumnya. Walaupun Irfan tinggal bersebelahan dengan rumahnya tapi nak jumpa Irfan pun payah.

Mana tidaknya, dia pergi kerja pukul 7.00 pagi dan balik rumah pada pukul 6.30 petang dan kadangkala lambat. Irfan pula bukan kerja pejabat yang pergi kerja awal pagi dan balik lewat petang. Lagipun restoran Irfan akan buka pada pukul 6.00 petang. Sudah tentu Irfan sudah berada di restoran sekarang.

Lainlah dengan Nora yang sudah banyak kali terserempak dengan Irfan. Kadangkala jumpa di luar rumah, di dalam lif atau di tempat letak kereta. Kadangkala dia rasa Nora begitu bertuah. Tapi yang peliknya, Nora tak anggap begitu.. Semuanya bermula dengan satu kejadian...

“Bertuah kau kata? Mula-mula aku memang rasa bertuah tapi lama-lama aku rasa menyampah! Dia tu... Sombong gila! Aku senyum, dia langsung tak balas. Apa salahnya kalau dia senyum balik. Aku bukan nak mengorat dia pun. Aku dah ada boyfriend okey. Tak ada makna aku nak pergi ngorat dia kalau dia senyum balik,” kata Nora dengan panas hati.

Ayuni pun percaya bulat-bulat. Sejak itu dia ada rasa takut nak berhadapan dengan Irfan. Ketika sedang geledah begnya untuk mencari kunci rumah, ketika itulah Ayuni terdengar pintu jiran barunya itu dibuka. Bila dia melihat kelibat Irfan hendak keluar, bertambah menggelabah dia mencari kunci dalam begnya.

Cepat, cepat! Jangan biarkan diri terserempak dengan Irfan!

Tapi bila sudah dapat kunci, Irfan pun dilihat keluar dari rumah. Automatik, Ayuni memandang Irfan. Pada saat itu, dia tidak tahu bagaimana hendak lagi dan macam mana hendak sembunyikan diri.

Dia melihat Irfan mengunci pintu…

Kemudian, mengunci pintu grill…

Kemudian, menyimpan anak kunci dalam kocek seluar…

dan, lelaki itu memandangnya.

Ayuni masih kaget. Badannya jadi kaku dan langsung tidak berupaya hendak bergerak. Ketika mata bertentang mata, Ayuni tidak beri sebarang reaksi. Dia ingin senyum tapi takut pula jadi seperti Nora tempoh hari. Kejadian itu buat Nora rasa menyampah dan sakit hati.

Jadi, jangan senyum! Nanti, tak adalah menyampah dan sakit hati!

Dan tiba-tiba bibir lelaki itu dilihat mengukir senyum.

Dup…dup…dup…POM!

Ketika dia rasa jantungnya seakan sudah meletup, kelibat Irfan sudah hilang di matanya. Bagaikan mayat hidup semula, Ayuni membuka pintu rumahnya. Selepas menutup dan mengunci semula pintu, dia berlalu masuk ke dalam bilik.

“Hati aku… jantung aku… dua-dua dah pitam… hanya dengan satu senyuman,” ujarnya terus terbaring lemah di atas katil.



*****



Bangun pagi, tak seperti pagi-pagi yang lain. Biasanya waktu begini dia sudah pun bersiap hendak ke tempat kerja tapi dia masih lagi terbaring di atas katil sambil matanya berkelip-kelip memandang ke siling. Dia pun tidak percaya dengan apa yang terjadi pada dirinya sendiri.

Demam. Dia demam hanya disebabkan senyuman Irfan!

“Huh, kau demam sebab Irfan senyum pada kau?” Nora masih tak percaya. 

Dari semalam lagi Ayuni ada beritahu tentang senyuman Irfan itu kepada Nora. Nora bukan saja tak percaya malah menganggapnya sedang berangan-angan lagi.

“Kau tak faham. Dia memang senyum pada aku dan ini kali pertama aku tengok dia senyum. Senyuman dia memang tak ada tandingan. Lee Min Ho pun kalah,” jawab Ayuni mengambil kain basah yang diberi oleh Nora dan diletak di atas dahinya.

“Tak faham betul aku. Macam mana dia boleh senyum pada kau tapi tak hiraukan aku? Muka ketat je pandang aku. Sebab tu aku sukar nak percaya kau beritahu dia senyum pada kau semalam. Apa kau dah buat? Ilmu apa yang kau guna?” Tanya Nora tak puas hati.

“Terpulanglah sama ada kau nak percaya atau tidak. Yang penting aku nampak dia senyum. Dia betul-betul senyum dan senyuman dia...” Ayuni tersengih sendirian. Biarpun sebab-sebab Irfan senyum padanya masih lagi misteri tapi sekurang-kurangnya dia mengalami kenangan yang begitu indah!

“Bahaya betul aku tengok kau sejak putus tunang ni...”

“Aku rasa bahagia bila dah putus tunang ni. Jadi, bila Irfan senyum pada aku, tak adalah aku rasa bersalah. Kau agak-agak, kenapa dia senyum? Dia sukakan aku? Aku rasa perasaan suka boleh bertukar jadi sayang ni. Lebih-lebih lagi bila dia senyum, jantung dan hati aku terus pitam masa tu juga!”

“Jantung dengan hati mana boleh pitam. Sah, kau ni dah kronik!”

“Aku kronik kerana dia juga…”

“Itulah padahnya kalau asyik berangan saja! Lepas ni teruslah angan-angan. Suruh si Irfan tu hantar kau pergi klinik. Sebab dia juga kau jatuh demam sampai teruk macam ni,” kata Nora.

“Otak aku memang sentiasa berangan-angan...”



****



Baru dia hendak terlelap, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Ayuni segera membaca mesej. Baru sebentar tadi dia memberitahu bosnya bahawa dia tidak sihat dan tak dapat pergi kerja. Bila baca mesej yang diterima, terbeliak matanya dengan mesej Whatsapp itu.

Betul ke demam atau saja-saja nak simpati orang? Pagi ni saya datang kerja, ada banyak gosip baru terutama sekali apa selepas saya panggil awak masuk pejabat saya semalam. Saya tak kira, awak sihat atau tak, datang ofis juga!– Rasydan

“Aku tak ada masa la nak layan masalah hati dan perasaan kau,” ujar Ayuni geram. Lalu laju jari jemari ya menaip mesej.

Baik. Kalau awak nak saya pergi kerja, saya okey je. Tapi kalau saya pengsan dekat tempat kerja, mesej ni akan jadi bukti yang awak tak percayakan saya dan paksa saya datang kerja walaupun saya tengah sakit. – Ayuni.

Mesej send! Puas hati. Lepas ni taubat nak bercinta dengan orang satu ofis. Bila dah berpisah keadaan menjadi semakin rumit. Kan bagus kalau Rasydan tu bukan bosnya. Lepas berpisah pasti takkan berjumpa lagi.

Tak lama kemudian, Ayuni terima lagi mesej daripada Rasydan.

Ok. Kalau macam tu, pergi klinik. Dapatkan MC, tangkap gambar MC dan send pada saya secepat mungkin. Saya tunggu sampai pukul 10.00 pagi ni. Kalau saya tak terima sebelum 10.00 pagi, saya anggap awak ponteng. – Rasydan

“What the...” Terbeliak mata Ayuni membaca mesej itu. Rasanya boleh naik darah tinggi bagi sesiapa yang sedang sakit sepertinya tapi dapat mesej begini daripada bos. Ayuni melihat jam, baru pukul 8.45 pagi. Nak tak nak, memang dia terpaksa pergi ke klinik sekarang.

Tiba-tiba satu lagi mesej Rasydan hantar.

Faham tak? – Rasydan

“Arghhhh! Macam manalah aku boleh jatuh cinta dengan orang macam ni dulu?” Geram Ayuni dibuatnya.

“Baiklah bos.” Laju tangan Ayuni membalas mesej itu.

Dia cuba gagahkan diri untuk bangun. Bila bangun saja, dunianya seakan berpusing-pusing. Kepalanya berat. Dalam hati dia sempat lagi memarahi Rasydan. Selama ini dia tak pernah pun dilayan begini. Malah dia jarang ambil MC. Rasydan sendiri tahu perangainya yang suka gunakan cuti sendiri daripada ambil MC ketika sakit.

Hari ini, selepas putus pertunangan antara mereka, Rasydan mula tunjuk taring. Perangai Rasydan sebiji macam diktator.

“Tak mengapa. Hari ini hari kau, esok lusa hari aku. Walau apa pun aku tetap takkan mengalah!” Ayuni pun segera bersiap-siap untuk ke klinik.

Nasib baiklah apartmen yang dia sewa ini serba lengkap kemudahan dan perkhidmatan. Ada beberapa klinik yang beroperasi di sini. Jadi, dia memang tak ada masalah untuk ke sana. Cuma dia takut sampai dan tak sampai saja.

Kepalanya terasa berat sangat. Kadangkala dia rasa dunianya berputar. Tubuhnya pula terasa panas berbahang. Tapi disebabkan arahan daripada Rasydan dia cuba gagahkan jugadiri untuk ke klinik.

Sambil menunggu lif, Ayuni mengeluh panjang. Dia teringatkan waktu dia masih menjadi tunangan Rasydan. Kalau dia demam teruk begini, pasti Rasydan akan datang membawanya ke klinik. Rasydan yang dahulunya tak ubah seperti hero, kini berubah watak umpama musuhnya pula.

Tak sangka sungguh!

Tiba-tiba datang seorang lelaki berdiri di sebelahnya menunggu lif. Ayuni berpaling dan mendongak melihat orang di sebelahnya. Dia terkejut apabila mendapati lelaki di sebelahnya ialah Irfan. Apa lagi menggelabah Ayuni dibuatnya.

Apa hal dah jadi dengan dunia ni? Kenapalah waktu-waktu begini Irfan boleh muncul di sebelah aku? Dan hanya kami berdua tunggu lif? Ini ke yang dikatakan keburukan bila asyik berangan?

Ayuni ingin balik ke rumah dan pura-pura seperti tertinggal sesuatu. Tapi belum sempat dia hendak berbuat demikian, pintu lif sudah terbuka dan automatik kakinya melangkah masuk padahal dia sudah nekad hendak melarikan diri.

Mula-mula, hanya mereka berdua saja di dalam lif. Buat Ayuni berasa seram sejuk. Makin menjadi-jadi demamnya. Hampir pitam pun ada juga. Tapi selepas beberapa tingkat, sedikit demi sedikit lif itu dipenuhi orang. Dia berasa lega sikit.

Cuma ada satu yang dia tak selesa...

Ya Allah, siapalah yang pakai minyak wangi kuat sangat ni?

Ayuni terpaksa tutup hidung. Tak tahulah salah minyak wangi atau salah diri sendiri yang demam. Bau minyak wangi itu buat dia rasa hendak muntah dan pitam di situ juga. Tapi mujurlah dia akhirnya sampai di ground floor.

Sebaik pintu lif terbuka, dia cepat-cepat keluar. Hirup udara segar, barulah dia rasa selesa sikit. Ayuni pandang sekeliling. Dia lega apabila tiada kelibat Irfan di lobi. Mungkin Irfan masih di dalam lif tadi untuk ke basement. Tanpa berlengah lagi Ayuni segera mengatur langkah.

Baru berjalan sejauh 10 meter, tubuhnya bagai hilang tenaga. Nasib baik ada bus stop tidak jauh dari tempat tinggalnya. Ayuni melihat jam. Sudah pukul 9.00 pagi. Dia hanya ada masa satu jam untuk sempurnakan misinya. Serupa macam main PS4 pula.

Dia perlu berjalan lebih kurang 100 meter lagi untuk sampai ke klinik. Nampak macam dekat tapi dengan tenaga yang ada sekarang, dia sendiri tak tahu sama ada dia terdaya untuk sampai ke sana atau tidak.

Rasydan sungguh kejam! Hatinya menyumpah-nyampah Rasydan ketika ini. Tak cukup sakitkan hatinya, kini nak menderanya pula.

Sebuah kereta putih berhenti di hadapan bus stop. Pada mulanya Ayuni tak ambil peduli dengan kehadiran kereta itu tapi bila tengok Irfan keluar daripada kereta itu, dia tak senang duduk. Penyakit seram sejuknya menyerbu datang serta-merta.

“Masuk,” kata Irfan. Ayuni terkejut apabila lelaki itu membuka pintu kereta di sebelah tempat duduk pemandu.

“Hah?” Ayuni memandang sekeliling. Hanya dia berada di situ. Tiada sesiapa yang kelihatan di sekitarnya.

“Saya?” tanya Ayuni hairan.

“Biar saya hantar awak ke klinik,” kata Irfan.

Ayuni sekali lagi terkejut.

Klinik? Mana Irfan tahu aku nak pergi klinik? Siapa yang beritahu? Irfan tahu aku demam? Mustahil. Ini mesti mimpi ni. Kalau bukan mimpi, pasti aku berada dalam dunia komik. Macam drama Korea baru-baru ni bertajuk Two World.

Ayuni memandang sekeliling sekali lagi. Ada sesuatu yang tak kena. Ya. Dia yakin. Semuanya bermula sejak dari semalam lagi. Mula-mula Irfan senyum padanya dan kini Irfan ingin tumbangkannya ke klinik? Sejak bila pula angan-angan boleh jadi realiti ni?

“Cik Ayuni, awak okey?” tanya Irfan.

Ayuni. Cik Ayuni. Dia tahu nama aku? Macam mana dia tahu? Oh ya, tak mustahil dia tahu sebab aku pernah daftar sebagai tetamu VIP. Jadi, mestilah dia tahu nama aku, bukan? Tapi... Macam mana dia boleh tahu aku tetamu VIP dia? Bukan ke selama ni dia memasak di dapur. Mana pernah dia keluar untuk tengok muka pelanggan... Mustahil!

“Cik Ayuni...” Tegur Irfan lagi.

“Err... Saya okey,” jawab Ayuni walaupun masih keliru.

“Jom, saya hantar awak ke klinik,” ajaknya lagi.

“Err... Tak mengapa. Klinik depan tu saja. Saya boleh jalan kaki ke sana,” balas Ayuni cuba menolak pelawaan itu. Seram sungguh pelawaan Irfan. Lagi seram bila berdua naik kereta dengan Irfan.

“Awak nak masuk atau saya dukung awak?”

“Hah? Dukung saya?” Ayuni tergamam.

Huh, soalan... Boleh buat jantungnya pecah! Takkan lah demam-demam begini membuatkan dia berhalusinasi tahap tinggi seperti ini. Ini angan-angan tahap kritikal dah ni!

“Nampaknya awak nak saya dukung...” Irfan mula mengorak langkah ke arahnya.

“Eh tak! Tak nak! Okey, saya masuk...” Ayuni panik. Daripada kena dukung dengan lelaki bukan muhrim lebih baik dia masuk ke dalam kereta Irfan dengan rela hati. Lagipun dia tak mampu nak berjalan ke klinik.

Ini kalau Nora tahu ni... Gerenti dia kata aku berangan lagi!

“Jangan lupa pakai tali pinggang,” arah Irfan yang turut memakai tali pinggang.

Ayuni diam. Dia masih tak percaya dengan situasi sekarang. Belum pernah lagi dia berangan-angan nak naik kereta Irfan!

“Awak nak saya pakaikan tali pinggang untuk awak ke?” Tanya Irfan.

“Hah? Tak...” Ayuni segera memakai tali pinggang.

Akhirnya, kereta yang dipandu oleh Irfan mula bergerak. Semasa di dalam kereta, Ayuni hanya berdiam diri dan memandang ke depan. Langsung tak berani nak curi pandang Irfan. Sungguh tak sangka Irfan menghantarnya ke klinik. Dapat naik kereta Irfan lagi. Dapat duduk sebelah Irfan dan bau wangian Irfan membuatkan Ayuni berasa sungguh selesa....



****



Ayuni membuka mata. Entah kenapa dia rasa sangat letih. Sedar-sedar saja dia pelik melihat suasana sekeliling. Kalau tak silap, ini bukan biliknya.

“Ahhh…sedar pun kau…” sapa Munirah di sebelahnya.

“Aku dekat mana?” tanya Ayuni hairan.

“Hospital.”

“Hah?” Ayuni terkejut. Dia menggaru kepala. Dia tak tahu apa yang sudah berlaku sampai dia di masukkan ke hospital.

“Apa dah berlaku sebenarnya?” Tanya Ayuni.

“Kau tak ingat?”

Ayuni geleng kepala. Kalau dia ingat, tak adalah dia tanya soalan tu.

“Habis tu macam mana kau boleh sampai ke hospital?”

Ayuni menggaru kepala kemudian mengangkat bahu.

“Kau demam panas. Nora telefon aku pagi tadi. Dia kata dia risaukan kau dan minta aku datang tengok-tengok kan kau. Tapi bila aku sampai rumah kau tak ada. Bila aku telefon kau, jururawat yang jawab dan beritahu kau ada di hospital.”

Ayuni memandang sekeliling. Dia cuba ingat apa yang berlaku sebelum ini. Tapi Munirah terus menyapa dengan satu soalan.

“Aku dengar, kau demam sebab Irfan senyum pada kau semalam, betul ke?” Tanya Munirah sambil tersengih-sengih.

Irfan! Akhirnya, baru Ayuni sedar. Dia terserempak dengan Irfan di dalam lif. Kemudian, Irfan pelawanya naik kereta untuk menghantarnya ke klinik. Selepas itu, dia tak ingat apa-apa lagi. Sedar-sedar saja dia berada di hospital.

Persoalannya sekarang, benar atau tidak Irfan yang menghantarnya tadi? Sebab apa yang berlaku lebih kepada fantasi semata-mata tapi macam mana pula dia sampai ke hospital? Kenapa mesti hospital? Kenapa bukan ke klinik?

“Doktor kata kau boleh keluar bila kau dah sedar nanti,” kata Munirah.

Ayuni mengangguk.

“Kau nak keluar tak?” tanya Munirah.

“Mestilah nak. Aku demam je pun. Bukan sakit kronik,” laju Ayuni menjawab. Lagipun dia rasa seram tinggal di hospital.

“Oh ya, tadi Rasydan ada telefon kau. Aku jawab.”

Ayuni baru teringat. “Alamak, aku terlupa! Dia suruh aku send gambar MC sebelum pukul 10. Kalau tak, dia akan anggap aku ponteng!”

“Dia cakap macam tu?”

Ayuni mengangguk. Dia mengambil telefon bimbitnya. Sudah pukul 12.30 tengah hari! Lamanya dia tak sedarkan diri!

“Jangan risau. Aku dah marah dia tadi.”

“Hah?”

“Salah dia jugak. Belum sempat aku nak kata helo, dia dah marah-marah. Apa lagi, aku marahlah dia balik. Geram aku! Bila aku beritahu kau pengsan dan dimasukkan ke hospital, barulah dia slow sikit. Terkejut agaknya.”

“Dia ada kata apa-apa tak lepas tu?”

“Dia suruh kau mesej dia je bila kau dah sedar.”

Lega Ayuni mendengarnya. Hah, padan dengan muka Rasydan. Mana dia pernah main tipu-tipu bila hal melibatkan kesihatan. Kan dah kena sebiji!

“Okey, aku pergi uruskan bil dulu,” kata Munirah.

“Terima kasih. Sayang kau!”

Urusan keluar hospital tidak mengambil masa yang lama. Dalam beberapa minit saja, Munirah kembali dan beritahu dia sudah boleh keluar hospital. Walaupun saki baki demam masih ada lagi tapi Ayuni berasa penuh bertenaga berbanding pagi tadi.

Masuk saja dalam kereta, Munirah tiba-tiba bersuara.

“Aku ada satu soalan.”

“Apa?”

“Siapa yang hantar kau pergi hospital?”

Ayuni ketap bibir rapat-rapat. Dia tak tahu bagaimana nak jawab soalan itu. Lagipun dia tak pasti sama ada apa yang dialaminya tadi adalah angan-angan ataupun realiti. Boleh jadi ia hanyalah sebahagian daripada mimpi.

“Kenapa?” tanya Ayuni.

“Tadi masa aku nak bayar bil perubatan kau, orang yang jaga kaunter tu cakap suami kau dah bayarkan…”

“Hah? Suami?” Ayuni sendiri terkejut. Bila masa dia ada suami?

“Ayuni… bila masa kau kahwin ni? Kenapa aku tak tahu langsung yang kau dah kahwin?” Munirah tak puas hati.

Sudah! Jangan-jangan, Irfan tu real???

Comments

  1. Tak dapat tekan link to chapter 7 btw hai cik sakura, saya peminat tegar , love from Brunei

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 14]

Tips no. #6 Dia bekerja semasa honeymoon? Ganggu dia dengan gambar-gambar percutian menarik. Klik. Gambar selfie pertama bersama burung helang gergasi. Aku buka WhatsApp dan terus send padanya. Ini misi yang paling menakutkan. Kalau tersilap langkah memang teruk aku kena marah dengan suami Workaholic itu tapi demi masa depan dan kebahagiaan kami misi mesti diteruskan! Walau apa pun yang terjadi aku reda. Balik ni kalau kena marah, aku reda. Aku tunggu seketika. Tak ada respond. Mmm… mungkin dia tengah serius sangat bekerja. Okey, tak mengapa. Lambat-laun dia akan tengok mesej itu juga. Hari ni, aku akan hantar gambar banyak-banyak kepadanya. Manalah tahu dia tergoda tengok percutian aku dan sanggup tinggalkan kerja-kerjanya seketika… Oh, sweetnya! “ Hah, apa yang tersenyum seorang diri tu?” sapaan Wani yang tiba-tiba itu mengejutkan aku. Mujur tidak terpelanting handset aku.