SEDANG dia sibuk memilih pakaian yang hendak dibeli, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Seperti yang dijangka, pasti abangnya akan telefon. Baru saja semalam dia diberi kekuatan memberitahu abangnya tentang hubungannya dengan Rasydan sudah putus. Mereka berbincang sekejap memandangkan abangnya sibuk di surau ketika itu, jadi perbualan itu di sambung ke hari ini.
“Betul ni putus?” tanya Afiq kepada adiknya. .
“Betul. Putus. Tak ada apa-apa lagi. Menyampah dah,” jawab Ayuni.
Kemudian abangnya senyap. Berfikir barangkali. Ayuni mula rasa bersalah. Mungkin dia dah buat keputusan tanpa berbincang dengan abangnya dulu. Mungkin abangnya sedang menahan marah.
“Abang marah ke?” tanya Ayuni.
“Mmm... tapi beritahu dulu, siapa yang putuskan dulu?” tanya si abang.
“Adik,” perlahan-lahan dia menjawab. Kalau kena marah pun, dia reda saja.
“Betul?”
Ayuni angguk perlahan.
“Bagus! Abang tak jadi nak marah. Abang lagi suka! Ini barulah adik abang!”
Pulakkkk...
“Abang ni... macam nak sangat adik putus dengan dia je.”
“Memang pun!”
Ayuni terkejut. Laju sungguh abangnya menjawab. Jadi, selama ini abangnya tak pernah suka Rasydan? Tapi kenapa pula abangnya boleh terima Rasydan? Pelik!
“Selama ni abang pura-pura terima dia ke?”
“Bukan pura-pura. Mula-mula abang tak kisah asalkan adik sukakan dia. Abang tak nak masuk campur dalam hal kau orang berdua tapi bila dia dah dua kali minta tunda perkahwinan, abang dah mula tak percayakan dia. Dia lelaki, dia patut ada sifat tanggungjawab. Walaupun abang tengok dia lagi tua daripada adik abang tapi dia belum cukup matang untuk berkahwin. Dan abang tak nak tengok adik abang bermasalah bila sudah kahwin dengannya nanti. Ayuni buat keputusan yang betul putus dengannya.”
Ayuni berasa lega. Lega bila ada orang support keputusannya.
“Tapi, sebab apa adik nak putus?” tanya abangnya.
“Dia minta tunda lagi. Daripada tunda, lebih baik putus,” kata Ayuni. Rasanya tak perlu dia beritahu Rasydan curang dengannya.
“Mmm... baguslah tu. Lepas ni kalau ada lelaki cuba ngorat, beritahu dia supaya jumpa abang dulu. Biar abang nilai dia dulu.”
“Siapalah nakkan adik ni...” Ayuni mengeluh panjang. “Agaknya sampai ke tua adik takkan berkahwin kut...”
“Jangan fikir masalah tu. Enjoy zaman bujang ni dulu. Jodoh tu, bila dicari memang payah nak jumpa. Cuba jangan cari, mana tahu tiba-tiba terus menjelma depan mata.”
“Wah, bila abangku berfalsafah...”
“Abang berfalsafah untuk adik seorang. Adik tengah buat apa tu? Tengah menangis ke?”
“Tak mainlah menangis. Adik yang putuskan hubungan, takkanlah adik yang kena menangis.”
“Habis tu?”
“Tengah pilih baju baru. Selama ni asyik simpan duit nak kahwin. Bila dah tak jadi kahwin, inilah masanya melabur wang tu untuk kecantikan diri. Dah dekat dua tahun adik tak beli baju baru tau.”
“Bagus, cari yang seksi-seksi sikit. Mana tahu dapat pikat anak datuk.”
“Abang nak arwah ayah dan ibu dalam kubur tu terseksa ke? Lagipun dapat anak datuk pun bukan menjamin masa depan pun. Lainlah anak datuk tu pandai memasak.”
“Yalah. Nanti abang doakan semoga adikku ini dapat suami yang pandai memasak.”
Ayuni tersengih. Macam-macam!
****
KETIKA mendekati pintu rumahnya, Ayuni menyedari pintu rumah sebelah terbuka. Sempat juga dia menjeling pandang ketika melalui untuk ke rumahnya. Rumah yang sudah hampir tiga bulan kosong seperti akan berpenghuni. Tadi sempat dia lihat beberapa orang lelaki membawa masuk beberapa kotak.
Sah, ada orang akan pindah masuk. Dia akan dapat jiran baru!
Baru saja dia membuka pintu pagar, tiba-tiba pintu rumahnya terbuka luas. Terkejut Ayuni dibuatnya. Lagi terkejut apabila melihat Munirah berdiri di hadapan pintu dengan memegang pisau potong ayam.
“Ah, Munirah!” marahnya. Mujurlah dia tiada penyakit lemah jantung.
“Kenapa kau terkejut sangat?”
“Mestilah aku terkejut kalau kau tiba-tiba muncul depan aku dengan pegang pisau!” katanya sambil tunjuk pisau di tangan Munirah.
“Oppss... sorry. Aku tengah potong ayam tadi.”
“Kau buat apa tiba-tiba datang sini? Datang pun tak beritahu,” tanya Ayuni melangkah masuk ke dalam rumah sewanya. Sebenarnya rumah yang dia sewa itu adalah rumah Munirah. Memandangkan Munirah sudah berkahwin dan tinggal dengan suami, Munirah sewakan rumah itu kepadanya dan Nora.
“Saja. Tiba-tiba aku teringin nak masakkan untuk kau. Kau pergi mana?” tanya Munirah kembali ke dapur.
“Shopping. Beli baju baru. Dah dua tahun aku tak beli baju...” jawabnya.
“Patutlah.”
“Kenapa kau tiba-tiba nak masak untuk aku?” tanya Ayuni hairan. Dulu Munirah selalu memasak untuknya. Tapi itu dulu. Sebelum Munirah berkahwin. Selepas Munirah berkahwin, memang jarang sekali dia datang memasak di rumah.
Jangan-jangan...
“Nora beritahu kau?” teka Ayuni. Rasanya dia belum pernah beritahu Munirah lagi.
“Kau ni... hal penting macam ni pun masih nak sorok daripada aku,” Munirah akhirnya mengaku.
“Bukan tak nak beritahu tapi aku tak tahu macam mana nak beritahu. Memandangkan Nora dah beritahu, bagus juga. Tapi, takkan sebab kau tahu aku dah putus dengan Rasydan, kau datang memasak untuk aku...”
“Aku ingat kau masih bersedih. Tak ada apa-apa yang boleh gembirakan hidup kau selain orang memasak untuk kau,” jawab Munirah.
“Aku cuma putus tunang, kau tak payah risau sebab aku tak apa-apa,” kata Ayuni yang terkejut.
“Kalau betul tak ada apa-apa, kenapa sampai minta cuti sampai seminggu?”
“Cis, Nora ni memang tak boleh simpan rahsia betul. Hal tu pun nak beritahu,” rungut Ayuni.
“Dia risaukan kau. Aku pun risaukan kau. Rasydan tu kekasih pertama kau. Tunang pertama kau. Lagipun kau mana pernah ada pengalaman putus tunang. Itu yang kami takut.”
“Jangan risaulah. Aku yang putuskan pertunangan. Aku takkan buat perkara yang bodoh. Tengok, hari ni aku berjaya shopping dengan gembiranya.”
“Kalau macam tu, aku tak payah masaklah...”
“Eh mana boleh. Masaklah...” pujuk Ayuni.
“Yalah. Aku gurau je.”
“Terima kasih Munirah. Sayang kau sangat-sangat!” Ayuni tersengih.
“Oh ya, kau ada tampar dia tak?” Soalan Munirah memang mengejutkan.
“Tak.”
“Kenapa kau tak tampar dia macam dalam drama tu? Rugilah kau. Lepaskan dia begitu saja.”
“Siapa kata aku lepaskan dia begitu saja.”
“Habis tu? Kau nak buat apa?”
“Tak ada apa-apa. Aku cuma tak nak dia benci aku biarpun aku yang minta putus tunang.”
“Kau masih mengharap?”
“Taklah.”
“Habis tu?”
“Cuba kau fikir, kalau aku tampar dia dan malukan dia depan orang ramai, dia tentu akan benci aku. Dia tentu akan lebih bahagia bila aku putuskan pertunangan. Aku nak suatu hari dia sedar dan menyesal dengan tindakan dia. Lagipun dia bos aku. Kami kerja di bawah satu department. Tentulah aku tak nak timbulkan masalah antara kami.”
“Dengar kata perempuan perampas tu pun satu department dengan kau...”
“Yup. Budak baru masuk. Tak sampai setahun pun dia kerja situ. Sungguh aku tak sangka dia sanggup rampas Rasydan daripada aku. Aku pula percayakan dia walaupun kawan-kawan aku kat ofis tu banyak bagi warning suruh hati-hati dengan Dayana tu.”
“Bukan salah kau pun. Salah lelaki yang tak pandai jaga diri. Senang-senang je boleh jatuh cinta dengan orang lain. Tapi tak sangka la pulak Rasydan tu sanggup curang. Aku tengok dia tu okey. Serius aku terkejut.”
“Rasydan memang okey. Serius memang baik. Walaupun egonya tinggi macam langit tapi aku selesa dengannya. Aku pun tak sangka dia buat aku macam ni. Mungkin Dayana tu hebat sangat dalam memikat lelaki kut.”
“Kalau Rasydan nak kembali pada kau, kau terima tak?”
“Entahlah. Kalau aku cakap, lepas aku putus dengannya aku hilang satu beban, kau percaya tak? Aku rasa macam aku dah bebas. Aku tak peduli apa yang orang akan kata tentang aku. Aku dah tak nak fikir apa-apa lagi tentang Rasydan. Biarlah dia gembira dengan pilihannya.”
“Habis tu kenapa minta cuti sampai seminggu?”
“Sebab cuti aku banyak. Ada dalam 20 hari. Inilah masanya untuk aku berehat-rehat di rumah. Aku pun tak nak tengok muka Rasydan buat sementara ni. Lagi-lagi Dayana yang mula tunjuk taring di ofis.”
“Betul. Tenangkan diri dulu. Jangan fikir perkara yang dah terjadi. Fikir apa yang akan terjadi nanti. Aku harap kau kuat berdepan dengan mereka nanti.”
“Aku tak buat salah. Buat apa aku nak takutkan...”
Perbualan mereka tiba-tiba terganggu apabila Nora melangkah masuk dengan keadaan tergesa-gesa. Macam kena kejar dengan hantu lagaknya.
“Kau kenapa? Masuk tak bagi salam pun,” tanya Ayuni terkejut. Baru tadi dia terkejut dengan Munirah, kini Nora pula yang buat dia terkejut. Lepas ni entah apa yang yang akan buat dia terkejut lagi.
“Aku ada satu berita yang mengejutkan dan pasti kau orang takkan percaya!” kata Nora selepas minum air satu cawan.
“Kau nampak hantu tengah main congkak lagi?” teka Ayuni teringat cerita Nora yang pulang lewat malam melihat seorang budak main congkak di hujung koridor. Kisah budak main congkak memang kisah paling popular di blok ini.
“Cuba kau teka, siapa jiran baru sebelah kita?” tanya Nora penuh teruja.
“Yang penting, bukan Lee Min Ho,” jawab Munirah.
“Mmm... sebenarnya, sejak rumah sebelah ni kosong tiga bulan yang lalu, aku selalu berangan Irfan akan berpindah ke sebelah,” jawab Ayuni selamba.
“Ayuni... angan-angan kau dah jadi kenyataan...” kata Nora terkejut.
Ayuni terkesima. Irfan? Jiran barunya adalah Irfan?
“Irfan? Memang Irfan?” tanya Ayuni terkejut.
“100 peratus betul,” jawab Nora sambil bertepuk tangan.
“Wah... fantasi aku dah direalitikan?” Ayuni masih lagi tidak percaya. Tapi pelik. Kenapalah Irfan ni semakin lama semakin dekat? Jodohkah?
Ceh, berangan tak ingat dunia. Irfan tu mana kenal kau, wahai Cik Ayuni yang kuat berangan!
Comments
Post a Comment