“SAYA ada hal.” Itu jawapan Rasydan yang didengar di hujung telinganya. Jawapan yang sudah diagak.
“Hal apa? Penting sangat ke?” tanya Ayuni tak puas hati. Itu macam sengaja bagi alasan untuk mengelak. Dia sudah hafal sangat perangai Rasydan.
“Meeting,” jawab Rasydan pendek.
“Meeting?” Ayuni tidak percaya. Tapi dia cuba kawal diri. “Tapi kita dah janji nak pergi beli barang perkahwinan esok.”
“Tahu... tapi hal ni tak boleh nak elak,” tambah Rasydan tetap tak mahu pergi.
“Habis tu bila lagi?”
“Minggu depan.”
“Dari minggu lepas saya ajak tapi awak tunda ke minggu ni. Tapi sekali lagi awak nak tunda ke minggu depan? Lepas tu ke minggu lagi satu?” Ayuni geram. Kalau Rasydan ada di hadapannya, memang dia hadiahkan satu tumbukan.
“Ayuni, kita ada masa dalam lapan bulan lagi. Kenapa nak terburu-buru?” balas Rasydan.
“Saya bukan terburu-buru. Saya tak suka buat kerja last minit. Awak fikir lapan bulan tu lama lagi ke? Dengan perangai awak yang suka tunda-tunda, lapan bulan boleh berlalu dalam sekelip mata saja tau!”
“Okeylah. Saya janji. Minggu depan saya akan temankan awak pergi shopping.”
“Fine, teruslah berjanji. Macamlah saya akan percaya kali ni,” Ayuni segera menamatkan perbualan.
Naik menyampah sungguh dia dengan perangai Rasydan. Tidak cukup dengan tarikh pernikahan ditunda sebanyak dua kali, kini nak cari barang kahwin pun main tunda-tunda. Dia tidak faham apa masalah Rasydan. Nak kata Rasydan sibuk dengan kerja, amat mustahil kerana Rasydan adalah bosnya. Mereka bekerja di bawah satu department, jadi dia boleh tahu kesibukan Rasydan.
Meeting pada hari Sabtu? Itu memang biasa tapi setahunya pada waktu ini tiada event yang akan berlangsung pada waktu terdekat. Meeting apa pula? Bermacam-macam soalan yang dia fikir dan dia mula tidak sedap hati apabila memikirkan kemungkinan besar Rasydan ada perempuan lain.
“Ah, jangan fikir apa-apa lagi. Fikir positif!” Ayuni memberi amaran kepada dirinya sendiri.
Ya. Dia perlu fikir positif. Dia teringat pesan Kak Suri tempoh hari. Dugaan orang bertunang memang begini. Sentiasa berfikiran negatif boleh menyebabkan hal-hal yang tidak diingini berlaku. Dia perlu kuat menghadapinya.
Mungkin betul Rasydan ada meeting. Selama ini mana pernah dia tengok Rasydan layan perempuan lain dengan baik. Kebanyakan staf di department mereka adalah perempuan, semua pernah kena maki hamun Rasydan termasuklah Ayuni. Rasydan gila kerja.
“Tapi kenapa dia tak telefon balik?” Ayuni geram. Dia sengaja putuskan talian tadi, kononnya hendak merajuk tapi selepas beberapa minit Rasydan tidak menghubunginya semula.
“Atau aku yang tak reti merajuk...” Ayuni mula menyedari selama ini dia tidak pernah merajuk.
Ini baru kali pertama. Selama ini dia banyak tangani masalah dengan cara positif. Patutlah Rasydan tidak cuba menghubunginya semula. Rasydan pun tidak tahu dia sedang merajuk. Kalau Rasydan tahu pun gerenti lelaki itu akan pura-pura buat tidak tahu sebab dia sangat yakin Raysdan tidak reti memujuk.
Pendek kata, Rasydan bukan lelaki romantik!
“Apalah nasib aku...” Ayuni mengeluh panjang. Telefon bimbitnya ditinggalkan di atas meja tulis dan dia melangkah lemah ke katil. Tidur lebih baik daripada memikirkan betapa tak romantiknya seorang Rasydan.
*****
SABTU. Awal-awal pagi lagi Ayuni terima panggilan daripada Rasydan. Sangkanya Rasydan mahu minta maaf dan bersetuju teruskan rancangan mereka untuk pergi beli barang-barang persiapan perkahwinan tapi sangkaannya meleset sama sekali.
Rasydan dengan beraninya menyebut mahu menunda tarikh perkahwinan mereka untuk kali ketiga. Kali ketiga! Orang sabar pun boleh tiba-tiba bertukar jadi The Hulk bila terjadinya buat kali ketiga.
Apatah lagi Ayuni. Rasydan asyik minta maaf dan bla-bla-bla bagi alasan yang entah apa-apa. Ayuni tak mahu dengar lagi dan terus matikan perbualan. Cakap banyak pun tak guna. Buat sakit hati saja. Jadi hari ni dia pun ajak Nora keluar untuk tenangkan fikiran. Duduk rumah asyik buatnya terfikir masalahnya dengan Rasydan. Nasib baik Nora jenis yang senang diajak keluar.
“Kau kata nak ajak Rasydan keluar hari ni untuk beli barang-barang persiapan kahwin. Tapi kenapa pula kau ajak aku keluar?” tanya Nora hairan.
“Huh, jangan sebut namanya,” Ayuni mendengus marah.
“Bergaduh lagi? Tinggal lebih kurang lapan bulan lagi kau orang nak kahwin. Takkanlah masih bergaduh lagi?”
“Entahlah. Aku tak faham betul dengan dia. Kali ni dia mintak tunda lagi perkahwinan ni. Alasan sebab mak dia tak sihat,” jawab Ayuni cukup bengang bila mendengar alasan begitu.
Memang mak Rasydan tak beberapa sihat sejak kebelakangan ini. Dia selalu juga pergi melawat Puan Ramlah. Setiap kali berjumpa, setiap kali itulah wanita itu akan menyoal bila mereka hendak kahwin. Hasratnya hanya mahu tengok satu-satunya anak lelakinya kahwin. Itu saja. Tapi Rasydan selalu bagi alasan yang tak munasabah.
“Tunda lagi? Kalau tak silap dia dah dua kali tunda,” Nora terkejut.
“Itulah yang aku tak fahamnya. Susah betul nak kahwin dengan dia. Kalau dia tak cukup duit, aku boleh tolong. Tapi aku tak rasa duit masalahnya. Aku rasa macam dia dah tak sukakan aku. Kalau tak, mesti dia takkan bagi alasan yang entah apa-apa,” jawab Ayuni.
“Dahlah. Jangan fikir yang bukan-bukan, Mungkin dia fobia nak kahwin kut...”
“Fobia? Kenapa pula dia fobia? Aku ni jahat sangat ke sampai dia nak fobia?”
“Maksud aku dia fobia nak kahwin. Bukan dia fobia dengan kau. Macam seorang lelaki kat tempat kerja aku. Waktu dah nak dekat kahwin dia tiba-tiba sembunyikan diri. Tak nak kahwin. Fobia katanya.”
“Itu bukan fobia. Itu sengaja cari pasal,” Ayuni pula geram.
“Dan akhirnya baru-baru ni kami dapat tahu kenapa dia fobia...”
“Kenapa?”
“Dia gay.”
“What?” Ayuni terkejut. Lepas dengar cerita itu dia mula berfikir yang bukan-bukan. Macam mana kalau Rasydan gay? Oh tidak! Itu memang sesuatu yang dia tak boleh terima! Tapi ini dah kali ketiga Rasydan tunda perkahwinan mereka. Apa lagi alasan yang munasabah?
“Jangan-jangan Rasydan tu gay...”
“Kau ni! Positif sikit.”
“Habis tu, kenapa dia banyak kali tunda perkahwinan?”
“Dahlah. Jangan fikir yang bukan-bukan. Jom makan. Kau nak makan apa?” tanya Nora cuba mengubah topik.
“Apa-apa sajalah. Asalkan ada sayur dan salad,” jawab Ayuni kurang berselera nak makan.
“Kau dengan sayur memang tak boleh berpisah,” Nora menggeleng.
“Jangan mengumpat tekak aku. Nanti dia merajuk, kau jugak yang susah nanti.”
“Irfan.” Serta merta langkah Nora terhenti.
“Apa hal sebut nama Irfan ni?”
“Irfan di depan tu!” Nora menunjuk ke arah Irfan yang sedang ditarik oleh seorang gadis. “Siapa pula perempuan tu?”
“Teman wanita dia?” teka Ayuni sambil melihat Irfan ditarik secara paksa memasuki restoran Sushi King. Irfan nampak tak rela tapi terpaksa juga mengikuti gadis itu masuk.
“Ayuni...”
“Nora...”
“Jom siasat!” ajak Nora sambil memakai cermin mata hitam.
“Jom!” Ayuni sudah siap sedia dengan telefon bimbitnya. Hari ini dia mahu menangkap banyak gambar-gambar Irfan. Bukan senang nak ditakdirkan terserempak dengan Irfan. Jadi, jangan sia-siakan peluang yang ada!
Mereka berdua pun segera masuk ke dalam restoran Sushi King. Nasib baiklah tak ramai orang. Ada banyak tempat kosong dan mereka berdua sengaja pilih tempat sebaris dengan Irfan duduk.
“Agak-agak dia kenal kita tak?” tanya Nora.
“Mana kenal. Dia selalu dekat dapur, jarang jumpa pelanggan,” jawab Ayuni penuh yakin. Baru dia nak fokus untuk tangkap gambar Irfan secara curi-curi tiba-tiba Irfan pandangnya. Menggelupur Ayuni mengambil buku menu dan menyorokkan mukanya.
“Aduhai... baru nak tangkap dah kantoi!”
“Kau ni cepat sangat bertindak. Rileks la...” bisik Nora.
“Dia masih pandang lagi tak?”
Nora pun curi-curi pandang dan dia pun sama sekali menggelupur ambil buku menu dan sorok muka juga seperti Ayuni.
“Dia masih pandang la...” kata Nora.
“Adoi... macam mana ni? Takkan kita nak makan sambil sorok muka macam ni?” tanya Ayuni. Tak pasal-pasal dah memalukan diri sendiri. Depan tukang masak idaman pula tu!
“Mmm... apa kata kita buat-buat tak kenal?” cadang Nora.
“Betul. Kita buat-buat tak kenal dia,” sokong Ayuni.
“Okey... kita kira sampai tiga...”
Ayuni angguk. “Satu.”
“Dua...” Nora menyambung.
“Tiga!” Masing-masing mengangkat kepala daripada menyorok di sebalik buku menu. Seperti yang dirancang masing-masing berbuat seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tapi Ayuni sempat jeling pandang Irfan.
Irfan masih pandang ke mereka! Dia dan Nora pun pura-pura selak buku menu.
“Agak-agak dia kenal kita la...” kata Nora.
“Macam mana pula dia boleh kenal kita? Punyalah ramai peminat dia pergi makan kat restoran dia tu...” Ayuni tak puas hati. Lepas ni sukarlah dia nak intai Irfan dari jauh.
“Kau kan dapat diskaun VIP. Mestilah dia kenal kut...”
“Takkanlah aku seorang saja yang dapat diskaun tu? Tak logik la...”
“Dia dah tak pandang dah...” kata Nora sempat menjeling.
“Huh...” Ayuni mengeluh lega. Baru kena pandang oleh Irfan. Ini pun dah macam nak tercabut jantungnya. Entah apa pula nasibnya kalau kena tegur oleh Irfan. Seram!
“Aku rasa perempuan tu adik dia,” kata Nora sebaik sahaja mereka habis buat pesanan. Seperti biasa Ayuni akan pilih Mini Chicken Salad. Itu adalah menu wajibnya kalau dia ke Sushi King.
“Mana kau tahu?”
“Aku dengar perempuan tu panggil Irfan abang.”
“Perempuan sekarang, lelaki orang pun dia panggil abang. Kalau jenis perempuan yang baru meningkat naik lagi horror panggilan dia. Tak panggil abang dah tapi oppa!” kata Ayuni dengan penuh gaya.
Nora turut ketawa. “Kutuk kaum sendiri.”
“Bukan kutuk tapi ini hakikat...” kata-kata Ayuni sempat menjeling ke arah Irfan yang rancak berbual dengan gadis misteri itu. Mungkin itu adiknya...
Tiba-tiba dia terpandang seseorang yang sangat dia dikenalinya tidak jauh dari Irfan duduk. Bulat mata Ayuni kerana terkejut.
“Kenapa?” tanya Nora hairan.
“Rasydan.”
“Apa?” Nora akhirnya baru perasan kelibat Rasydan tidak jauh dari situ. Di hadapan Rasydan ada seorang perempuan. Dia mula rasa tak sedap hati. Ayuni di hadapannya mula naik turun nafas.
“Sabar Ayuni. Mungkin itu saudara dia...”
“Saudara apanya. Budak tu aku kenal. Nama dia Dayana. Satu department dengan aku juga,” ujar Ayuni.
“Okey, walau apa pun jangan bertindak terburu-buru. Sabar. Bawa bertenang.”
Ayuni mendengus marah. Ini tak boleh dibiarkan!
Dia terus bangun. Nora yang banyak kali minta dia bertenang pun dia tidak layan. Bertenang? Ini kes serius. Bukan main-main. Tiada masa untuk bertenang. Dia mahu selesaikan perkara itu sekarang juga!
Tanpa berlengah lagi dia segera menghampiri meja Rasydan dan Dayana yang sedang makan itu. Siap suap-suap lagi. Huh, ini memang mendatangkan marah! Belum pernah Rasydan suap dia makan. Padanlah kawan-kawan sekerja dia pernah bagi warning supaya hati-hati sikit dengan Dayana. Rupa-rupanya mereka tahu sesuatu!
Sampai saja di meja mereka, Ayuni terus duduk di hadapan mereka. Terus terkejut mereka berdua.
“Err... Ayuni, apa awak buat di sini?” tanya Rasydan tergagap-gagap.
“Saya masih belum mati lagi. Sudah tentulah saya boleh bergerak bebas pergi ke mana saya nak pergi termasuk kacau awak dating,” balas Ayuni cuba menahan geram.
Rasydan mahupun Dayana kelihatan pucat. Macam baru nampak hantu.
“Saya bukan mayat hidup yang baru bangkit dari alam kubur dan setakat ni saya tak pernah lagi makan orang. Saya lagi suka makan sayur. Sekarang, masa untuk awak terangkan apa yang dah berlaku?” balas Ayuni tenang kepada Rasydan.
Peliknya dia langsung tidak berasa sedih dengan apa yang dia nampak tadi. Tapi dia bersyukur kerana dia sudah nampak apa yang terselindung selama ini.
“Ini salah faham...” Rasydan mula mengatur ayat.
“Saya nampak dengan mata saya sendiri awak suap Dayana makan. Saya tak nampak pun Dayana ni cacat sampai awak kena suap dia makan,” balas Ayuni. Kalau hendak menipu tu agak-agaklah.
“Kami memang ada hubungan. Puas hati?” Dayana akhirnya bersuara.
“Dayana...” Rasydan memberi amaran suruh diam.
“Sampai bila lagi kita nak rahsiakan hubungan kita? Sekarang, dia dah nampak segalanya. Beritahulah hal sebenar. Atau awak masih sukakan dia dan mempermainkan perasaan saya...” balas Dayana.
“Begitu?” Ayuni memandang Rasydan dengan tajam. Rasydan hanya senyap. “Okey, kalau macam tu, kita putus saja.” Tanpa berlengah lagi dia segera membuka cincin di jarinya dan diberikan kepada Rasydan.
Rasydan terkejut.
“Ayuni...”
“Terima kasih sajalah sebab tak jadi kahwin dengan saya. Kalau tidak saya tentu akan jadi janda dalam masa yang singkat,” balas Ayuni sebelum berlalu pergi. Rasydan masih memanggilnya. Tiba-tiba dia terdengar sesuatu.
Bila dia berpaling. Dilihatnya Rasydan tertiarap di lantai. Walaupun hairan apa yang sudah berlaku tapi ini peluang Ayuni untuk larikan diri. Menyampah. Padan muka!
****
SEMUA perbualan itu didengarnya dengan jelas. Bukannya dia sengaja curi dengar tapi kedudukan mereka amat dekat dengan tempat duduknya. Macam sudah ditakdirkan. Dia dengar segala-galanya.
Irfan juga dengar dengan jelas bagaimana Ayuni memutuskan hubungan dengan lelaki itu. Ketika itu bibirnya tidak mampu berbohong lagi. Kini dia mula nampak perjalanannya. Lampu demi lampu menyala di sepanjang jalan. Tak sia-sia dia menemani adiknya makan Sushi King.
“Ayuni...” Lelaki itu mula bangun untuk mengejar Ayuni.
Spontan saja kakinya yang panjang itu keluar menghalang laluan. Gedebuk! Terjatuh lelaki yang main kayu tiga itu kerana tersadung kakinya. Terjatuh sampai tercium lantai. Entah kenapa hatinya puas. Padahal mereka langsung tak ada kena mengena dengannya.
Dan dia hanya melihat Ayuni berlalu pergi. Langsung tak kembali tolong lelaki itu. Sekali lagi bibirnya mengukir senyuman.
“Kenapa abang tersenyum-senyum ni?” tanya adiknya, Irma yang baru tadi meminta diri untuk ke tandas. Dia tidak tahu apa-apa memandangkan drama sebabak tadi habis dengan cepat.
“Menikmati muzik yang indah,” jawab Irfan.
“Hah?”
“Beritahu mama, esok abang balik rumah. Dan beritahu papa, esok abang masak,” kata Irfan.
“Sempena apa?” tanya Irma pelik. Biarpun abangnya suka memasak tapi abangnya jarang masak di rumah kecuali kalau ada apa-apa hari istimewa.
“Happy New Year.”
Irma mengerut dahi. Isy, dia tak faham sungguh! Happy New Year apa kalau dah bulan Ogos!
Comments
Post a Comment