Skip to main content

Suamiku Workaholic [prolog]

 “Hah? Anak Mak Cik Zara?” sekali lagi aku bertanya. Terkejut pun ada. Beberapa kali aku bertanya, beberapa kali juga ibu mengangguk.
“Kenapa kau terkejut sangat?” tanya ibu.
“Ibu... ibu dah...” kata-kataku mati di situ. Mahu saja aku cakap 'gila' di akhir ayat. Tapi takkanlah aku sanggup kata perkataan tu pada ibu yang aku sayangi ini. Tapi betul. Ini kerja gila. Ada ke dia hendak kahwinkan aku dengan anak Mak Cik Zara? Aku rasa macam hendak menjerit saja.
“Kau ni kenapa?”
“Ibu, Dayah tahu, ibu dan ayah dah capai jalan buntu nak teruskan majlis perkahwinan Dayah yang tinggal sebulan lagi tapi... janganlah terdesak sampai begini,” aku mula bersuara.
Kalau tidak kerana bakal pengantin lelaki lari dari rumah dan gagal dikesan sehingga kini, semua ini takkan berlaku. Lagi takkan berlaku, kalau mereka-mereka pandai-pandai hendak jodohkan kami. Kononnya hendak menguatkan hubungan silatulrahim antara kedua-dua keluarga. Kalau ya pun mintalah pendapat kami berdua dahulu. Orang zaman sekarang ni bukannya boleh terus ikut pilihan keluarga. Bila sudah memberontak, habis menyusahkan semua orang.
Huh, aku masih angin lagi dengan Ammar, lelaki pengecut yang keluarga aku berkenan untuk menjadikannya menantu dan suami aku. Dalam waktu kemuncak begini boleh pula dia buat hal. Lepas tu, aku pula yang dipersalahkan kerana tak pandai jaga tunang sampai boleh lari dengan kawan karib aku sendiri.
Salimah. Tapi nama glamour dia Sally. Dia kawan karib aku ketika kecil. Sejujurnya, aku sendiri terkejut bila dapat tahu dia lari dengan tunang aku. Selama ini dia langsung tak pernah menunjukkan yang dia minat pada Ammar. Dia juga sering bagi aku nasihat supaya terus menerima Ammar sebagai tunang. Bila aku dengar namanya menjadi sebutan, sudah tentulah aku tidak percaya.  
Tapi bila aku gagal hubungi Sally, barulah aku percaya. Aku juga tersedar yang selama ni aku sudah dipermainkan oleh dua orang yang rapat dengan aku. Aku sendiri tak tahu apa salah aku sampai mereka sanggup buat aku begini.
Ammar, dia memang tunang aku walaupun aku susah hendak terimanya sebagai tunang. Aku bertunang dengannya sebab dia pilihan keluarga. Bila dia dah jadi pilihan keluarga, aku sudah tak boleh nak buat apa-apa lagi. Lagipun bukan sahaja melibatkan ibu dah ayah tapi termasuk mak cik – mak cik dan nenek yang inginkan aku berkahwin dengan Ammar.
Di situ aku sudah nampak, tak guna lagi aku berkeras lancarkan mogok lapar semata-mata nak suruh mereka hentikan rancangan ini. Aku redha. Jadi, aku cuba memujuk hati menerima Ammar. Lagipun, aku tak ramai kawan lelaki. Apa salahnya kalau aku cuba menyintai Ammar.
Segala kekusutan hati aku luahkan kepada Sally. Bagi aku Sally adalah kawan yang baik. Dia sanggup mendengar segala rintihan hati aku. Semua perasaan aku tak kira gembira atau sedih, aku kongsikan kepada Sally. Dia juga seperti penasihat aku. Dia selalu juga bagi aku nasihat untuk menerima Ammar dengan seadanya. Dia juga ajar aku bagaimana hendak pikat hati Ammar.
Yup. Ammar seorang lelaki yang langsung tak ada perasaan terhadap aku. Baginya, (dia pernah berterus-terang pada aku) aku seorang yang membosankan. Seribu kali bosan katanya. Aku tak macam perempuan lain. Langsung tak mencabar sifat kejantanannya.
Jadi, sebab itulah Sally ajar aku supaya pikat hati Ammar. Macam-macam aku buat untuk pikat hatinya. Sampai aku sanggup habiskan duit gaji dan berlapar semata-mata hendak hadiahkan iPhone 5 semasa hari jadi Ammar tahun lepas. Tapi semua ajaran Sally tidak menjadi. Dan sekarang, aku sudah tahu kenapa.
Sally dan Ammar. Rupa-rupanya mereka sudah menjalinkan hubungan di belakang aku sejak 5 tahun lepas. 5 tahun lepas juga, aku bertunang dengan Ammar. Lama bukan Ammar jadi tunang aku. Itu sebab sudah tradisi keluarga kami dengan alasan memberi ruang kepada bakal pengantin seperti kami ini saling mengenali.
Sebenarnya, keputusan mereka untuk menjodohkan kami bukanlah kejam sangat. Tempoh lima tahun itu digunakan untuk saling mengenali. Kalau salah seorang daripada kami tidak setuju, boleh saja kemukakan rayuan untuk putuskan hubungan ini secara baik. Dengan syarat, kedua-dua pihak mestilah bersetuju. Kalau satu pihak saja bersetuju, rayuan kami takkan berjaya. Aku dah banyak kali cakap pada Ammar tapi lelaki itu begitu pengecut hendak bertindak. Tapi bila hendak dekat tarikh perkahwinan boleh pula dia lesap begitu saja.
Sekarang ni, bila pengantin lelaki sudah hilang, aku pula yang susah. Aku dituduh tak pandai jaga tunang. Aku dituduh lemah dan kurang matang oleh keluarga Ammar. Ingin saja aku marah. Aku lemah? Aku kurang matang? Habis, tindakan anak teruna kesayangan dia yang lari dari tanggungjawab tu, apa cerita?
Lepas tu dia tuduh aku macam-macam. Kononnya, anak dia lari sebab dia pernah nampak aku keluar dengan lelaki. Waktu itu aku rasa macam hendak jadi raksasa saja. Bila masa pula aku keluar dengan lelaki? Aku bukannya kaki jalan. Kalau aku nak keluar, sama ada bertemankan ayah atau Sally saja. Mana datangnya lelaki asing dalam hidup aku? Mengata aku, padahal, anak dia terang-terang pergi lari dengan perempuan lain. Jadi, kelam-kabutlah nenek dan mak cik-mak cik aku yang lain carikan calon menantu gantian.
Inilah mentaliti orang lama (mungkin sebahagian). Bagi mereka, kalau lelaki tinggalkan perempuan, maknanya ada sesuatu tidak kena dengan perempuan itu. Semua tuduhan jatuh pada perempuan. Yang lelaki, sudah terang-terang pergi kahwin lari di Thailand dipertahan pula.
Arghhh! Aku rasa hendak jerit sekuat hati. Tambah lagi sekarang ni ibu tetap dengan pendiriannya hendak jodohkan aku dengan anak teruna Mak Cik Zara! Adui, anak Mak Cik Zara tu!
“Apa masalahnya dengan anak Mak Cik Zara?” tanya ibu berbuat tidak tahu.
“Ibu, takkan ibu tak tahu dengan anak Mak Cik Zara tu? Dia tu... hati batu!”
Sudah bermacam-macam aku dengar cerita tentang anak Mak Cik Zara. Dia boleh dikatakan saudara jauh aku dan pernah juga berjumpa dengannya beberapa kali. Orangnya, boleh tahan. Ada rupa dan ada kerjaya. Sebenarnya, banyak juga sepupu-sepupu aku pernah hendak dijodohkan dengan anak Mak Cik Zara, tetapi semuanya tak menjadi. Daripada yang aku dengar, anak Mak Cik Zara seorang workaholic. Hidupnya asyik kerja, kerja dan kerja!
Sebab itulah sampai sekarang anak Mak Cik Zara membujang. Dan sekarang, mereka hendak kenankan aku dengan dia pula! Aduhai...
“Ala, tak cuba mana tahu. Pergi sajalah jumpa Syazwan tu. Mana tahukan hati berkenan ke. Senang sikit nak berumah tangga nanti.”
Hati memang berkenan. Mana tidaknya, sudahlah handsome macam Choi Siwon. Hormat orang tua (ini dari pemerhatian aku). Tambah lagi seorang yang bekerjaya (aku sangat suka tengok dia pakai baju kot, cair!). Tapi satu saja yang aku tak berkenan. Dia seorang yang pendiam. Orang tanya sepatah, dia jawab sepatah. Kadangkala angguk dan geleng. Siapa tahan???
“Esok, pukul 10 pagi jumpa Syazwan di sini,” ibu memberikan sekeping kertas yang tertulis tempat yang sudah ditetapkan. Aku menerimanya dengan redha.
Apa yang aku perlu buat esok? Mampukah aku bertahan?


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 1]

Ibu kata, Syazwan paling tak suka dengan orang yang lambat datang janji temu. Jadi, awal-awal lagi aku sudah datang ke tempat janji temu. Masa tu, cafe yang menjadi tempat pertemuan kami itu baru sahaja buka. Lama juga aku duduk menunggu maklumlah aku datang setengah jam lebih awal. Tepat pukul 10.00 pagi, Syazwan datang tepat pada masanya. Padanlah dia sudah jadi seorang yang berjaya dan bekerjaya. Dia datang dengan baju kot (ah, cair!). Nampak segak dan bergaya. Serius aku sudah jatuh hati. Datang-datang saja, dia terus renung aku dari atas hingga bawah. Berdetak juga jantung aku tiap kali matanya scan setiap inci tubuh aku. Macam mata Superman yang boleh tengok dalaman tubuh orang pula. Setelah dia berpuas hati, barulah dia duduk dan membuat pesanan kepada pelayan cafe itu. Kemudian, dia keluarkan tab miliknya dan senyap.