Skip to main content

Suamiku Workaholic [Bab 6&7]


Aku terjaga daripada tidur yang lena. Jam menunjukkan pukul 7.00 pagi. Bangun-bangun sahaja aku rasa demam yang aku alami beberapa hari ini sudah kebah. Alhamdulillah. Bagaimanapun adalah sedikit rasa pening-pening lalat. Mungkin sebab beberapa hari ini aku banyak habiskan masa dengan berbaring di atas katil.
Aku memandang sekeliling. Macam aku ada terlupa sesuatu. Aku cuba menggunakan otak walaupun masih lagi pening-pening lalat. Kalau tak silap, malam tadi aku tidur dalam pelukan suamiku. Tapi... ke mana pula dia pergi? Aku menggaru kepala yang tak gatal sambil memerhati keadaan bilik. Tiada langsung bagasi dia.
Takkanlah... aku bermimpi? Aku mengeluh. Ah, semua yang berlaku malam tadi itu adalah mimpi! Kenapa aku rasa macam mimpi itu benar belaka? Adui, parah betullah dengan penyakit hati dan perasaan aku ni. Ni pun nasib baiklah aku terjatuh cinta dengan suami sendiri. Kalau dengan suami orang, mau sasau jadinya.
Ah, sudahlah. Mimpi pun mimpilah. Asalkan aku dapat rasa sedikit bahagia dipeluk malam tadi. Mmm... terus kebah demam. Haiya, teruk sangat dah kau ni Dayah. Demam sebab rindukan dia. Bila mimpi pasal dia peluk kau, terus demam kau ni kebah ye. Gatal sungguh.
Dengan langkah yang longlai, aku pun berlalu ke pintu bilik mandi. Aik? Kunci? Ah, aku terkunci lagi pintu ni dari dalam macam hari tu ke? Sekali lagi aku mengeluh. Langkahku kembali ke katil menghampiri sebuah laci. Nasib baik ada kunci pendua. Aku ni memang betul-betul cuai. Masuk kali ini dah banyak kali aku terkunci pintu bilik air dari dalam.
Apa boleh buat, aku memang anti betul dengan tombol pintu bilik itu. Itu antara habit buruk aku. Suka sangat tekan kunci tombol bulat itu. Disebabkan itu jugalah ayah tukar semua kunci tombol bulat kepada tombol lain.
Tanpa berlengah lagi aku pun terus membuka pintu itu menggunakan kunci. Sebaik sahaja pintu dibuka, langkahku terhenti. Tak jadi nak masuk ke dalam apabila melihat satu tubuh sedang dibasahi air pancuran. Automatik otak aku tak dapat proses maklumat yang diterima. Aku jadi kaget macam patung.
Barangkali aku masih bermimpi. Barangkali juga aku masih angau merinduinya. Sudahlah malam tadi aku mimpi dia peluk aku. Kini, aku mimpi dia tengah mandi pula! Adui, Dayah, kau ni dah teruk dah ni. Ada ke patut kau berimaginasi sampai begini? Tahulah kau dah kahwin tapi takkan sampai kotor macam ni otak kau berimaginasi?
Aku menggosok mata. Bila buka semula, aku tetap lihat apa yang aku lihat tadi. Dia sedang mandi! Kali ini dia berpaling memandang aku. Perlahan-lahan aku cuba cubit pipi aku. Sakit. Alamak! Dayah, ni bukan mimpi! Ini semua realiti! Dia memang wujud depan kau sekarang dan dia tengah mandi tanpa...
Aku tergamam.
Dayah, jangan. Pandang. Bawah.
Aku cuba pandang atas sedaya yang mungkin. Dia masih pandang aku dengan raut muka selamba. Aku pula dah macam hampir kehilangan jantung. Sekejap berdegup kencang, sekejap rasa terhenti. Aku tak tahu nak buat apa. Menjerit? Klise sangat. Nanti habis satu rumah tahu apa yang aku nampak.
“Err... awak tengah mandi rupanya. Jadi, awak boleh terus mandi, saya akan kuncikan pintu untuk awak...” tergagap-gagap juga aku bersuara.
Dengan perlahan-lahan aku tarik pintu bilik mandi semula dan menutupnya. Sekali dengan menguncinya. Kunci pendua aku buang ke tepi. Aku terduduk sambil memproses semula apa yang berlaku tadi.
Kenapa? Kenapa aku tak dengar langsung bunyi air dari dalam? Kenapa aku tak terfikir ada orang dalam bilik mandi? Dan dia... dia boleh buat muka selamba saja masa aku tengok? Arrghhh... kenapa semua ni terjadi pada aku?
Tiba-tiba aku terdengar sesuatu pada tombol pintu di belakang aku. Tanpa berlengah lagi aku terus bangun dan berlari ke luar. Aku terus menuju ke bilik Wani. Mujurlah tak berkunci. Wani yang sedang mengeringkan rambutnya yang basah terkejut dengan kehadiran aku tiba-tiba.
“Kenapa ni Kak Dayah?” tanya Wani, risau.
“Wani kenapa tak beritahu abang dah balik?” aku terus menerpa ke arahnya.
“Macam mana nak beritahu kalau Kak Dayah dah tidur masa abang balik,” jawabnya. “Lagipun dia balik tiba-tiba, kami pun terkejut. Nampaknya dia sangat sayang Kak Dayah tu dan... vitamin yang dia bawak tu berkesan juga ya. Dapat sembuhkan Kak Dayah dalam satu malam je.”
Ah, aku patut rasa gembira kerana dia sanggup balik awal dan automatik aku sudah sembuh daripada demam tapi sekarang ni rasa malu lagi menebal. Mana aku nak letak muka ni? Macam mana aku nak berhadapan dengan dia? Lebih teruk lagi aku dah nampak!
“Ada sesuatu yang dah berlaku ke?” tanya Wani tersengih-sengih.
“Tak... tak ada,” aku cuba menafikannya.
“Mmm...” Wani terus tersenyum. Dia macam dapat agak. Hai Dayah, kau dah redah masuk bilik orang pagi-pagi begini, sudah tentulah dia dapat agak ada sesuatu yang sudah berlaku! Mengaku sajalah.
“Wani, apa akak patut buat? Akak tak sengaja. Akak ingat, dia belum balik lagi. Tak sangka pula dia tengah mandi...” kataku hampir hilang akal.
“Ohhh...” Wani mengangguk faham sambil terus tersengih. Aku benci tengok dia begini. Macam ketawakan aku pula. Aku tengah serius ni.
“Arrghhh... mana nak sorok muka ni?” Aku terus capai gebar dan menyelimutkan seluruh tubuh aku di dalamnya. Dari dalam aku dengar Wani terus mengekek ketawakan aku. Aku tak patut ceritakan hal ini kepada dia. Tak patut!


Bila dia hampiri meja makan, aku tunduk. Nasib baiklah aku baru saja baik daripada demam. Jadi, aku ada alasan kenapa tak layani dia seperti bancuhkan kopi dan sebagainya untuk dia. Kalau tidak pasti sudah menggigil tangan aku tuang air kopi. Agaknya pegang teko pun dah tak betul.
Aku mengeluh lega. Sesekali aku mendongak pandang muka dia. Dia nampak selamba macam tak ada apa-apa yang berlaku tadi.
Hisy, lelaki memang begini ke? Rasa malu dia tahap zero ke? Tengoklah masa kejadian tadi. Dia boleh buat muka selamba pandang aku. Macam orang tak ada perasaan. Kalaulah aku pun boleh buat begitu... atau dia fikir, kami dah berkahwin jadi sebab itulah dia tak kisah sangat? Mmm... betul juga.
Aku mula ada keyakinan untuk berhadapan dengan dia. Eh, dia nampak segak hari ini. Biarpun hanya pakai baju T dan seluar panjang, tapi serius, dia nampak lebih handsome. Tapi, kenapa aku rasa macam dia nak keluar saja? Dia kerjakah hari ni?
“Tu nak pergi mana pulak? Kerja lagi ke?” tegur mama.
“Tak. Nak pergi kedai beli tombol pintu. Kunci pintu bilik mandi dah rosak agaknya...” jawabnya sambil menjeling pandang aku.
Gulp. Aku menelan air liur. Oh tidak, dia kisah rupanya! Habislah aku. Mari sorok muka sekali lagi. Perlahan-lahan aku tunduk pandang bawah. Kali ini tak berani nak pandang muka dia dah.
“Ehem... takkan keluar tak bawak isteri kot. Kesian Kak Dayah ni, sudahlah baru kahwin lepas tu kena tinggal pula sampai demam-demam dibuatnya. Apa salahnya bawa Kak Dayah keluar. Kalau terperap duduk rumah, boleh mati kebosanan dibuatnya nanti,” kata Wani.
Aku terus mencubit Wani. Ada ke patut bagi cadangan begitu. Sudahlah aku malu hendak berhadapan dengan dia sekarang. Biarlah dia keluar seorang diri. Tak perlulah bawa aku sekali. Lagipun nak beli tombol pintu je. Bukannya nak pergi shopping barang-barang kelengkapan rumah. Itu wajib aku kena ikut.
“Hah, bagus tu. Wan, bawalah Dayah ni keluar sekali. Dah beberapa hari dia duduk terperap dalam bilik tu. Langsung tak jumpa matahari,” sokong mama.
Alamak. Susahlah kalau mama dah berkata-kata. Kalau boleh aku tak nak tengok muka dia hari ini. Kalau aku tengok mesti aku terbayang apa yang aku nampak tadi. Aduh, macam mana nak padamkan ingatan ni? Ada tak mesin cuci otak?
“Err... tak payahlah mama. Dayah tak kisah kalau kena duduk rumah. Lagipun Dayah masih belum sihat lagi. Nanti menyusahkan pulak,” aku bagi alasan.
“Pergi siap cepat,” tiba-tiba dia mengarah. Tersentap aku dibuatnya. Aku tengok mukanya. Masih selamba. Aduhai, kenapalah dia tak faham apa yang aku alami sekarang ini. Bagilah aku sorok muka hari ini. Aku malu tahu tak?
“Hah, Dayah cepat pergi bersiap. Kalau asyik terperap dalam rumah ni lagi bertambah sakit. Lagipun bukan senang nak tengok laki kamu ni bercuti tau,” arah mama pula.
“Baik...” aku hanya mampu menurut perintah. Kalau semua orang sudah sepakat suruh aku keluar dengannya dan dia pula sudah setuju, jadi tak ada maknanya aku nak membantah. Reda sajalah. Tebalkan muka dengan apa yang terjadi….


Aku hanya mendiamkan diri seribu bahasa semasa berada di dalam kereta. Bosan gila. Dia langsung tak buka radio. Sekurang-kurangnya bukalah radio, bolehlah aku melayan diri sendiri tanpa rasa bosan.
Tapi... aku tengok macam radio dia tak berfungsi pun ada. Berabuk. Hai, aku tahulah keretanya itu keluaran semasa aku masih kanak-kanak rebina, tapi takkanlah tak pernah berbasuh. Bayangkan, tiap kali aku masuk, tiap kali itulah aku bersin. Kalau beginilah, aku rela lagi naik bas.
Aku tak kisah sangat kereta lama atau kereta baru. Asalkan kereta itu bersih. Aku mudah tension tengok keadaan yang bersepah dan kotor. Kalaulah aku dapat kereta ni, memang bersih aku kerjakan. Tapi, dia ni jenis macam tak suka orang sentuh barang dia.
Aku memandang sekeliling. Tiba-tiba aku rasa sudah terlampau lama dalam kereta. Ke mana dia hendak pergi sebenarnya? Kata nak beli tombol pintu. Takkanlah nak cari tombol pintu sampai berkilo-kilometer jauhnya? Atau dia nak beli tombol pintu ajaib yang takkan berjaya dibuka dari luar walau dengan apa kunci sekali pun!
Akhirnya soalan aku terjawab apabila kereta yang dipandunya masuk ke tempat parking IKEA. Jadi tombol pintu ajaib itu ada di IKEA? Wah, baruku tahu! Padanlah ramai yang suka pergi IKEA. Dayah oh Dayah, sudahlah tu. Hentikan fikir benda yang tak logik. Mungkin dia ada sebab kenapa nak pergi IKEA.
“Kita nak buat apa pergi sini?” tanyaku setelah dia mendapat parking.
Aku dengar melalui kawan-kawanku yang suka sangat shopping di IKEA, mereka kata parking di sini sangat-sangat-dan-sangat susah nak cari kalau datang lambat. Mungkin sebab kami datang awal, jadi aku tengok sangat-sangat-dan-sangat banyak lagi parking kosong. Tapi itu pun aku tengok berderet juga kereta masuk.
Aku bukannya hantu shopping sangat. Jadi, jujur aku kata ini kali pertama aku pergi IKEA. Selama ini aku tak teringin pun nak pergi. Walaupun kawan-kawan aku kata, meatball IKEA sedap dan sangat sedap, aku tetap tak ada hati nak pergi. Ada sesetengah tu sanggup pergi IKEA sebab nak makan bebola daging. Tak faham betul aku.
“Kita nak pergi memancing ikan. Dengar kata bermacam-macam ikan ada di sini,” jawabnya selamba.
Ah, aku kena lagi! Dayah, apalah kau ni. Sungguhpun kau tak pernah pergi IKEA tapi faham-faham sajalah apa yang ada di IKEA ni. Kan dah kena sebijik! Lain kali fikir dulu sebelum bertanya. Dia ni kerek juga ya.
Aku cepat-cepat keluar dan mengekori langkahnya. Huh, ramai juga orang. Masuk saja di pintu depan, aku tengok ramai orang berkerumum. Rupa-rupanya IKEA masih belum buka lagi. Gila. Tak faham aku kenapa orang sanggup datang awal walaupun belum dibuka lagi. Mungkin sebab parking kot.
Tiba-tiba dia tarik aku duduk di sebuah kerusi di bahagian pameran. Merasalah sekejap duduk di kerusi empuk. Aku lihat dia keluarkan handsetnya dan mula membaca emel. Ah, dah mula dah. Ini mesti pasal kerja. Ah, lantaklah.
Aku memandang sekeliling. Mmm... boleh tahan juga pameran ruang tamu ini. Kerusi yang cantik. Meja yang cantik. Wahhh... boleh tahan juga kabinet TV itu. Cuma satu je yang tak cantik, harga. Huh, lemah jantung tengok harganya. Bagi orang bekerja yang ada duit, mungkin pejam mata saja dengan harga begitu. Tapi aku sudah jadi suri rumah tangga sepenuh masa, jangan haraplah aku dapat beli.
Eh, bukan ke aku ada suami yang workaholic, pasti dia banyak duit. Jadi, apa kata goda dia sikit guna ayat manja-manja supaya dia bermurah hati keluarkan duit untuk isteri tersayang (konon).
Aku pandang dia. Mmm... tengok muka macam susah saja nak goda dia dengan ayat manis. Macam mana kalau dia seorang yang kedekut? Sudahlah usik barang dia pun dia dah buat muka, kalau usik duit dia mestilah dia tarik muka dengan aku. Adui, aku nak bekerja. Barulah boleh shopping barang keperluan rumah dengan senang hati!
Tidak lama kemudian, aku lihat orang ramai sudah masuk ke dalam. Berpusu-pusu orang masuk. Aku lihat Syazwan, dia masih lagi dengan handsetnya. Mungkin dia tak perasan sudah boleh masuk.
“Awak, dah boleh masuk dah,” aku memberanikan diri menegurnya. Itupun selepas aku lama memerhati dia masih tak perasan.
Kemudian, dia pandang aku. Lama juga sampai aku tak berani pandang muka dia. Lagak gaya macam tak puas hati dengan aku. Aku buat salahkah? Aku cuma beritahu dia saja memandangkan dia asyik layan emel.
“Dayah, agak-agak IKEA ni ada kaki ke?” tanyanya.
Oh, tidak! Aku kena lagi! Kali ini mendalam betul kata-katanya. Taubat, aku takkan kacau ketika dia layan emel kerja-kerja dia dah. Dia masih pandang aku. Macam mengharapkan aku bagi jawapan. Adui, aku tahu yang IKEA ni tak ada kaki. Sudah-sudahlah tu pandang aku macam nak cari gaduh.
“Err... IKEA memang tak ada kaki tapi saya ada kaki, saya boleh lari masuk dalam,” jawabku takut-takut.
Kemudian dia mengukir senyuman. Wah, dia senyum! Dia senyum! Tapi macam biasa, sekejap saja. Kemudian, dia kembali dengan muka seriusnya. Aku pun kembali duduk di sebelahnya dengan muka reda. Dia pula terus melayan emel. Orang workaholic tetap workaholic!
Baru sahaja aku duduk, dia pula yang bangun. Aik? Aku pandang dia yang sudah simpan handsetnya. Lantas aku bangun. Jangan buat hal lagi! Tanpa berkata apa-apa, dia memulakan langkah. Aku pun ikut dia masuk ke dalam.
Masuk sahaja, mata aku jadi rambang dengan pameran perabut yang diilhamkan. Bukan sahaja reka bentuk perabut tetapi juga reka bentuk letak barang-barang perabut memikat hatiku. Simple dan menarik. Sambil itu sempat lagi aku berangan mahukan ruang tamu yang cantik begitu.
Itu ruang tamu, belum lagi masuk bilik tidur, ruang makan, dapur dan macam-macam lagi. Ah, kalau dapat semua ni, memang tak keluar rumahlah aku. Sanggup aku jadi suri rumah sepenuh masa buat selama-lamanya!
Opocot kau! Aku tersentap sebaik sahaja berpaling. Tiba-tiba saja dia berada di belakang aku. Aik? Bila masa dia berada di belakang aku? Bukan ke tadi, dia berjalan di depan tadi? Atau... Takkan aku buat hal lagi? Aku pandang sekeliling. Habis, mesti aku mengelamun sampai dia tercari-cari aku tadi!
Aku tersengih-sengih.
“Dayah...” tegurnya. Kecut perut aku bila dia sebut nama aku. “Cuba hulurkan tangan tu,” arahnya.
Aik? Apa dia nak buat? Takkan dia nak rotan aku kot? Ingat ini sekolah ke? Aku pun reda sajalah. Perlahan-lahan aku hulurkan tangan kananku. Lantas tangannya menyambut tangan aku dan digenggamnya kuat.
Ohh... begitu. Ini mesti kes tak nak bagi aku lari lagi. Aku tak dapat sembunyikan senyuman. Kalau begini, aku rela kena pegang! Dayah, gediknya kau ni!
Tapi yang tak seronoknya, aku tak boleh lagi ke mana-mana. Tiap kali aku ingin menghampiri perabut-perabut yang menarik di mataku, dia pula menarikku jauh dari situ.
Ah, apalah nasib badan. Pelik betullah. Buat apa datang sini kalau tak bagi aku tengok cuci mata tengok perabut? Takkan... dating? Yelah, mesti ini adalah dating. Wah, bagus juga dating selepas nikah ni ya. Dapat pegang-pegang tangan. Sudah tentu halal.
Tiba-tiba dia lepaskan tangan aku. Aik? Aku baru nak bermanja. Apa hal pula ni? Aku pandang dia. Kalau boleh nak pegang lagi... tapi dia terus berjalan. Kenapa ni? Aku ada buat salah ke? Atau aku terlampau gedik sangat? Aku pun terus mengekorinya sehinggalah dia mencapai sebuah troli.
Ohh... dia ambil troli rupanya. Adui, Dayah, parah betullah kau ni. Tapi troli tu nak buat apa? Takkan nak angkut perabut? Muat ke? Nak tanya ke tak? Mmm... kalau tanya, soalan tu macam soalan tak masuk akal. Lebih baik jangan tanya. Diam dan ikut!
Kali ini tiada lagi barang pameran tetapi lebih kepada gudang. Ada banyak barang-barang keperluan yang kecil-kecil. Oh, baru aku faham kenapa ada troli. Nasib baik aku tak tanya. Huh, selamat!
“Pilihlah apa yang kau nak,” katanya sudah beri lampu hijau. Terkejut aku dengar. Aku memandang sekeliling. Apa aku nak? Aku nak perabut di luar sana... tapi itu dah macam nak minta pelempang je. Aku sendiri tak tahu apa yang aku nak.
Eh, yelah. Bukan ke aku akan tinggal di rumah dia. Jadi, dia bawa aku datang sini mesti di rumahnya tak ada sesetengah barang keperluan. Tapi, manalah aku tahu apa yang perlu dibeli. Aku tak pergi melawat rumah dia lagi.
“Agak-agak apa yang perlu saya beli? Takut nanti awak dah ada barang tu...” aku beranikan diri bersuara.
Dia pandang aku. Kemudian aku lihat dia seperti berfikir. Mungkin dia setuju dengan apa yang aku kata tadi. Yes, aku dah tak tanya soalan yang tak logik! Kemudian, dia bawa aku ke bahagian peralatan dapur. Katanya, barang-barang dapur tersangatlah sikit sebab dia tak selalu memasak.
Lelaki. Memang senang dijangka.
Aku pun ambillah beberapa kuali dan periuk. Dia tak banyak cakap. Hanya memerhati aku dari jauh. Kadangkala dia juga ada tanya pendapat aku sama ada aku perlukan sesuatu barangan seperti papan pemotong. Ada juga barangan lain yang dia tak tahu fungsinya dia tanya aku.
Entah betul dia tak tahu atau dia sengaja nak uji aku, aku pun tak pasti. Tapi kebanyakannya aku dapat jawab. Inilah ilmu yang aku pelajari kerana selalu teman ibu pergi shopping.
“Hah? Pinggan? Rumah awak tak ada pinggan ke?” tanyaku apabila dia menyuruh mengambil beberapa pinggan dan mangkuk untuk lauk.
“Kalau kau sanggup makan dengan pinggan kertas apa salahnya,” jawabnya selamba.
Wah, mendalam sungguh jawapannya! Aku tanya soalan yang logik juga. Takkanlah rumah dia tiada pinggan langsung? Dia makan guna apa? Jangan-jangan, dia pun makan guna pinggan kertas.
Aku pun hanya menurut saja. Aku ambil dalam enam buah pinggan. Begitu juga dengan cawan. Kalau dia guna pinggan kertas, mestilah dia guna cawan kertas. Jadi, lebih baik aku ambil sebelum dia perli aku lagi.
Dalam tak sedar, penuh troli kami dengan barang-barang dapur. Itu baru barang dapur. Belum lagi keperluan rumah lain. Ini memang menunjukkan dia nak sangat-sangat aku jadi suri rumah tangga sepenuh masa. Selepas membayar dan meletakkan barang-barang ke dalam kereta, sekali lagi dia tarik tangan aku. Entah ke manalah dia nak bawa aku pergi kali ini.
Kami keluar dari IKEA dan masuk ke sebuah shopping complex di sebelahnya. Sungguhpun aku tak pernah pergi tapi aku dapat agak, itu The Curve! Patut ke aku tanya dia nak buat apa di sini? Takkan nak shopping lagi? Di sini banyak kedai, apa lagi yang dia nak shopping?
“Nak makan apa?” tanyanya tiba-tiba.
Oh, nak pergi makan rupanya. Aku tak menjawab tapi terus tengok jam. Ya Allah, dah pukul 12.00 tengah hari rupanya. Lamanya kami shopping di IKEA. Patutlah perut aku rasa semacam saja. Tapi aku nak makan apa di sini? Aku bukannya pernah pergi sini dan tak tahu yang mana satu yang sedap.
“Awak... saya bukan tak nak pilih nak makan apa tapi... saya tak pernah datang sini... jadi, awak pilihlah asalkan boleh kenyangkan perut saya,” aku bagi dia kebebasan.
“Mmm... kalau aku bagi roti pun kau mesti kenyangkan?” balasnya seakan menyindir.
Adui, roti? Memanglah kenyang tapi tak puas. Tapi kalau dia tetap nak bagi roti, aku terima sajalah. Asalkan perut aku dapat makan. Kalau tak, meragam pula nanti.
“Okey...” jawabku dengan reda.
“Kalau macam tu... kita makan Pizza Hut,” katanya.
Serentak itu aku pandang mukanya. Pizza Hut? Wahhhh... aku rasa macam nak melompat saja. Aku bukannya tak pernah makan Pizza Hut atau jakun tengok Pizza Hut tapi aku dah lama tak makan disebabkan diet. Tahu tak berapa lama aku tak makan? Enam bulan tau!
“Mmm... tak naklah makan pizza. Nanti tak kenyang. Jom makan nasi kat food court,” katanya tiba-tiba.
“Hah? Tak nak! Tak nak! Nak pizza,” pantas aku membangkang. Dia pandang aku seperti biasa. Macam muka tak puas hati pun ada. Tapi, aku tak peduli. “Tolonglah, nak pizza,” aku terus merayu.
“Tapi aku tak tahu kat mana restoran pizza,” jawabnya selamba.
Tipu! Itu sengaja nak bohong akulah tu. Macamlah aku percaya. Aku melihat sekeliling. Walau apa pun aku tetap akan cari restoran pizza. Eh, bukan ke setiap shopping complex yang besar ada petunjuk arah kedudukan setiap kedai? Aku memandang sekeliling. Hah, itu dia!
“Hai Syazwan!” tiba-tiba ada seseorang menegur suami aku. Perempuan dan cantik orangnya. “Isteri you?”
Dia hanya mengangguk. Aku pandang dia. Tak nak kenalkan aku ke? Aku nak juga tahu siapa perempuan tu. Sudahlah cantik. Nampak macam orang berkerjaya juga. Rasa cemburu sudah terbit di hati.
“Hai, saya Nur Hidayah,” aku cepat-cepat hulurkan tangan. Kalau dia tak nak kenalkan aku, tak mengapa. Aku tahu kenalkan diri sendiri. Dia menyambut tangan aku. Eh, tak nak kenalkan diri ke?
“Oh, Nur Hidayah. Patutlah you tiba-tiba nak kahwin. Rupanya dah dapat hidayah,” kata perempuan tanpa nama itu.
Wah, ayatnya mendalam. Ini perli atau mempermainkan nama aku? Syazwan pula, dia senyum saja? Yelah. Aku tahu, siapalah aku.
“You buat apa di sini?” tanya Syazwan.
Okey, aku dah rasa cemburu. Boleh pula dia ber-you-I dengan perempuan lain tapi masih beraku-kau dengan aku, isterinya. Nampak sangat aku tak penting buatnya. Eh, ini bukan masa untuk aku melayan perasaan sedih. Ini masa untuk mencari restoran Pizza Hut!
“Err... awak nampak macam selalu dah shopping sinikan?” aku menegur perempuan itu dan dalam masa yang sama mencelah apa yang dibual oleh mereka.
“Mmm... boleh dikatakan selalu juga. Ini antara tempat shopping yang I paling suka dan...”
“Jadi, awak mesti tahu restoran Pizza Hut, bukan?” aku terus memotong.
Ini bukannya masa aku nak dengar dia bermegah. Ini masa untuk aku bermanja dengan perut aku. Aku perasan mukanya dah merah padam. Itulah sombong lagi dengan aku. Dan aku perasan suamiku cuba menahan tawa.
“Sorry, isteri I ni memang kempunan nak makan Pizza Hut,” katanya sambil memeluk bahuku ke sisinya. Aku tersengih. Berjaya!
“Okey, I tunjukkan. I pun rasa macam dah lama tak makan Pizza Hut,” jawabnya, macam nak sangat orang ajak dia makan sekali.
“Kalau macam tu, jom kita makan sekali,” ajak suamiku.
Dia terus setuju. Cis!


Aku hanya melayan perut sendiri dengan menikmati pizza yang terhidang di atas meja. Malas nak masuk campur dalam perbualan mereka. Bukan aku boleh faham pun. Mereka sembang pasal hal kerja. Dari pengamatan aku, perempuan itu mesti rakan sekerja suamiku sebab dia kenal nama pekerja yang suami aku sebut dan juga tahu setiap masalah yang timbul dalam kerja mereka.
Kebanyakan yang terhidang di atas meja ini, aku yang makan. Suamiku hanya makan sedikit kemudian letak di pinggan aku dan ada sesekali dia sumbat dalam mulut aku. Secara automatik, aku tahu apa yang dia suka dan apa yang dia tak suka.
Perempuan-tanpa-nama itu pula, tak banyak yang dia makan. Bila aku hulurkan makanan kepadanya, dia hanya ulang ayat yang sama, “Oh, tak mengapa. Benda tu menggemukkan jadi, I tak berani nak makan.”
Eee... sangat klise. Wujud juga orang begini ya. Aku ingat dalam novel saja wujud. Jadi, disebabkan itulah aku hanya layan perut sendiri. Biarlah mereka berbual. Dalam tak sedar, aku dah habiskan semua makanan sampai tak ada apa yang nak dimakan lagi. Dan mereka... masih terus berbual hal kerja.
Workaholic vs Workaholic! Hasilnya, suri rumah tangga sepenuh masa yang kekenyangan dan kebosanan. Bila dah kenyang, mengantuk pula datang. Aku menongkat dagu sambil memandang ke arah suamiku. Bilalah dia nak berhenti berbual dengan perempuan-tanpa-nama itu? Tak tahu ke isteri sebelah dia ini sudah kekenyangan dan kepenatan?
Ah, penatnya. Mataku dah tak mampu bertahan. Agaknya banyak sangat aku makan sampai mengantuk begini. Sedar-sedar aku hampir tersenguk-senguk. Mujurlah kepalaku tak terhantuk meja. Dalam mamai, dia memegang daguku.
“Kenapa?” tanyanya lembut.
“Mengantuk. Mungkin makan terlalu banyak,” jawabku. “Nak balik,” tambahku lagi. Serius, aku memang dah tak tahan.
“Okey, kita balik sekarang,” balasnya.
Serentak itu aku mengukir senyuman. Sayang awak! Dan aku mula perasan ada mata tak puas hati sedang memandang aku. Siapa lagi kalau bukan perempuan-tanpa-nama itu. Huh, ingatkan aku aku takut? Ada aku peduli? Jadi, silakan cemburu.

Comments

  1. So funny...
    Ktawe sorg2 sy ble bce ni hahaha

    ReplyDelete
  2. Dayah ni cute....sambung lg pls

    ReplyDelete
  3. Cik penulis...teruskan usha....sy tak pernah kecwa baca entry ni...

    ReplyDelete
  4. Dayah.. jom kiter g pizza hut.. hihi

    ReplyDelete
  5. so cute, best teruskan usaha untuk sambungan citer nie....

    ReplyDelete
  6. best sangat....
    entry awak tak penah menghampakan saya

    ReplyDelete
  7. Waaaaa...gelak sorang2 baca bab nie...heheheh

    ReplyDelete
  8. Kelakar...tp mcm baca diari pun ada....������

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 1]

Ibu kata, Syazwan paling tak suka dengan orang yang lambat datang janji temu. Jadi, awal-awal lagi aku sudah datang ke tempat janji temu. Masa tu, cafe yang menjadi tempat pertemuan kami itu baru sahaja buka. Lama juga aku duduk menunggu maklumlah aku datang setengah jam lebih awal. Tepat pukul 10.00 pagi, Syazwan datang tepat pada masanya. Padanlah dia sudah jadi seorang yang berjaya dan bekerjaya. Dia datang dengan baju kot (ah, cair!). Nampak segak dan bergaya. Serius aku sudah jatuh hati. Datang-datang saja, dia terus renung aku dari atas hingga bawah. Berdetak juga jantung aku tiap kali matanya scan setiap inci tubuh aku. Macam mata Superman yang boleh tengok dalaman tubuh orang pula. Setelah dia berpuas hati, barulah dia duduk dan membuat pesanan kepada pelayan cafe itu. Kemudian, dia keluarkan tab miliknya dan senyap.