Skip to main content

Suamiku Workaholic [Bab 2]

 “Hahaha... tak sangka betul aku. Mula-mula aku dapat tahu pasal kau dengan Abang Syazwan, aku rasa macam aku berada di dunia lain je. Kau dengan Abang Syazwan? Gila punya jauh persamaannya,” Yana, sepupu karib aku datang menziarah petang itu. Semuanya setelah berita tentang perkahwinan aku dengan Syazwan tersebar dengan meluasnya.
Aku sudah agak dari awal lagi. Berita begini pastinya akan tersebar dengan meluas dalam kalangan keluarga aku. Tak kira keluarga sebelah ibu atau ayah. Lagipun jarak tarikh perkahwinan aku tidak sampai sebulan lagi. Pastilah ibu dan ayah sudah bersiap sedia sebarkan berita ini kepada semua ahli keluarga supaya mereka dapat mengatur perjalanan untuk hadiri majlis itu nanti.
Tambah lagi, anak Mak Cik Zara, Syazwan akan berkahwin dengan aku. Kedua-duanya anak tunggal. Sudah tentu-tentulah ini kali pertama dan terakhir kedua keluarga akan mengadakan hari perkahwinan (harap begitulah). Awal-awal lagi nenek nak buat kenduri yang meriah.
Kau bagi mantera apa kat Abang Syazwan hah sampai dia sudi kahwin dengan kau?” tanya Yana inginkan kepastian. Mana tidaknya, aku dengar Yana cerita macam-macam tentang Syazwan. Sedikit buat aku gentar dengan lelaki yang tua lima tahun dari aku itu.
Walaupun dia tua lima tahun daripada aku tetapi aku tak memanggilnya Abang Syazwan seperti mana Yana dan beberapa sepupu aku yang sebaya dengan aku. Dulu, memang aku pernah panggil Syazwan dengan pangkat abang tapi aku dah tak berani panggil dia abang sebab pernah kena herdik dengannya.
Abang? Sejak bila aku jadi abang kau?” marahnya.
Sejak hari itu, aku tak berani panggil dia Abang Syazwan. Mula-mula pelik juga bersaya-awak dengan dia tapi lama-lama tidak lagi. Tapi sepupu-sepupu aku yang lain panggil dia dengan panggilan Abang Syazwan boleh pula. Tak faham aku. Aku fikir, mungkin dia anti dengan aku. Yelah, tengok muka aku pun macam nak terkam saja. Sekarang ni, dia setuju nak kahwin dengan aku pula. Lagilah aku tak faham.
Aku pun tak faham. Kau tahu, masa kami berjumpa tu, dia langsung tak cakap apa-apa dengan aku. Aku fikir aku dah gagal tapi tak sangka pula dia nak teruskan rancangan jadi calon gantian,” kusut aku memikirkannya.
Mmm... jangan-jangan Abang Syazwan memang ada hati pada kau tak?” teka Yana yang kini sedang sarat mengandung anak kedua.
Aku terfikir sejenak. Mungkin juga. Tapi, aku tak yakin dia ada hati dengan aku. Sebabnya, boleh dikatakan setiap tahun aku dengar nenek nak jodohkan dia dengan entah mana-mana perempuan tapi semuanya tidak menjadi.
Aku rasa mungkin sebab dia dah malas nak tepis arahan nenek suruh berkahwin kot atau sebab dia dah sedar yang dia dah tua sangat untuk hidup bujang,” jawab aku selamba.
Tapi, aku tabik la dengan dia. Berani ingkar arahan nenek. Kalau tak dari dulu lagi dia dah kena kahwin dengan aku.”
Hai, macam cemburu je,” aku berpura-pura menyindir. Aku tahu, dulu Yana memang suka pada Syazwan tapi awal-awal lagi kena reject.
Memanglah. Dia cinta pertama aku. Tapi itu dulu. Sekarang, aku dah ada cinta sehidup semati yang lagi sweet daripada Abang Syazwan,” katanya sambil mengusup perutnya yang buncit itu.
Ceh!”
Tapikan, daripada Ammar lebih baik dengan Abang Syazwan,” Yana mula buka topik pasal Ammar pula.
Kenapa?”
La... takkan kau tak kenal dengan perangai Ammar tu? Dia bukannya hargai kau pun sepanjang kau jadi tunang dia. Kerja pun tak menentu. Aku pun tak faham kenapa Sally tu jatuh cinta pada Ammar.”
Mungkin dah jodoh dia orang,” aku cuba sedapkan hati.
Sebenarnya, aku tak ambil hati sangat apa yang Sally dah buat pada aku. Mungkin sebab dari awal lagi aku tak ada hati dengan Ammar. Bagi aku dia belum layak lagi jadi lelaki sejati. Dan aku pun tak terkejut sangat bila dia melarikan diri sewaktu perkahwinan kami akan berlangsung dalam masa dua bulan lagi. Cuma aku terkejut dia lari dengan Sally. Aku tak faham kenapa Sally buat begitu. Apa salahnya kalau mereka berterus-terang saja. Aku pun bukanlah nak sangat perkahwinan ini berlangsung. Aku marah bukan sebab dia rampas tunang aku tapi aku marah sebab dia sanggup tipu aku.
Tulah, kau ni cepat sangat percayakan orang. Dari dulu lagi aku dah suruh kau hati-hati dengan Sally tu.”
Manalah aku tahu perkara ni akan terjadi.”
Kalau aku tahu awal-awal, memang aku dah lama komplot dengan dia orang supaya aku boleh hentikan rancangan perkahwinan ini. Jadi, tak adalah cerita ini dipanjangkan sampai aku kena kahwin dengan Syazwan.
Ahh... aku masih tak percaya yang aku akan berkahwin dengan dia...


Hari ini aku pergi kerja dengan menyebarkan kad jemputan yang baru sampai semalam. Mula-mula bergetar-getar juga hendak beri kad jemputan kepada rakan-rakan pejabat. Maklumlah nama pengantin lelaki sudah bertukar. Tapi mujurlah semua orang tak perasan. Lagipun rasanya mereka pun tak tahu sangat nama bekas tunang aku dulu. Aku hanya panggil Ammar sebagai Abang. Jadi, mungkin sebab itulah mereka tak perasan nama pengantin lelaki sudah bertukar. Tunggulah waktu bersanding nanti.
Tersengih-sengih nampak. Makin berseri-seri muka bakal pengantin ni,” sindir Liza tiba-tiba sekali gus mengejutkan aku.
Senyum? Aku senyum? Bila? Aku meraba-raba mukaku. Habis, apa kena dengan aku ni? Sejak bila bibir aku pandai senyum sendiri sampai aku sendiri tak perasan? Malunya! Pasti mereka fikir aku dah tak sabar sangat nak kahwin. Padahal, aku tengah pening kepala macam mana nak jadi isteri kepada lelaki yang workaholic tu.
Ah, cemburunya. Nampaknya lepas ni tinggal kita berdua sajalah dalam ofis ni yang belum berpunya,” keluh Qaseh.
Ala, janganlah cakap begitu. Tak lama lagi sampailah giliran kau,” aku cuba memujuk Qaseh.
Kau jangan layan sangat Qaseh tu. Dia tu dah terlebih kasih sayang. Dia tu, beratur-atur lelaki tengah tunggu nak masuk line tapi dia saja yang tak nak. Entah putera kerajaan mana yang dia tunggu,” balas Liza.
Hey, aku tengah bagi peluang pada diri aku memilih putera raja. Sekurang-kurangnya aku mencari, bukan main tangkap muat saja,” balas Qaseh.
Bertuahlah korang boleh pilih memilih,” aku mengeluh mengenangkan nasib aku.
Err... Dayah, aku bergurau saja. Jangan ambil hati ya,” Qaseh cepat-cepat meminta maaf.
Aku bukannya kecil hati dengan kata-kata Qaseh tapi aku berharap dapat jadi seperti mereka. Berhak memilih teman hidup. Memang sudah nasib aku lahir dalam keluarga yang mementingkan hubungan persaudaraan. Aku juga ingin rasa mencintai seseorang dan dicintai seseorang. Pasti indah macam dalam novel yang pernah aku baca. Malangnya, aku tak dapat rasa semua itu.
Ah, apa kata hari ni kita makan besar? Aku belanja!” Aku cuba sedapkan hati.
Okey!” sorak Liza. Pantang bila dengar orang nak belanja. “Sushi King tau.”
Banyak kau punya duit. Aku sekarang ni tengah berjimat cermat. Kalau tak, lepas kahwin nanti aku nak makan apa? Sudahlah perbelanjaan kahwin sekarang ni semuanya naik.”
Kalau dah tahu macam tu, kau pergi letak jawatan buat apa,” ujar Liza.
Hah? Apa? Letak jawatan?”
Liza dan Qaseh mengangguk. Aik? Bila masa pula aku kata nak letak jawatan selepas kahwin? Gila apa. Macam mana aku nak sara diri aku dan keluarga aku?
Siapa kata aku nak letak jawatan?” tanya aku. Entah siapa pula yang buat cerita. Dalam ofis ni, hanya ada tiga orang kerani. Aku, Qaseh dan Liza. Maklumlah bekerja di pejabat peguam kecil memang tak meriah sangat dengan bilangan kakitangan. Jadi, kalau ada apa-apa berita muncul, pasti daripada bos ataupun kami bertiga saja.
Bukan ke kau dah hantar surat peletakan jawatan?” tanya Qaseh.
Hah? Bila?”
Encik Razak yang beritahu semalam.”
Hah?” Sekal lagi aku terkejut. Memang semalam aku tak dapat datang kerja sebab terpaksa menolong ibu membuat persiapan perkahwinan aku tapi mana pula datangnya cerita aku letak jawatan? Siapa yang pandai-pandai buat cerita?
Serius?”
La... kau sendiri yang letak jawatan, kau pergi tanya kami pula.”
Tapi aku tak letak jawatan pun dan tak terfikir pun nak letak jawatan. Ni mesti korang nak kenakan aku ni.”
Ya Allah. Sumpah. Encik Razak yang umumkan semalam. Lagi aku pelik, surat peletakan jawatan kau tu di hantar secara berdaftar.”
Apa?” sekali lagi aku terkejut. Gila apa!
Kalau kau tak percaya, pergi tanya Encik Razak kalau dia masuk nanti.”
Takkanlah... siapa pula yang nak dajalkan periuk nasi aku ni?


Kalau awak tak datang, saya akan redah ofis awak dan buat kacau macam gengster mintak hutang!” Itu ugutan yang aku bagi kepada bakal suami aku.
Geram pula aku dibuatnya. Ada ke patut dia pandai-pandai pergi serahkan surat peletakan jawatan bagi pihak aku? Pagi-pagi lagi aku tension bila dapat berita itu. Entah apa yang tidak kena dengan kerja aku ini.
Aku bukannya melacurkan diri. Ini kerja halal aku. Walaupun jawatan aku sebgai kerani tetapi itu sudah cukup untuk aku menyara diri. Tindakan dia memberikan surat peletakan jawatan bagi pihak aku memang mengundang kemarahan aku. Itu belum lagi jadi suami aku. Kalau jadi suami aku, entah apa pula yang dia buat selepas ini.
Aku menunggunya dengan sabar di cafe yang sama. Walaupun aku tak pasti di mana pejabatnya, tetapi aku pasti dia kerja di tempat berdekatan. Walaupun dia tak beri kata putus dia akan datang, aku pasti dia akan muncul punya.
Hampir satu jam aku menunggu, akhirnya dia muncul di depan aku. Namun dia tidak duduk. Dia hanya pandang aku seperti biasa. Bila aku hendak buka mulut, dia berlalu ke kaunter cafe. Aku hanya memerhati dari jauh sambil tertanya-tanya kenapa dia pergi ke kaunter pembayaran. Bukankah senang panggil pelayan saja kalau nak pesan minuman.
Bila aku nampak dia hulurkan duit kepada penjaga kaunter, barulah aku faham. Tanpa berlengah lagi aku terus menghampirinya. Sekali lagi, belum sempat aku nak berkata apa-apa, dia terus tarik tangan aku sehingga aku terpaksa mengekorinya keluar dari cafe itu.
Dia jalan begitu laju sehinggakan aku yang ditariknya terpaksa mengandakan langkah untuk mengikut rentaknya. Kami tiba di sebuah restoran makanan barat. Masuk sahaja ke dalam, aku dengar dia berkata sesuatu pada pelayan restoran itu. Tidak sampai beberapa saat, aku ditarik lagi sehingga sampai ke sebuah meja yang sudah terhidang dua pinggan. Salah satunya makanan kegemaran aku, chicken grill. Nampak macam menyelerakan.
Nanti dulu! Ini bukan sebab utama aku datang nak jumpa dia. Aku inginkan penjelasan bukannya nak minta makan. Tapi... perut aku dah tak tahan lagi. Macam perut aku ni nampak saja makanan kegemarannya. Mmm... apa salahnya kalau makan dulu. Bukan senang aku nak dapat makanan sedap begini. Maklumlah jadi bakal pengantin ni memang banyak dugaannya. Lebih-lebih lagi terpaksa berpisah dengan makanan yang aku gemari.
Aku terus makan tanpa pandang kiri kanan lagi. Begitu juga dengan Syazwan. Hampir setengah aku makan, perut pun hampir penuh, aku ingin memulakan mukadimah. Namun, belum sempat aku nak bersuara, Syazwan dah bersuara dulu.
Time makan jangan bercakap,” dia menegur. Tegas suaranya.
Terus aku terdiam. Adui, aku belum lagi bercakap. Macam mana dia tahu aku nak bercakap ni? Macam ahli nujum la pula.
Habiskan dulu makanan tu. Lepas tu kau nak tanya apa pun tanyalah,” dia bersuara lagi.
Aku pun, apa lagi. Terus makan dan makan.
Boleh tak makan perlahan-lahan? Aku takkan lari ke mana pun,” dia sudah marah. Hampir tersentap aku. Akhirnya, perlahan-lahan aku kunyah makanan.
Aku tak faham. Apa hal dengan diri aku sekarang ni? Kenapa aku ikut sangat arahan dia? Agak-agak dia pakai bomoh kot supaya aku tunduk dengan dia. Habis aku. Habis! Payahlah kalau aku tunduk dengan dia. Nanti senang-senang dia boleh pijak kepala aku.
Atau... selepas kahwin nanti dia akan dera aku macam dalam novel yang aku baca malam tadi. Betullah. Selalunya bila kena kahwin paksa ni, lelaki kuat memberontak. Habis perempuan yang lemah dikerjakan. Tak nak! Aku tak nak jadi begitu. Walau betapa handsomenya atau sweetnya jalan cerita dalam novel tu, tapi aku tak nak kena dera.
Adui, apa yang patut aku buat ni? Boleh ke aku tolak perkahwinan ni? Apa pula alasan aku nak tolak? Barang-barang perkahwinan semua sudah dibeli. Kad kahwin juga sudah diedar. Dayah, kau jangan buat hal.
Wei, aku suruh kau makan perlahan-lahan bukannya makan macam kura-kura,” suara itu menyentakkan aku dari lamunan. Aku terus tersedar.
Sedar-sedar saja aku tengok pinggannya sudah licin. Gila cepat dia makan. Baru kejap tadi aku tengok pinggannya penuh dengan makanan. Atau... aku yang lambat. Aku pandang jam tangan aku. Waa... dah nak dekat pukul 2.00 petang. Aku patut masuk ofis sekarang!
Apa lagi kelam-kabut aku menyuap makanan sehingga satu tahap aku tersedak makanan. Menggagau aku capai cawan. Alamak, air tinggal sikit. Air! Air! Aku terus rampas cawan Syazwan yang masih penuh lagi. Teguk dan teguk sehingga habis air dalam cawan itu.
Ah, lega!” aku mengeluh melepaskan kelegaan.
Tiba-tiba aku terasa seperti ada semua mata sedang memerhati aku. Perlahan-lahan aku melihat sekeliling. Memang betul. Semua mata sedang melihat aku. Tidak selesa dengan pandangan mereka, aku segera mengangkat kedua tangan menutup setiap sisi muka aku dan menunduk ke bawah.
Malu gila. Selepas beberapa minit aku rasa tiada lagi yang memandang aku tapi aku tetap rasa ada satu mata tidak berkelip memandang aku. Perlahan-lahan aku mengangkat kepala memandang ke depan. Syazwan memandang aku dengan gaya kedua tangannya menyilang di dada. Nampak sangat dia tengah tak berpuas hati dengan aku sebab dah malukan dia.
Ah, aku tak faham. Kenapa aku selalu sangat buat perangai pelik depan dia?
Kemudian, dia berlalu bangun tanpa berkata apa-apa. Aku nampak dia menuju ke kaunter pembayaran. Tanpa berlengah lagi aku terus mendapatkannya.
Eh, saya bayar,” aku segera menahan tangannya yang ingin menghulur kad kredit kepada penjaga kaunter itu.
Syazwan tidak berkata apa-apa sebaliknya dia memberikan isyarat, 'bayarlah kalau kau mampu'. Huh, ingat aku tak mampu ke?
Berapa?” aku bertanya pada pelayan itu.
Bil dihulurkan. Terkejut beruk aku bila melihat bil yang hampir mencecah angka seratus itu. Wei, baru dua orang makan tapi bil dah sampai seratus? Gila punya mahal restoran ni. Aku tahulah chicken grill yang aku makan tadi sedap tapi janganlah caj sampai seratus untuk dua orang. Cekik darah sungguh.
Syazwan ni pun satu. Aku syak memang dia sengaja nak kenakan aku. Tengoklah muka dia macam berlagak. Macam dia tahu aku tak mampu nak bayar bil begitu. Huh, jangan ingat aku tak ada duit. Aku segera keluarkan debit kad aku untuk membuat pembayaran. Apalah sangat bayar pakai kad kredit. Tak beri manfaat langsung. Orang pakai debit kad lagi kaya tau!
Ketika itu, aku nampak icon wang aku yang bersayap terbang di angkasa... Habis, bajet duit novel aku bulan ni. Seratus tu aku boleh beli tiga buah novel tau!
Setelah menerima kad aku kembali dan menyelesaikan pembayaran, aku sedar-sedar Syazwan sudah hilang. Melilau aku mencarinya. Rupa-rupanya dia dah sampai ke pintu keluar. Tanpa berlengah lagi aku terus kejar dia. Itupun setelah teringat yang aku datang nak cari dia sebab tak puas hati. Aku ingin penjelasan kenapa dia serah surat peletakan jawatan bagi pihak aku tanpa kebenaran aku.
Awak, “ aku terpaksa berlari untuk menyaingi langkah kakinya yang panjang.
Tiba di sebuah kereta wira lama, dia berhenti. Aku pun berhenti. Lalu dia membuka pintu kereta itu. Aik? Itu kereta dia? Aku pandangnya kemudian pandang keretanya. Sungguh tak sangka... Okey, aku bukan menghina keretanya tapi... tapi... bila tengok gaya pemakaiannya yang segak dengan pakaian berjenama... adui! Aku pula yang stress.
Masuklah, apa tunggu lagi,” arahnya.
Tak payah dia bercakap kali kedua, aku terus masuk. Betullah. Dia ni mesti pakai bomoh nak tundukkan aku. Setiap kali apa yang dia arah mesti aku buat. Janganlah dia arah yang bukan-bukan.
Dah masuk tu tak reti-reti nak pakai tali pinggang?” dia bantai aku lagi dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Sekali lagi aku senyap dan menurut. Selepas aku pakai tali pinggang, dia terus pecut keretanya.
Wahh... aku tak patut hina keretanya tadi. Tengok saja macam kereta orang bawak pergi masuk hutan tapi laju bukan main. Bunyi pun boleh tahan. Macam bunyi kereta F1. Tapi, ini bukan masanya aku nak puji keretanya. Ini masanya aku tegas sikit dengan dia. Mari gertak dia sampai dia terkencing dalam seluar. Pandai-pandai buat keputusan bagi pihak aku. Dia belum tengok lagi aku mengamuk, bukan? Bersedialah!
Kenapa awak pandai-pandai buat keputusan bagi pihak saya? Saya tak beritahu pun saya nak letak jawatan selepas kahwin nanti.”
Habis tu takkan kau nak ulang-alik dari KL ke Shah Alam hari-hari lepas kita kahwin nanti?”
Apa kena mengena dengan KL pula? Rumah saya bukan dekat KL.”
Tapi rumah aku di KL.”
Eh! Yelah! Kenapa aku tak ingat langsung yang dia dah ada rumah di KL dan dia memang duduk di KL. Aku menepuk dahi. Kalau aku dah kahwin dengan dia, gerenti aku kena tinggal dengan dia. Takkan aku nak buat perangai tinggal di rumah ibu dan ayah aku di Klang.
Eh... aku boleh pujuk dia tinggal dengan keluarga aku, kan? Macam Yana dengan suaminya. Lagipun aku boleh bagi alasan yang aku belum bersedia nak tinggal jauh dari ibu bapa aku. Cantik! Nanti, biarlah dia ulang-alik dari Klang ke KL setiap hari dan aku boleh bekerja dengan senang hati!
Awak...” suara manja aku dah keluar. “Apa kata kalau bila dah kahwin nanti..."
"Kau pindah dengan aku juga," dia terus memotong kata-kataku. Adui, dia ni macam boleh baca saja apa yang ada dalam otak aku ni. Tak boleh jadi, lawan tetap lawan. Sebelum dia jadi suami aku baik aku lawan. Nanti bila dah sah jadi suami aku, susah sikit nak ingkar. Berdosa lawan suami.
Okey, saya akan pindah duduk dengan awak tapi boleh tak beri saya masa sikit. Dalam tiga bulan?”
Dia senyap.
Dua bulan?” Aku tidak mengalah.
Dia tetap tak melayan permintaan aku.
Satu bulan setengah?” Tolonglah bagi aku peluang.
Seminggu,” Akhirnya dia bersuara.
Tapi aku langsung tak gembira. Seminggu? Dia bagi aku masa seminggu saja?Gila punya kedekut. Bencilah begini. Betul apa lagi dia dah nak kawal hidup aku. Betul-betul King Control rupanya bakal suami aku ni.
Seminggu mana cukup. Awak tahu tak yang saya ni anak tunggal? Sekurang-kurangnya bagilah masa sikit. Lagipun berkahwin dengan awak bukan rancangan asal saya. Saya kena suaikan dengan banyak perkara termasuklah awak,” aku berterus-terang.
Kalau nak suaikan diri dengan aku, tinggal sajalah dengan aku,” katanya. Ringkas dan selamba.
Tapi...” Aku dah tak tahu nak bagi alasan apa lagi. Betullah apa yang dia kata. Kalau aku nak suaikan diri dengan dia, aku kena tinggal dengan dia. Tapi masalahnya aku tak nak tinggal dengan dia. Kalau aku tinggal dengan dia, aku kena berhenti kerja dan jadi isteri sepenuh masa. Sudahlah dia tinggal jauh dari keluarga aku. Mesti bosan hidup seorang diri dengan dia.
Aku mengeluh. Tapi, aku takkan mengalah.
Bagaimana kalau saya tinggal dengan awak tapi dalam masa yang sama saya bekerja di KL nanti?”
Tak boleh,” terus-terang dia membantah.
Kenapa pula tak boleh? Awak tahu tak saya masih ada hutang dengan PTPTN lagi? Habis, kalau saya tak kerja, dengan apa saya nak bayar PTPTN tu?” aku bagi alasan cantik punya.
Dengan perangainya begini, aku gerenti, dia takkan berani bayar hutang PTPTN aku. Bukannya dua tiga ratus tapi beribu-ribu. Kalau aku pun kena fikir banyak kali nak bayarkan hutang orang dengan ekonomi yang tak stabil sekarang ini.
Nanti aku bayarkan.”
Hah? Ternganga aku mendengarnya. Ini tak boleh jadi.
Tapi hutang saya tu banyak lagi...”
Tinggal RM10 ribu lagikan?”
Aku tersentap. Mana dia tahu? Dia siasat semua butiran aku ke? Ini memang gila. Arghhh... bakal aku suami aku ni bukan sahaja workaholic tapi psiko juga! Lagilah aku takut nak berkahwin dengan dia.
Awak... saya tahu awak ni banyak duit tapi... perlu ke awak habiskan duit awak untuk bayar duit PTPTN saya? Tengok, saya ada kaki dan tangan yang sempurna. Otak saya juga sempurna. Jadi, apa kata kalau awak benarkan saya bekerja,” aku merayu lagi.
Pendek kata, kau, perlu tinggal dengan aku dan jadi suri rumah tangga sepenuh masa. Keputusan aku muktamad,” tegasnya.

Haa... kenapalah aku sentiasa ditimpa malang...

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 1]

Ibu kata, Syazwan paling tak suka dengan orang yang lambat datang janji temu. Jadi, awal-awal lagi aku sudah datang ke tempat janji temu. Masa tu, cafe yang menjadi tempat pertemuan kami itu baru sahaja buka. Lama juga aku duduk menunggu maklumlah aku datang setengah jam lebih awal. Tepat pukul 10.00 pagi, Syazwan datang tepat pada masanya. Padanlah dia sudah jadi seorang yang berjaya dan bekerjaya. Dia datang dengan baju kot (ah, cair!). Nampak segak dan bergaya. Serius aku sudah jatuh hati. Datang-datang saja, dia terus renung aku dari atas hingga bawah. Berdetak juga jantung aku tiap kali matanya scan setiap inci tubuh aku. Macam mata Superman yang boleh tengok dalaman tubuh orang pula. Setelah dia berpuas hati, barulah dia duduk dan membuat pesanan kepada pelayan cafe itu. Kemudian, dia keluarkan tab miliknya dan senyap.