Skip to main content

Suamiku Workaholic [Bab 10]

Hampir tiga bulan aku bergelar seorang isteri. Pantas sungguh masa berlalu. Selama tiga bulan ini, tak banyak perkara yang berlaku antara kami berdua. Dia tetap dengan perangai mabuk kerjanya. Pagi petang siang malam dia asyik bekerja. Kadangkala hari Sabtu dan Ahad pun dia bekerja. Aku yang duduk di rumah dilanda kesunyian.
Jadi suri rumah sepenuh masa memang membosankan hidup aku. Kerja rumah tu tetap ada seperti membasuh, memasak dan mengemas tapi aku tetap bosan. Yelah, aku tak ada kawan untuk bergurau senda. Kalau bekerja dulu, walaupun gaji sikit tapi dapatlah aku bersosial sikit dengan kawan-kawan ofis. Kini, tiada lagi.

Kalau aku ingin bersosial pun, hanya Facebook dan Chatting saja tempat aku bersosial. Itupun tak beberapa menyeronokkan kerana kebanyakan kawan-kawan aku bekerja pada ketika itu. Jadi, bila dah bosan di alam maya, aku akan melepak sambil goyang kaki di depan televisyen. Macam-macam cerita aku tengok.
Dari cerita Melayu zaman P. Ramlee sampailah cerita dari merata pelusuk negara. Kalau dulu aku tak layan sangat sinetron Indonesia tapi kini aku layan. Nak hilangkan bosan punya pasal.
Kalau sudah bosan tengok televisyen, aku layan novel pula. Tapi kebanyakan novel dalam rumah ini sudah habis dibaca. Mana tak habis, baru saja beli dalam sehari aku boleh habiskan. Masa terluang banyak.
Bagaimanapun aku bersyukur sebab dia boleh layan hobi aku baca novel. Jadi, setiap bulan dia akan bagi duit untuk aku beli novel. Khas untuk beli novel tau! Kalau dikira-kira cukup 10 novel untuk satu bulan tapi aku bukan jenis beli sampai 10 novel sebulan. Aku pilih juga yang mana yang berkenan dengan selera aku. Selebihnya aku simpan untuk kemudian hari.
“Ah, nak buat apa ni?” keluhku seorang diri.
Aku pandang sekeliling. Suamiku sudah lama pergi kerja. Rumah sudah siap dikemas. Pinggan mangkuk memang sudah habis dicuci. Pakaian pun begitu. Sudah habis dicuci, dikeringkan dan dilipat. Sekarang aku kebosanan seperti hari-hari biasa. Nak keluar, area kawasan rumah aku semuanya pergi bekerja.
Di sini suasana kejiranan memang cukup hambar. Yelah, tak ramai orang lalu lalang. Sesiapa yang nak masuk, kena daftar diri di pondok penjaga di hujung jalan masuk. Oleh itu, keselamatan di sini agak terjamin. Senang kata, ini kejiranan golongan profesional.
Tak ramai yang aku kenal di sini, cuma dulu adalah berbual dengan pembantu rumah di sebelah rumah. Pertama kali berbual, dia ingat aku ni pembantu rumah. Aduhai, aku ni nampak macam pembantu rumah ke? Bila aku beritahu yang aku dah berkahwin dengan pemilik rumah ini dia mula buat muka. Lepas tu bila nampak aku, jelingnya macam nak keluar biji mata.
Bila aku bertanya pada suamiku, dia hanya pesan satu, “Kalau dia hantar apa-apa makanan, terus buang. Jangan makan.” Tegas lagi suaranya. Di situ aku boleh agak. Ini mesti nak membomohkan orang. Bahaya juga pembantu rumah sekarang. Sekarang, aku dah tak nampak dah pembantu rumah itu lagi. Dengar kata dah dihantar balik Indonesia sebab cuba menggoda anak lelaki jiran sebelah pula.
Huh, punyalah dahsyat. Anak lelaki jiran sebelahnya baru habis SPM kalau tak silap aku. Dia pula umur lebih kurang macam umur mak aku. Cuma muda beberapa tahun saja. Memang minatnya ke arah orang muda kot.
Ding!
Handset aku berbunyi. Pantas aku mencapainya. Mesej daripada Haryati, kawan sekelas aku dulu. Aku mengeluh. Jangan haraplah suami sendiri akan mesej aku ketika dia sedang mabuk kerja.
Dayah, kau pergi tak majlis cukul jambul anak Nita? - Haryati
Tak kot. Tak ada kenderaan - Aku
Suami kau? - Haryati
Dia sibuk kerja. Ada projek besar katanya. - Aku
Amboi, bertuah kau – Haryati
Bertuah? Dia kata aku bertuah? Adui, kau tak tahu betapa terseksanya aku kebosanan di rumah yang besar ini. Tapi aku layan saja. Ibu dah pesan banyak kali. Rumah tangga sendiri jangan cerita pada orang, lagi-lagi bercerita dalam Facebook. Jangan main-main, ibu tahu apa yang orang muda buat bila ada masalah. Disebabkan aku, tutup mulut pasal rumah tangga aku.
Orang ingat aku bahagia dapat suami yang ada kerjaya dan terlebih mampu menyara aku dan keluarga. Tapi mereka tak tahu apa yang aku harungi. Setiap hari aku cuba untuk beramah mesra dengan suami aku yang hati macam batu. Adakalanya mood dia baik, dia layan kalau tak baik, memang langsung dia tak layan.
Tak. Aku tak boleh begini. Aku mesti cari jalan untuk ubah dia supaya tak memikirkan hal kerja 24 jam seminggu. Mmm... macam mana nak ubah tabiat mabuk kerja dia? Ada tip ke? Hah, mari tanya Encik Google!
Tanpa berlengah lagi aku segara mencapai iPad yang dihadiahkannya sebagai hantaran semasa perkahwinan kami. Ini memang barang yang aku idam-diamkan tapi tak layak untuk memilikinya. Bila aku tengok iPad dijadikan hantaran aku hampir melonjak gembira.
Aku terus taip How to deal with workaholic husband.


Tip no. #1
Ketahui makanan kegemarannya.

Misi bermula!
Aku pun cepat-cepat mesej Wani untuk bertanyakan makanan kegemaran suami aku. Sepanjang tiga bulan ini memang aku tahu apa yang dia suka dan apa yang dia tak suka tapi aku tak puas hati. Aku nak tahu apa makanan yang dia paling suka dan pasti akan balik makan walau apa pun berlaku.
Selepas sahaja aku hantar mesej kepada Wani, Wani telefon aku. Wah, cepat sungguh. Aku sengaja mesej sebab takut menganggu. Kalau dia telefon tu, layan sajalah.
“Ada apa-apa ke ni sampai nak tahu makanan kegemaran abang hehehe?” Dia punya bunya 'hehehe' tu yang buat aku tak tahan. Malu pun datang dengan bahang di pipi. Macam budak-budak baru kenal cinta pulak rasanya.
“Tak ada apa. Saja nak tahu,” jawabku cuba menafikannya. Takkanlah aku nak beritahu rancangan besar aku ini. Bertambah malu nanti!
“Okey, makanan kegemaran abang... susah sikit,” jawabnya.
“Hah? Susah macam mana?” Janganlah dia kata abang dia hanya makan makanan mama saja. Takkanlah aku nak import mama datang memasak di rumah? Kalau macam ni, habislah rancangan aku.
“Kak Dayah tahukan yang abang tu cerewet?”
Aku mengangguk. Sebab dia cerewetlah aku telefon Wani. Orang cerewet dengan makanan ni payah sikit. Nanti kalau masak tak kena dengan selera dia, mesti kena komplain habis. Tapi setakat ini tak pernah lagi sebab dia pun jarang makan di rumah. Maklumlah, balik ofis lambat sudah tentulah dia makan di luar.
“Habis tu macam mana?” aku dah mati akal.
“Hah, apa kata Kak Dayah masak saja makanan yang Kak Dayah terror sangat masak!” cadang Wani.
“Masakan apa?” tanyaku lagi. Aku tak ada idea, dia pula suruh aku fikir. Kalau nak aku memuji diri sendiri, aku tahu masak apa saja jenis makanan yang ada di dunia ini dengan hanya tanya Encik Goggle. Macam aku buat ketika nak masak ikan tiga rasa tu.
“Apa saja. Asalkan masakan tu memang super-duper-sedap.”
“Manalah akak tahu. Akak masak, memanglah akak rasa sedap. Telur hangus pun akak kata sedap,” balasku.
“Bukan. Sedap ni maksud Wani, mak dan ayah Kak Dayah pun suka masakan tu. Bagi mereka, masakan tu istimewa.”
Aku berfikir. Ibu dan ayah tak cerewet sangat. Dia orang makan apa yang aku masak. Sedap atau tidak belakang cerita. Cuma kadangkala tu kalau terlebih garam, adalah kena komplain oleh ayah.
Eh, nanti! Aku berfikir sejenak. Kalau tak silap ibu dan ayah suka makan masakan aku yang satu tu. Ikan bilis sambal petai! Tapi, dia makan ke petai? Setengah orang bandar ni memang anti-pedai. Bau petai je dah tutup hidung.
“Err... abang makan petai tak?” soalku.
“Hisy, petai tu ulam kegemaran dia tu!”
Aku menepuk dahi. Adui, macam mana aku boleh lupa? Bukan ke masa keluar dengan dia pergi pasar dulu dia borong tiga ikat petai? Ada je petai tu sekarang dalam peti ais. Entah sedap lagi atau tidak.
“Okeylah Wani, akak tahu dah nak masak apa.”
“Kak Dayah,” panggil Wani.
“Mmm?”
“Semoga berjaya pikat abang!” sokongnya.
Oh my... dia tahu. Aku pun dah tak tahu bagaimana hendak menafikannya. Cepat-cepat aku minta diri. Kemudian, terus berlalu ke dapur. Peti ais besar itu cepat-cepat aku selongkar. Yes, jumpa pun petai.
Aku rasa sedikit. Huh, masih segar dan rangup lagi. Huh, nasib baik aku tak buang tangkai petai ni masa dibeli tiga minggu yang lalu. Walaupun warna kulitnya hitam gelap tapi isinya macam petai yang baru dipetik.
Okey, petai iaitu bahan penting sudah ada. Sekarang, jom mulakan operasi!
Aku tengok jam. Sekarang sudah pukul 6.30 petang. Dia sudah habis kerja. Tapi macam biasa dia akan kerja lebih masa. Kadang-kadang tu dia ada di ofis sampai pukul 10.00 malam. Tak pasti pula dia selalu makan malam pukul berapa. Nak tanya ke tak?
Ah, lebih baik masak dulu. Lagipun sekarang ni jalan masih jem lagi. Aku pun terus melakukan kerja-kerja memasak. Ibu kata kalau nak bagi suami makan, kena masak dengan ikhlas. Lauk tak sedap pun boleh jadi sedap.
Selain masak ikan bilis sambal petai, aku juga ada masak makanan lain. Takkanlah nak bagi suami makan satu jenis makanan je. Sekurang-kurangnya gorenglah ikan sikit.
Hampir satu jam di dapur, akhirnya siap juga. Aku ambil bau. Wahhh... perut yang kenyang pun boleh jadi lapar balik. Ceh, puji diri sendiri. Tanpa berlengah lagi aku terus mesej dia.
Saya masak ikan bilis sambal petai. Awak balik awal tak hari ni?
Terus aku hantar mesej itu kepadanya. Tidak lama kemudian, aku terima balasan mesejnya. Aik? Cepatnya. Dia tengah bersenang-lenang ke sekarang? Selalunya kalau aku tanya, mesti lambat bebenar nak menjawab.
Gambar dulu.
Terbeliak mata aku. Wah, dia ni... takkan tak percaya pada isteri sendiri. Kalau aku bagi gambar pun bukan dia boleh bau masakan aku yang harum itu. Okeylah, gambar pun gambarlah. Aku pun segera tangkap gambar dan hantar kepadanya. Tidak kurang seminit, aku terima mesej.
Okey. Jangan makan dulu. Pukul 8 aku sampai.
Yes! Misi berjaya!


Tip no. #2
Teman dia buat kerja supaya dia berasa selesa apabila berada di rumah.

Aku lihat dia sedang melayan kerja-kerjanya di ruang tamu. Yes, inilah masanya. Lantas aku berlalu masuk ke dapur dan bancuh secawan kopi. Selesai bancuh, aku menghampirinya dan letak secawan kopi itu di atas meja. Aku berjaya tarik perhatiannya ababila dia memandang aku tapi sekejap saja. Kemudian, dia kembali tumpukan perhatian pada kerjanya.
Tak mengapa Dayah, cuba lagi!
Aku pun capai sebuah novel dan duduk di hujung kerusi panjang yang dia duduk. Televisyen sengaja aku matikan. Aku pun berpura-pura baca novel. Kemudian dengan perlahan-lahan aku alih sedikit dudukku supaya dekat sedikit dengannya. Aku jeling dia. Dia masih lagi tak sedar. Aku pun beralih sedikit lagi. Kali ini dia berpaling pandang aku. Aku pun cepat-cepat baca novel semula.
Kemudian, dia sambung balik buat kerjanya. Nampaknya dia memang alert dengan keadaan sekeliling walaupun tengah khusyuk buat kerja. Ye ke tengah buat kerja? Atau dia pura-pura buat kerja? Ada satu saja cara untuk ketahui jawapannya. Sekali lagi aku beralih sedikit ke tepinya sambil mata memandang novel. Kini jarak kami hanya sejengka dua saja.
Sekali lagi dia pandang aku tapi mujurlah aku sedang tatap novel sekarang ini.
“Dayah, apa kau buat tu?” tanyanya.
“Tak. Tak ada apa-apa, cuma baca novel,” jawabku buat-buat muka seperti orang tak bersalah.
Dia kembali memandang laptopnya. Aku pun bersiap sedia untuk dekat sikit dengannya tapi dengan pantas dia pandang lagi. Hampir terlambung novel yang aku pegang itu tapi dengan pantas aku berpura-pura baca novel.
Tiba-tiba dia ambil novel yang aku petang. Eh, dia nak buat apa? Jantung aku dah berdegup kencang. Tak pernah aku rasa menggelabah begini. Kemudian, dia memusingkan novel itu. Baru aku perasan yang aku pegang novel terbalik!
“Jangan amalkan baca buku terbalik,” tegurnya.
Aduhai, dalam masa begini pun aku boleh buat perkara pelik depan dia lagi. Malu. Kalau diikutkan nak saja lari masuk dalam bilik sorok muka bawah bantal tapi memandangkan ini adalah sebahagian daripada rancangan nak tarik perhatiannya, abaikan sajalah.
Sekali lagi aku memberanikan diri beralih duduk lagi. Kali ini betul-betul di sebelahnya. Dia tak beri sebarang reaksi. Jeling pun tak. Macam tak kisah aku duduk dekat dengannya. Dengan selamba aku menjulur kepala memandang laptopnya. Nak tahu sangat apa yang membuatkan dia mabuk kerja. Tapi satu apa pun aku tak faham. Kalau dulu aku tengok dia buat kerja kira-kira yang melibatkan banyak nombor tapi hari ini aku tengok semua tulisan. Dalam Bahasa Inggeris pula tu. Macam tenderlah pulak.
“Aik? Awak bukan akauntan ke?” tanyaku sambil memandangnya.
Dia pandang aku dengan muka kereknya. Jarak muka kami yang begitu dekat buat jantung aku berdegup kencang.
“Dayah, kau kahwin dengan aku, takkan kau tak tahu apa kerja aku?” tanyanya.
Aku terus geleng. Manalah aku peduli dengan semua itu. Aku hanya tahu dia kerja di syarikat besar. Sebagai apa aku tak pasti. Mungkin juga seorang yang berpangkat.
“Saya hanya tahu tempat kerja awak tapi tak tahu awak kerja sebagai apa. Jadi, awak kerja sebagai apa? Bukan akauntan?”
Dia senyap.
“Pegawai awam?”
Kali ini dia pandang aku dengan pandangan kereknya. Tekaan aku silap la tu. Mungkin atas lagi kot.
“Hah, pengurus sumber manusia?” aku mencuba lagi.
Dia pandang aku lagi. Hai, masalah betullah dia ni. Janganlah pandang aku. Beritahu sajalah. Nanti kalau aku teka macam-macam lagi, marah pulak. Tak faham betullah. Entah apa yang seronok sangat dia pandang aku macam tu.
“CEO,” jawabnya sepatah.
“CEO?” aku terkejut. Dah sah-sahlah aku terkejut. Itu bukan sebarangan jawatan. Semua hero novel pujaan aku pangkat CEO tau! “Tipu!”
Sekali lagi dia pandang aku. Aku beranikan pandang wajahnya. Dia pasti tengah bergurau. Dia pasti tengah uji aku sekarang. Kemudian, dia mencapai beg duitnya dan menarik keluar satu kad. Dia berikan kad itu kepada aku. Aku baca dengan teliti.
Muhd Syazwan bin Syahruddin
Chief Executive Officer
Aku ulang baca banya kali. Oh tidak. Aku bukan saja berkahwin dengan seorang workaholic tapi juga seorang berpangkat CEO! Adui, kenapa aku langsung tak pernah terfikir nak tahu dia kerja apa dan sebagai apa?
“Aku dah beritahu kawan-kawan aku yang dia kerja sebagai kerani saja,” kataku perlahan.
“Apa? Kerani?”
Aku terkejut. Dia dengar rupanya!
“Err... tak. Tak ada apa,” tersengih-sengih aku pandang dia. Lantas aku ambil cawan yang berisi air kopi yang aku buat untuknya tadi. “Kopi untuk awak.”
Kopi sampai ke tangannya. Tapi dia tak segera minum sebaliknya memandang aku. Apa hal pulak ni? Takkan masih tak puas hati tentang tadi?
“Dayah,” tiba-tiba dia memeluk bahuku mendorong badanku memeluknya. Jantungku berdegup kuat. Dia nak buat apa pulak ni? “Awak tahu tak, apa maknanya kalau seorang isteri bagi suaminya minum kopi malam-malam begini?”
Kenapa? Salah ke? Aku tengok kat drama di televisyen, babak ni memang popular. Apalah dia ni. Tak pernah tengok drama ke?
“Tak boleh ke?” aku beranikan diri soalnya.
“Kopi power root tongkat ali?” soalnya lagi.
Alamak! Baru aku faham maksud dia. Tapi, bukan ke itu kopi yang dia minum... kalau dia nak berjaga malam siapkan kerja-kerja dia... Bukan ke dia tengah buat kerja? Adui, mesti dia fikir yang bukan-bukan. Aku bukannya nak goda dia tapi saja nak buat dia rasa selesa di rumah supaya nanti dia tak overtime di ofis macam sebelum ini.
“Jangan salah faham! Saya tengok awak macam banyak kerja jadi, saya bancuhlah kopi ni untuk awak. Kalau awak tak nak minum, biar saya minum,” aku ingin mengambil cawan itu tapi dia menghalang. Dia terus minum. Sampai habis.
Misi ke-dua berjaya!


Comments

  1. Misi seterusnya? Kikikiki

    ReplyDelete
  2. alahai...pandainye dayah

    ReplyDelete
  3. Dayah sila teruskan berusaha..usaha tangga kejayaan.

    ReplyDelete
  4. ala.pendek.hehe.apepon,tq :)

    ReplyDelete
  5. Nak lagi nak lagi

    ReplyDelete
  6. nak lagi plzzzzzzzzzzz...

    ReplyDelete
  7. Teruskan usha dayah

    ReplyDelete
  8. Bestttt....sambunglagi yer..;)

    ReplyDelete
  9. Adui, asyik ketawa terbahak-bahak je lah baca cerita dayah ni.

    ReplyDelete
  10. Kalau saya jadi Dayah, mesti tension tahap gaban!!!

    ReplyDelete
  11. kalau saya jadi Dayah .... sakit jiwa beb ...

    ReplyDelete
  12. nak lagi, nak lagi...tak puas la baca macam pendek aje...

    ReplyDelete
  13. knape pendek je
    tp best
    nak lagi !!!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Suamiku Workaholic [Bab 12]

Awal-awal pagi lagi aku dan suamiku sudah berangkat ke KLIA dengan menaiki teksi. Sebelum berangkat sempat lagi aku menghubungi ibu dan ayah untuk memaklumkan pemergian kami ke Langkawi. Sengaja aku beritahu mereka sebab tidak mahu mereka tiba-tiba datang terjah rumah. Walaupun mereka tak pernah buat lagi tapi aku ada perasaan yang mereka akan buat suatu hari nanti. Lagipun, walaupun mereka beria-ia sangat suruh aku berkahwin dengan Syazwan tapi mereka sebenarnya risaukan perkahwinan kami. Maklumlah aku kahwin dengan Syazwan pun secara terpaksa sebab bakal pengantin melarikan diri. Mereka pun sudah sedia maklum dengan Syazwan yang workaholic.

Suamiku Workaholic [Bab 16]

Bila aku terjaga, aku mendapati aku berada di bilik yang asing. Bukan itu saja, tangan aku dicucuk oleh saluran air yang datangnya dari sebuah beg air yang biasa aku tengok di hospital. Aku cuba kerahkan tenaga yang ada untuk bangun. Pening-pening lalat kepala aku seketika. Aku memerhati keadaan sekeliling. Aku berada di hospitalkah? Tapi kenapa katil aku macam tak nampak katil hospital? Luas pula tu, cukup untuk dua orang tidur. Di sekeliling aku pun sama. Ada sebuah almari dan di sudut lain, ada set sofa. Macam bukan di hospital tapi di hotel.

Suamiku Workaholic [Bab 1]

Ibu kata, Syazwan paling tak suka dengan orang yang lambat datang janji temu. Jadi, awal-awal lagi aku sudah datang ke tempat janji temu. Masa tu, cafe yang menjadi tempat pertemuan kami itu baru sahaja buka. Lama juga aku duduk menunggu maklumlah aku datang setengah jam lebih awal. Tepat pukul 10.00 pagi, Syazwan datang tepat pada masanya. Padanlah dia sudah jadi seorang yang berjaya dan bekerjaya. Dia datang dengan baju kot (ah, cair!). Nampak segak dan bergaya. Serius aku sudah jatuh hati. Datang-datang saja, dia terus renung aku dari atas hingga bawah. Berdetak juga jantung aku tiap kali matanya scan setiap inci tubuh aku. Macam mata Superman yang boleh tengok dalaman tubuh orang pula. Setelah dia berpuas hati, barulah dia duduk dan membuat pesanan kepada pelayan cafe itu. Kemudian, dia keluarkan tab miliknya dan senyap.