Ayuni mengeluh panjang. Sampai sekarang dia masih lagi tak faham kenapa semua ini berlaku padanya. Sebelum ini hidupnya sungguh normal. Tak banyak perkara yang mengganggu emosinya berlaku setakat ini. Paling kurang pun hanya putus tunang. Itu pun dia tak rasa menyesal. Itu saja. Belum pernah lagi perkara pelik dan amat memalukan berlaku kepadanya. Sehinggalah dia meminati Irfan dari jauh. Macam-macam perkara berlaku. Yang peliknya, kehadiran Irfan bukan setakat dalam angan-angan tapi makin lama makin dekat dengannya. Siapa sangka, Irfan akan jadi jirannya. Siapa sangka, dia mampu demam hanya kerana senyuman Irfan. Siapa sangka, Irfan sudi menghantarnya ke hospital. Siapa sangka lagi, Irfan membayar bil perubatannya.